NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuduhan perkauman palsu terhadap Perikatan Nasional, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

SEORANG Youtuber diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menyebarkan provokasi dan tuduhan palsu berbaur perkauman terhadap Perikatan Nasional (PN).

Menurut Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, Youtuber yang menggunakan nama Cleo Hoo itu didakwa memuat naik satu video berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama melampau dengan tuduhan palsu Khamis lalu, sehari selepas PN memenangi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Beliau berkata, video berbahasa Cina itu antaranya cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi berbangsa Cina dengan mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan orang bukan Islam perlu menukar agama kepada Islam jika PN memerintah negara.

Selain itu, katanya, video yang sudah ditonton lebih 81,000 kali itu turut mendakwa daging babi akan diharam daripada dijual di negara ini, selain kedai judi perlu ditutup seperti di Kelantan dan Terengganu jika PN mentadbir negara.

“Dia kata daging babi akan diharam daripada dijual seperti di Kelantan, tetapi ini tidak benar kerana orang bukan Islam bebas membeli dan menjualnya di Kelantan dan Terengganu.

“Dakwaan orang bukan Islam perlu tukar agama juga adalah kenyataan provokasi, tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana PN berpegang pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Setakat ini, GERAKAN beri peluang kepada Youtuber ini untuk mohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, kami akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman sivil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau memainkan sebahagian daripada video berdurasi lebih 10 minit itu berserta sari kata, yang antara lain menunjukkan Youtuber itu mendakwa Malaysia akan bertukar menjadi seperti Afghanistan dalam tempoh kurang lima tahun jika PN menjadi kerajaan.

Sentimen itu pernah dilaungkan secara terbuka oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban jika PN berkuasa.

Selain itu, Youtuber berkenaan yang memiliki lebih 61,000 pengikut, mendakwa pihak yang mempersoalkan kerajaan perpaduan dan memberi sokongan kepada PN wajar menukar nama anak dan cucu kepada ‘Abdullah’, selain menyifatkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai ‘pengkhianat bangsa Cina’.

Kah Keong mengingatkan penyokong parti politik untuk tidak terikut dan mengulangi sentimen serta tuduhan dimainkan parti tertentu, khususnya dakwaan dalam video berkenaan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab. Kebebasan kita ada batasnya,” katanya, lapor Berita Harian.


- Wartarakyat


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo