NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu akan lantik ADUN Cina daripada GERAKAN




AYER KEROH: Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melantik seorang wakil masyarakat Cina daripada GERAKAN sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang akan dimuktamadkan dalam Dewan Undangan Negeri pada 16 dan 17 November ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lantikan itu bagi memastikan komuniti bukan Melayu turut mempunyai perwakilan dalam DUN di negeri itu.

Pengumuman tersebut katanya, dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira keperluan mewujudkan perwakilan kepada komuniti yang tidak mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk masyarakat Cina.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas melalui penelitian dan perbincangan selama beberapa bulan bersama pimpinan serta rakan-rakan dalam kerajaan negeri.

Katanya, proses berkenaan turut dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan seterusnya akan dimuktamadkan menerusi persidangan DUN Terengganu pada 16 dan 17 November ini.

Beliau berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan peruntukan bagi pelantikan wakil daripada kaum atau gender yang tidak mempunyai perwakilan dalam DUN.

“Jadi kita telah membuat keputusan selepas mempertimbangkan pelbagai perkara dan telah mendapat kelulusan di peringkat MMKN untuk melantik seorang wakil masyarakat Cina daripada GERAKAN sebagai ADUN lantikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) Ayer Keroh, Melaka di sini semalam.

Menurutnya, pelantikan itu juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan masyarakat Cina di Terengganu mempunyai ruang perwakilan dan suara dalam urusan pentadbiran negeri.

Beliau turut berharap wakil yang dilantik dapat memainkan peranan mendekati masyarakat pelbagai kaum memandangkan GERAKAN merupakan sebuah parti berbilang kaum.

Katanya, wakil berkenaan diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik serta membantu membawa suara komuniti lain dalam usaha memperkukuh hubungan masyarakat berbilang kaum.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, peranan wakil tersebut tidak hanya terhad kepada komuniti Cina semata-mata, sebaliknya turut ditugaskan untuk mendekati kaum-kaum lain d negeri itu.

Beliau berkata, pengumuman tersebut merupakan perkara baharu yang belum pernah diumumkannya di mana-mana sebelum ini. – HARAKAHDAILY 9/11/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

RM388,814 diperuntuk kepada kuil, NGO masyarakat India di Parlimen Kulai sejak 2022



  • Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pemberian peruntukan itu merupakan komitmen berterusan dalam menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan serta pembangunan komuniti masyarakat India di kawasannya.
  • Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata peruntukan itu termasuk sumbangan wang tunai dan bakul makanan berjumlah RM100,000 kepada masyarakat India B40 bersempena dengan sambutan Deepavali tahun ini.
  • “Seiring dengan perayaan Deepavali, peruntukan RM10,000 turut diberikan kepada Kuil Dewi Sri Maha Mariamman, Bandar Putra bagi tujuan pembelian sistem siar raya,” katanya dalam kenyataan.

KULAI — Sebanyak RM388,814 diperuntukkan kepada kuil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di kawasan Parlimen Kulai sejak 2022 hingga kini.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pemberian peruntukan itu merupakan komitmen berterusan dalam menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan serta pembangunan komuniti masyarakat India di kawasannya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata peruntukan itu termasuk sumbangan wang tunai dan bakul makanan berjumlah RM100,000 kepada masyarakat India B40 bersempena dengan sambutan Deepavali tahun ini.

“Seiring dengan perayaan Deepavali, peruntukan RM10,000 turut diberikan kepada Kuil Dewi Sri Maha Mariamman, Bandar Putra bagi tujuan pembelian sistem siar raya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM546,687 peruntukan turut disalurkan kepada empat buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kulai sejak 2022.

Teo berkata peruntukan itu diberikan kepada SJKT Ladang Kulai Besar, SJKT Ladang Kulai Oil Palm, SJKT Ladang Kelan dan SJKT Ladang Sedenak untuk pembangunan serta penambahbaikan kemudahan sekolah.

Beliau berkata Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 terus memberikan komitmen dalam memperkasakan kebajikan masyarakat India.

Menurut beliau, dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) turut ditingkatkan kepada 150 Juta selain peruntukan RM150 juta bagi pembiayaan usahawan India melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sementara RM50 juta disediakan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan SJKT daif serta peruntukan RM80 juta bagi tujuan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam Berdaftar,” katanya.

— BERNAMA






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Roti Gardenia ‘penyelamat’ orang kapal, Jadi bekalan hingga sebulan di laut



  • Ketika jenama roti Gardenia menjadi perbualan di media sosial susulan dakwaan produknya menyebabkan cirit-birit, seorang individu berkongsi pengalaman mengenai kepentingan roti berkenaan sebagai bekalan makanan kru kapal sepanjang pelayaran.
  •  “Sejak belayar antarabangsa hinggalah ke pelayaran pesisir pantai memang Roti Gardenia ni jadi rutin setiap kali beli bekalan makanan,” katanya.
  • Jelasnya, roti yang dibekukan sehingga keras akan dinyahbekukan semula oleh petugas dapur kapal sebelum dihidangkan kepada kru.

KUALA LUMPUR — Ketika jenama roti Gardenia menjadi perbualan di media sosial susulan dakwaan produknya menyebabkan cirit-birit, seorang individu berkongsi pengalaman mengenai kepentingan roti berkenaan sebagai bekalan makanan kru kapal sepanjang pelayaran.

Menerusi hantaran di Facebook Quality Dominic, individu itu menyifatkan Gardenia sebagai ‘rakan karib’ orang kapal kerana sering menjadi pilihan ketika mendapatkan bekalan makanan sebelum belayar.

Menurutnya, roti berkenaan lazimnya disimpan di dalam bilik sejuk beku atau cold room bagi membolehkan ia digunakan sepanjang tempoh pelayaran.

“Sejak belayar antarabangsa hinggalah ke pelayaran pesisir pantai memang Roti Gardenia ni jadi rutin setiap kali beli bekalan makanan,” katanya.

Jelasnya, roti yang dibekukan sehingga keras akan dinyahbekukan semula oleh petugas dapur kapal sebelum dihidangkan kepada kru.

Beliau turut mendakwa tarikh luput bukan perkara yang sering menjadi keutamaan dalam pengalamannya, memandangkan sesetengah kapal berada di laut sehingga sebulan.

Menurutnya, bekalan roti biasanya diperoleh apabila kapal singgah di pelabuhan yang membolehkan bekalan makanan halal dibeli, termasuk di Malaysia dan Singapura.

Dalam perkongsian sama, beliau turut mengimbas pengalaman membantu membekalkan roti Gardenia kepada kapal pesisir di Kemaman ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

Katanya, bantuan itu dilakukan ketika kedai dan pasar raya ditutup sehingga menyebabkan kru kapal berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

“Walaupun bukan produk yang aku jual, tapi orang kapal masa tu putus bekalan makanan sebab PKP. Jadi kita bantulah setakat mana mampu,” katanya.

Perkongsian itu menggambarkan hubungan rapat sebahagian kru kapal dengan jenama Gardenia yang menurut penulis hantaran sudah sebati dengan rutin kehidupan mereka di laut.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kuil Haram: Rakyat tidak patut dibebankan dengan kerenah agensi kerajaan



BANGI, 27 JAMADILAWAL — Isu pencerobohan dan binaan rumah anutan haram di atas tanah kerajaan sepatutnya diuruskan sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan agensi kerajaan, bukan rakyat, tegas peguam, Aidil Khalid

Beliau berkata, orang awam tidak sepatutnya dibebankan dengan keperluan mengenal pasti sendiri agensi yang bertanggungjawab terhadap sesuatu kawasan tanah kerajaan sebelum aduan dapat dibuat.

Jelasnya, orang awam tidak semestinya mempunyai pengetahuan tentang bidang kuasa setiap jabatan dan agensi mana sebenarnya mempunyai kuasa untuk bertindak sekiranya berlaku pencerobohan tanah.

Justeru, beliau menjelaskan, penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan semudah melaporkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

“Apabila laporan telah dibuat, polis sepatutnya membuka kertas siasatan dan menyiasat. 

“Urusan menentukan agensi yang bertanggungjawab serta menyampaikan notifikasi kepada pihak berkaitan sepatutnya menjadi sebahagian daripada proses siasatan pihak polis, bukannya beban yang perlu ditanggung oleh pengadu.

“Apa-apa pun, ketika memulakan siasatan, sudah tentu pihak yang didakwa menceroboh tanah tersebut perlu dipanggil terlebih dahulu,” katanya kepada Pertiwi.

Sebelum ini, TV Pertiwi melaporkan beberapa siri aduan yang diterima daripada orang awam mengenai binaan kuil haram di atas tanah kerajaan termasuk tanah rizab.

Ada yang telah membuat aduan kepada pihak berkuasa selama 12 tahun dan ada juga yang bersabar sehingga 18 tahun. 

Namun kuil yang dibina secara haram itu masih tidak dikenakan tindakan dan masih beroperasi sehingga hari ini.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil oleh orang awam dalam isu pencerobohan tanah kerajaan, Aidil berkata, ada dua cara yang masyarakat boleh lakukan.

Beliau berkata, pilihan pertama ialah melalui saluran jenayah dengan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Kata beliau, sekiranya hasil siasatan menunjukkan terdapat asas untuk pendakwaan, perkara itu boleh dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya. 

“Masalahnya sekarang ialah orang awam sudah membuat laporan serta aduan termasuk kepada pihak PBT dan pejabat tanah tetapi tiada tindakan,” katanya.

Oleh itu, Aidil berkata, pilihan kedua ialah melalui saluran sivil terutama bagi penduduk yang terjejas dengan aktiviti rumah anutan sehingga mengganggu ketenteraman.

Beliau berkata, pilihan yang boleh dipertimbangkan bagi saluran ini ialah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap pihak berkuasa yang didakwa gagal mengambil tindakan.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa yang perlu dinamakan dalam permohonan tersebut tidak boleh ditentukan secara umum, sebaliknya diteliti berdasarkan bidang kuasa agensi berkenaan, fakta kes dan tindakan atau kegagalan yang dipertikaikan.

“Selain itu ialah membuat tuntutan sivil terhadap kerajaan atas alasan ‘breach of statutory duty’, iaitu dakwaan kegagalan melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Dalam konteks ini, pihak yang membuat tuntutan perlu menunjukkan bagaimana kegagalan pihak berkuasa menjalankan kewajipan tertentu berkaitan pengurusan atau penguatkuasaan tanah telah menyebabkan pencerobohan dan menjejaskan kepentingan mereka,” katanya.

Tambah Aidil, tindakan sivil seperti ini memerlukan penelitian terperinci oleh peguam, termasuk kronologi pemilikan tanah, bagaimana pencerobohan bermula, rekod aduan terdahulu serta pihak yang sepatutnya dinamakan dalam tindakan mahkamah.

Namun begitu, Aidil berkata, isu ini tidak sepatutnya meleret sampai ke tahap orang awam membawa masalah tersebut ke mahkamah kerana ia boleh diselesaikan secara terus jika pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Siapa yang nak tanggung kos guaman bagi pengadu untuk membawa perkara ini ke mahkamah? 

“Kalau masuk ke mahkamah pun, sudah tentu akan mengambil masa hingga bertahun untuk diselesaikan sedangkan sepanjang tempoh itu, penduduk yang terjejas mungkin perlu berhadapan lagi dengan gangguan yang berpunca daripada pencerobohan berkenaan,” tambah beliau. 


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Saya pernah rancang terusan 18km `Canal City’ tapi dibatalkan kerajaan PKR – Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa beliau pernah merancang projek tebatan banjir ketika menjadi Menteri Besar Selangor dengan membina satu terusan sepanjang 18 kilometer menghubungkan dua sungai iaitu Sungai Klang dengan Sungai Langat.

Menurutnya, menerusi rancangan itu, dua tasik lombong sedia ada iaitu di Shah Alam dan Kuala Langat turut dirancang sebagai pengimbang paras air yang mana jika paras air laut surut, air yang terkumpul akan mengalir ke laut.

Di samping itu, kata beliau, turut dirancang di kawasan sekitar terusan itu adalah pembinaan kediaman berkonsep rumah yang di kelilingi oleh sungai atau terusan kecil.

Dakwanya, projek itu diberi nama projek tebatan banjir Canal City yang mana kajian terperinci telah dibuat dan jika dilaksanakan, mampu menampung jumlah beratus ribu liter air, sekali gus boleh mengelakkan Shah Alam daripada dilanda banjir besar untuk tempoh 100 tahun.

“Malangnya ia telah dibatalkan oleh kerajaan PKR (Pakatan Rakyat). Lebih malang lagi tanahnya telah dijual kepada pihak pemaju,” dakwanya menerusi Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, selagi kerajaan tidak menyediakan jalan keluar air selain sungai sedia ada Shah Alam akan terus dilanda banjir dan kekerapannya akan bertambah pada masa hadapan.

“Penduduk Shah Alam mulalah fikir bagaimana utk mendapat faedah dari banjir ini kerana kerajaan negeri, kerajaan madani ini tidak ambil pusing pun utk selesai masalah ini,” tambahnya.

Terdahulu, Mohamad Khir berkata, Shah Alam adalah kawasan lembah kepada kawasan sekitarnya atau dengan kata lain, adalah kawasan rendah dibandingkan kawasan sekitarnya seperti Sungai Buloh; Rawang dan Petaling Jaya.

Menurutnya, banjir besar akan melanda apabila hujan berlaku pada waktu yang sama dengan air laut pasang besar.

Jelasnya, paras air laut yang lebih tinggi daripada paras air sungai, menyebabkan air hujan yang memenuhi sungai tidak ada jalan keluar, lalu terkumpul dan bertakung di kawasan rendah iaitu Shah Alam.

Jelasnya, pembangunan pesat di Kuala Selangor; Sungai Buloh, Rawang dan Petaling Jaya memburukkan lagi keadaan apabila air mengalir ke kawasan rendah seperti di Shah Alam terutama di Kampung Melayu Subang; Batu Tiga dan Sri Muda.

“Selagi kerajaan tidak menyediakan outlet utk air hujan ini keluar seperti kolam takungan air, lebih baik sungai takungan air yg boleh menyimpan beratus juta liter air, sementara menunggu air laut surut, Shah Alam akan menerima padah banjir besar walaupun di Shah Alam tidak ada hujan lebat,” katanya. 

Sumber | MalaysiaGazette

Sampai Kiamat Pun Saifuddin Nasution Tak Akan Terangkan Isu Shuhaily

ULASAN | Sampai Kiamat Pun Saifuddin Nasution Tak Akan Terangkan Isu Shuhaily

Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution kata kementerian dia sudah buat keputusan nak tamatkan penugasan Shuhaily kat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan hantar dia balik ke pasukan polis.

Tapi beberapa hari lepas itu, alih-alih Shuhaily telah masuk kerja balik sebagai Ketua Pengarah AKPS seperti biasa.

Kalau kita pelik kenapa menteri cakap lain minggu lepas, tapi minggu ni lain pula yang jadinya, bukan kita saja yang tertanya tanya.

Peguam Shuhaily, Rafique Rashid Ali kata, anak guam dia akan teruskan tugas di AKPS sebab sampai sekarang anak guam dia tak dapat apa-apa surat rasmi dari Kementerian Dalam Negeri pasal pertukaran balik ke pasukan polis.

Bukan Itu saja, Rafique siap gesa Saifuddin supaya perjelaskan status Shuhaily, sebab kenyataan awal menteri tu cuma buat orang ramai makin konfius.

"Orang ramai dah mula persoal kenapa menteri cakap lain, tapi apa yang jadi kat luar lain pulak. Saifuddin patut jelaskan benda ni sebab dia dah timbulkan pelbagai spekulasi," kata Rafique.

Jadi, agak-agak bila Saifuddin akan bagi penjelasan ?

Jawapan pendek saya ialah jangan harap lah Saifuddin akan bagi penjelasan.

Sampai sekarang pun  Saifuddin belum  jelaskan macam mana 6-7  pemain bola sepak asing boleh dapat kewarganegaraan Malaysia, padahal mereka langsung tak lepas syarat nak dapat taraf warganegara.

Kalau isu pemain naturalisasi tu pun dia tak pernah bagi penjelasan yang munasabah, apa peluangnya untuk dia terangkan isu ni pulak?

Bila saya lihat gelagat Menteri Menteri Madani ini, saya rasa macam lebih baik kalau kita lupakan saja lah niat nak dengar menteri-menteri Madani ni bagi penjelasan pasal apa-apa isu pun.

Kita tak  payah nak sibuk tanya kenapa Anthony Loke pergi China jalankan tugas menteri pengangkutan lepas dia kata nak letak jawatan, Dan lepas tu balik dari China dan terus tak jadi letak jawatan.

Lupakan jugaklah harapan nak dengar Menteri Sumber Manusia, Ramanan, jelaskan kenapa dia tak saman Rafizi — padahal Anwar sendiri kata kat Parlimen yang Ramanan akan saman Rafizi.

Jangan tanya kenapa Menteri Pendidikan, Fadhlina  terkial-kial nak buat keputusan pada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berapa sekolah patut tutup — padahal dah bertahun-tahun dah kita pakai IPU tu untuk tahu tahap udara itu sihat ke tak sihat.

Jadi tak payah lah kita tunggu  bila lah  Saifuddin akan jelaskan kenapa dia umum satu benda minggu lepas, dan benda lain pula jadinya minggu ini.

Kerajaan Madani kita ni memang takkan boleh terangkan kenapa benda yang depa cakap tak jadi kenyataan, sebab depa sendiri pun  tak tahu kenapa depa cakap benda tu dari awal lagi.

Daripada memberi penjelasan, ni apa yang aku rasa Saifuddin akan buat:

Dia akan senyap  untuk beberapa minggu. Bila isu ni dah basi, baru dia akan muncul balik dan buat-buat macam tak ada apa-apa yang terjadi.

Kalau tak pun, hari ni atau esok dia akan buat pengumuman pasal isu lain yang langsung tak ada kaitan, semata-mata nak tunjuk pada kita  yang dia tengah buat kerja macam biasa dan tak terkesan sikit pun dengan apa yang terjadi.

Memang ni pun *standard operating procedure* menteri Madani bila timbul isu kantoi atau masalah.

Sama ada depa ghaib terus dari pandangan umum sampai ribut reda, atau depa berlakon macam tak ada apa-apa berlaku.

Pasal penjelasan tentelang kesilapan atau kontroversi depa pulak? Sampai Kiamat pun kita tak akan dapat pencerahan.

#KerajaanMadani #SaifuddinNasution #AKPS #Shuhaily #AnthonyLoke #Ramanan #FadhlinaSidek #AkuntabilitiKerajaan #PolitikMalaysia #TheRealNehruism

Cadangan kecualikan semula nikotin vape, M3 persoal komitmen kerajaan haramkan vape



  • Medical Mythbusters Malaysia (M3) mempersoalkan komitmen kerajaan untuk mengharamkan vape pada 2026 susulan laporan bahawa Lembaga Racun menyokong cadangan mengecualikan semula nikotin cecair vape daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.
  • Sehubungan itu, M3 menggesa Menteri Kesihatan memberikan penjelasan mengenai tiga perkara utama, iaitu komitmen kerajaan terhadap sasaran pengharaman vape pada 2026, justifikasi saintifik dan kesihatan awam bagi cadangan pengecualian semula nikotin.
  • M3 turut menegaskan pendiriannya menyokong pengharaman produk vape di Malaysia, khususnya bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja.

KUALA LUMPUR – Medical Mythbusters Malaysia (M3) mempersoalkan komitmen kerajaan untuk mengharamkan vape pada 2026 susulan laporan bahawa Lembaga Racun menyokong cadangan mengecualikan semula nikotin cecair vape daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

M3 berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi hala tuju dasar kerajaan selepas sasaran pengharaman vape pada tahun ini sebelum ini dinyatakan.

“Adakah kerajaan masih komited untuk mengharamkan vape, atau sedang mengubah haluan?” menurut kenyataan media organisasi itu bertarikh 3 November 2026.

Sehubungan itu, M3 menggesa Menteri Kesihatan memberikan penjelasan mengenai tiga perkara utama, iaitu komitmen kerajaan terhadap sasaran pengharaman vape pada 2026, justifikasi saintifik dan kesihatan awam bagi cadangan pengecualian semula nikotin serta pelan tindakan dan garis masa sebenar pelaksanaannya.

M3 turut menegaskan pendiriannya menyokong pengharaman produk vape di Malaysia, khususnya bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja.

“Pendirian M3 jelas: Kami menyokong pengharaman produk vape di Malaysia demi melindungi kesihatan rakyat, khususnya kanak-kanak dan remaja,” menurut kenyataan itu.

Mengulas perkembangan berkenaan, M3 mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi keputusan pada 31 Mac 2023 apabila nikotin cecair vape dikecualikan daripada Senarai Racun walaupun mendapat bantahan Lembaga Racun ketika itu.

Menurut organisasi itu, Mahkamah Tinggi pada 15 Mei 2026 membatalkan keputusan tersebut selepas mendapati tindakan berkenaan tidak rasional, sebelum kerajaan menarik balik rayuan pada Ogos 2026.

Bagaimanapun, M3 membangkitkan persoalan apabila cadangan pengecualian yang sama kini dilaporkan mendapat sokongan Lembaga Racun.

M3 berkata pihaknya menghormati peranan profesional Lembaga Racun dan memahami kemungkinan wujud isu pertindihan kawal selia antara Akta Racun 1952 dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Namun, organisasi itu mengingatkan bahawa pertimbangan pengawalseliaan dan ekonomi tidak seharusnya mengatasi risiko ketagihan nikotin serta tanggungjawab melindungi generasi akan datang.

“Nikotin kekal sebagai bahan yang menyebabkan ketagihan. Kita tidak boleh membiarkan kepentingan pengawalseliaan atau ekonomi mengatasi tanggungjawab melindungi generasi masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, M3 berpandangan pengharaman vape memerlukan perancangan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan keputusan dasar, malah penguatkuasaan dan sokongan kepada pengguna yang mahu menghentikan tabiat tersebut.

“Pengharaman vape perlu dilaksanakan melalui pelan yang jelas, penguatkuasaan berkesan serta perkhidmatan bantuan berhenti vape yang mudah diakses,” menurut kenyataan itu.

M3 turut membangkitkan kepentingan konsistensi dasar kesihatan awam menjelang pilihan raya akan datang, dengan menegaskan bahawa komitmen kepimpinan negara perlu dinilai berdasarkan tindakan yang dilaksanakan.

“Komitmen terhadap kesihatan awam perlu dinilai berdasarkan dasar yang jelas dan tindakan yang konsisten, bukan sekadar janji,” menurut kenyataan itu.

Organisasi itu turut menyatakan akan terus menyokong usaha dan dasar kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas ke arah pengharaman vape tanpa mengira latar belakang politik.

“Perjuangan melindungi generasi masa hadapan adalah tanggungjawab bersama yang melangkaui kepentingan politik,” menurut kenyataan itu. The Merdeka Times




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pas tidak perlu bimbang, UMNO sudah bersama PH - Zaid




SHAH ALAM - Pas perlu bersikap realistik dalam rundingan pembahagian kerusi dengan UMNO dan tidak terlalu bimbang kemungkinan parti itu kembali memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, hakikatnya PH dan UMNO sudah pun bekerjasama.

Malah, beliau turut mendakwa perselisihan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sandiwara politik.

"Ketua Penerangan Pas berkata, parti itu tidak boleh mengambil pendirian terlalu tegas dalam rundingan pembahagian kerusi dengan UMNO kerana bimbang UMNO mungkin menyertai PH.

"Pemimpin parti (Pas) lebih mengetahui cara terbaik untuk merundingkan pembahagian kerusi berbanding saya. Namun, saya juga berpendapat bahawa saya cukup mengenali UMNO.

"Tidak perlu bimbang UMNO akan menyertai PH kerana hakikatnya UMNO sudah pun bersama PH. Perselisihan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sandiwara semata-mata," dakwanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjadi hos bersama dalam audio siar Keluar Sekejap dilapor berkata, parti itu mengambil iktibar daripada kesilapan lalu dalam rundingan pembahagian kerusi dengan UMNO dan kini lebih bertolak ansur dalam kerjasama antara kedua-dua parti.

Menurutnya, Pas sedar tindakan terlalu berkeras dalam rundingan kerusi boleh menyebabkan Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan PH.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, percaturan politik UMNO bergantung kepada keputusan pilihan raya dan jumlah kerusi yang berjaya dimenangi parti itu berbanding Pas serta sekutunya.

"Jika UMNO memenangi lebih banyak kerusi berbanding Pas dan Ahmad Zahid berjaya mendapatkan sokongan blok Borneo, maka Zahid akan menjadi Perdana Menteri," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya Pas dan rakan-rakannya memenangi lebih banyak kerusi berbanding UMNO tetapi gagal membentuk kerajaan, Ahmad Zahid berkemungkinan menawarkan kerusi yang dimenangi parti beliau kepada pihak tertentu sebagai pertukaran untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan.


Sumber | Sinar Harian












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

SSR beras semakin rendah, sasaran 2030 mustahil?




KUALA LUMPUR
: Sasaran kadar sara diri (SSR) beras negara hanya 54 peratus pada 2027 menimbulkan persoalan terhadap perancangan kerajaan untuk mencapai sasaran 80 peratus menjelang 2030.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, sasaran itu lebih rendah berbanding 59.9 peratus yang ditetapkan bagi 2026, malah turut merosot berbanding pencapaian sebenar 54.3 peratus pada 2025.

Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar sara diri beras negara pada 2025 hanya mencapai 54.3 peratus berbanding sasaran dasar sebanyak 75 peratus bagi tahun berkenaan.

“Lebih membimbangkan, Buku Anggaran Perbelanjaan 2027 meletakkan sasaran kadar sara diri beras hanya 54.0 peratus, sedangkan sasaran 2026 dalam buku yang sama ialah 59.9 peratus.

“Mengapakah kementerian meletakkan sasaran yang begini rendah? Maknanya sasaran itu sendiri telah mencerminkan kegagalan perancangan pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan sasaran purata hasil padi negara sebanyak 3.70 tan sehektar bagi 2027 berbanding 3.79 tan sehektar pada 2026.

Katanya, penurunan sasaran tersebut perlu diberikan perhatian memandangkan kerajaan menetapkan sasaran kadar sara diri beras sebanyak 80 peratus menjelang 2030.

“Sasaran 54 peratus pada tahun 2027 menuju sasaran sepatutnya 80 peratus pada tahun 2030. Saya ingin soalkan apakah mekanisme yang dibuat oleh pihak kementerian bagi memastikan sasaran 80 peratus menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya.

Paras air Empangan MADA membimbangkan

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membangkitkan kebimbangan terhadap paras simpanan air di tiga empangan utama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang boleh menjejaskan bekalan air kepada pesawah.

Beliau merujuk kenyataan MADA bertarikh 13 Oktober 2026 yang melaporkan simpanan gabungan tiga empangan berkenaan hanya berada pada paras 40.13 peratus.

Menurutnya, paras simpanan Empangan Pedu direkodkan sebanyak 40.82 peratus, Empangan Muda 25.92 peratus dan Empangan Ahning 45.38 peratus.

Katanya, jumlah hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu bagi tempoh Januari hingga Mei turut berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata.

Susulan keadaan itu, beliau  memaklumkan sebanyak lima siri operasi pembenihan awan dilaksanakan sejak Februari, manakala MADA turut mengoperasikan 117 pam guna semula bagi memanfaatkan sumber air dalam sistem saliran dan sungai.

“Dengan cabaran fenomena yang berlaku, kita sangat bimbang empangan yang kita bina sebenarnya gagal mendapatkan sumber air yang mencukupi untuk dihantar kepada pesawah-pesawah kita,” katanya.

Projek RM761.23 juta perlu dinilai keberkesanannya

Menyentuh projek pemodenan sistem pengairan, Tuan Ibrahim berkata, ucapan Belanjawan 2027 menyatakan kerja menaik taraf pengairan di 15 blok sawah MADA berjalan mengikut jadual, manakala projek pemulihan Empangan Pedu dijangka siap pada penghujung 2027.

Beliau menyambut baik perkembangan itu dan berharap semua projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, fasa pertama projek yang diumumkan pada Disember 2024 melibatkan peruntukan RM761.23 juta merangkumi 15 blok pengairan dan kerja pemulihan empangan.

Katanya, kerajaan mengunjurkan purata hasil padi di kawasan projek meningkat daripada lima tan kepada 5.6 tan sehektar dengan tambahan pengeluaran sekitar 46,000 tan padi.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan keberkesanan projek tersebut sekiranya sumber air tidak mencukupi untuk disalurkan kepada pesawah.

“Kita bina empangan tapi sumber air tak ada. Jadi empangan yang kita bina gagal untuk kita manfaat kalau sekiranya tidak disusun dengan baik,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Sehubungan itu, beliau meminta kementerian membentangkan imbangan bekalan dan permintaan air mengikut musim, termasuk simulasi kemarau, hak pelepasan air empangan serta keutamaan pengagihan sekiranya bekalan perlu dicatu.

Tuan Ibrahim turut meminta kerajaan memperincikan kemajuan setiap blok pengairan, kadar kehilangan air serta keluasan kawasan dan hasil padi sebenar yang direkodkan sehingga 2026 berbanding sasaran pada 2027.

Menurutnya, kementerian juga perlu menjelaskan jadual tanaman alternatif yang boleh dilaksanakan sekiranya bekalan air tidak mencukupi, selain bentuk bantuan bagi melindungi pendapatan pesawah.

“Kebolehpercayaan bekalan air serta pendapatan bersih pesawah sebagai ukuran kejayaan projek, bukannya hanya peratus siap kerja sahaja,” tegasnya.

Potensi air bawah tanah perlu dikaji

Tuan Ibrahim turut mencadangkan supaya kerajaan menjalankan kajian bagi meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah untuk sektor pertanian, khususnya kawasan penanaman padi.

Menurutnya, penggunaan air bawah tanah ketika ini hanya sekitar tiga peratus, sedangkan negara mempunyai sumber yang berpotensi untuk dimanfaatkan.

Katanya, penelitian terhadap sumber tersebut penting bagi membantu petani dan pesawah mendapatkan bekalan air tambahan, khususnya ketika berdepan masalah kekurangan air.

Subsidi RM2.62 bilion perlu tingkat hasil padi

Menyentuh subsidi padi, Tuan Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM2.62 bilion bagi subsidi padi dan insentif pesawah, sama seperti anggaran 2026 dalam Buku Anggaran Perbelanjaan.

Menurutnya, pakej bantuan kepada pesawah dianggarkan sekitar RM4,300 sehektar merangkumi bantuan benih, baja, racun, pembajakan dan sokongan harga.

Katanya, insentif penuaian turut dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, manakala insentif pembajakan sebanyak RM300 dikekalkan dengan pelaksanaannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Beliau menyambut baik bantuan berkenaan yang disifatkan penting untuk mengurangkan tekanan kos ditanggung pesawah.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan bahawa kadar sara diri beras negara masih jauh daripada sasaran dasar walaupun pelbagai bantuan dan subsidi disediakan kepada sektor berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta kementerian menjelaskan mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran kadar sara diri beras sebanyak 80 peratus menjelang 2030 dapat dicapai. – HARAKAHDAILY 5/11/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Beras bukan tumbuh sendiri, pesawah makin tua, tiada pelapis




KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai masa depan industri padi negara dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang dibangkitkan susulan peningkatan usia pesawah serta kekurangan golongan muda menceburi sektor berkenaan.

Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, keadaan itu membimbangkan kerana beras merupakan makanan asasi dan industri padi komponen penting dalam keselamatan makanan negara.

Beliau merujuk Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan 461,866 pesawah individu, dengan 45.6 peratus daripadanya berumur 60 tahun.

Katanya, hanya 33,213 pesawah berumur antara 15 hingga 30 tahun, bersamaan 3.3 peratus daripada keseluruhan jumlah pesawah direkodkan.

“Persoalan saya ialah 10 tahun lagi, 20 tahun lagi, adakah masih ada pesawah yang akan mengerjakan buat bendang ini?” soal beliau ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau bimbang kekurangan pesawah muda menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja untuk mengusahakan sawah, sekali gus meningkatkan kebergantungan terhadap bekalan beras luar negara.

Menurutnya, keadaan industri padi ketika ini sudah membimbangkan dan berpotensi menjadi lebih serius sekiranya tiada lagi golongan yang mengusahakan tanaman berkenaan dalam tempoh dua dekad akan datang.

SSR beras 54.3 peratus, sasaran 80 peratus

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, nilai import makanan agro negara pada 2025 mencecah RM92.7 bilion, sedangkan kadar kecukupan bekalan beras (SSR) hanya 54.3 peratus.

Naib Presiden PAS itu mempersoalkan, sama ada sasaran SSR beras sebanyak 80 peratus menjelang 2030 masih relevan atau sudah diturunkan oleh kerajaan.

“Jika ya untuk 80 peratus, apakah perancangan drastik untuk kita buat? Jika tidak, apakah sebabnya dan adakah terdapat di sana sasaran-sasaran baharu untuk tempoh tersebut?” soal beliau.

Subsidi RM2.62 bilion, pendapatan pesawah?

Menyentuh subsidi padi dan insentif pesawah, Idris mempersoalkan keberkesanan peruntukan RM2.62 bilion yang dikekalkan bagi 2026 dan 2027.

Beliau ingin mengetahui sama ada peruntukan sama itu mampu meningkatkan pendapatan bersih pesawah ketika mereka berdepan peningkatan kos input pertanian.

Antara kos yang dibangkitkan beliau, termasuk baja, racun, upah buruh, penggunaan jentera, diesel serta operasi menuai yang terus membebankan pesawah.

Beliau turut meminta kementerian menjelaskan kaedah penilaian bagi mengukur kejayaan pemberian subsidi dan insentif, khususnya dalam meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Selain itu, beliau meminta pecahan terperinci peruntukan RM2.62 bilion mengikut setiap komponen subsidi dan insentif yang disediakan kerajaan.

Produktiviti padi menunjukkan penurunan

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap produktiviti pengeluaran padi yang menunjukkan perubahan sepanjang tempoh 2025 hingga 2027.

Menurutnya, produktiviti purata bagi setiap hektar pada 2025 ialah 3.73 tan, meningkat kepada 3.79 tan pada 2026 sebelum menurun kepada 3.70 tan pada 2027.

Beliau berpandangan penurunan itu memerlukan tindakan sewajarnya bagi memastikan produktiviti tanaman padi dapat dikekalkan pada tahap baik.

Kelewatan baja tambahan di MADA

Beliau turut membangkitkan isu kelewatan bekalan baja tambahan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menjejaskan ribuan pesawah serta ribuan hektar sawah.

Beliau menyifatkan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pesawah sudah berdepan pelbagai kesukaran, termasuk malapetaka dan bencana.

“Tiba-tiba pula ini perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku untuk kita melakukan satu perkara yang amat zalim kepada pesawah.

“Sehinggakan siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pun telah terlibat.

“Dan persoalan saya ialah apakah jaminan daripada kementerian supaya perkara ini tidak berulang lagi?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2026





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo