Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, sasaran itu lebih rendah berbanding 59.9 peratus yang ditetapkan bagi 2026, malah turut merosot berbanding pencapaian sebenar 54.3 peratus pada 2025.
Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar sara diri beras negara pada 2025 hanya mencapai 54.3 peratus berbanding sasaran dasar sebanyak 75 peratus bagi tahun berkenaan.
“Lebih membimbangkan, Buku Anggaran Perbelanjaan 2027 meletakkan sasaran kadar sara diri beras hanya 54.0 peratus, sedangkan sasaran 2026 dalam buku yang sama ialah 59.9 peratus.
“Mengapakah kementerian meletakkan sasaran yang begini rendah? Maknanya sasaran itu sendiri telah mencerminkan kegagalan perancangan pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan sasaran purata hasil padi negara sebanyak 3.70 tan sehektar bagi 2027 berbanding 3.79 tan sehektar pada 2026.
Katanya, penurunan sasaran tersebut perlu diberikan perhatian memandangkan kerajaan menetapkan sasaran kadar sara diri beras sebanyak 80 peratus menjelang 2030.
“Sasaran 54 peratus pada tahun 2027 menuju sasaran sepatutnya 80 peratus pada tahun 2030. Saya ingin soalkan apakah mekanisme yang dibuat oleh pihak kementerian bagi memastikan sasaran 80 peratus menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya.
Paras air Empangan MADA membimbangkan
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membangkitkan kebimbangan terhadap paras simpanan air di tiga empangan utama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang boleh menjejaskan bekalan air kepada pesawah.
Beliau merujuk kenyataan MADA bertarikh 13 Oktober 2026 yang melaporkan simpanan gabungan tiga empangan berkenaan hanya berada pada paras 40.13 peratus.
Menurutnya, paras simpanan Empangan Pedu direkodkan sebanyak 40.82 peratus, Empangan Muda 25.92 peratus dan Empangan Ahning 45.38 peratus.
Katanya, jumlah hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu bagi tempoh Januari hingga Mei turut berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata.
Susulan keadaan itu, beliau memaklumkan sebanyak lima siri operasi pembenihan awan dilaksanakan sejak Februari, manakala MADA turut mengoperasikan 117 pam guna semula bagi memanfaatkan sumber air dalam sistem saliran dan sungai.
“Dengan cabaran fenomena yang berlaku, kita sangat bimbang empangan yang kita bina sebenarnya gagal mendapatkan sumber air yang mencukupi untuk dihantar kepada pesawah-pesawah kita,” katanya.
Projek RM761.23 juta perlu dinilai keberkesanannya
Menyentuh projek pemodenan sistem pengairan, Tuan Ibrahim berkata, ucapan Belanjawan 2027 menyatakan kerja menaik taraf pengairan di 15 blok sawah MADA berjalan mengikut jadual, manakala projek pemulihan Empangan Pedu dijangka siap pada penghujung 2027.
Beliau menyambut baik perkembangan itu dan berharap semua projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurutnya, fasa pertama projek yang diumumkan pada Disember 2024 melibatkan peruntukan RM761.23 juta merangkumi 15 blok pengairan dan kerja pemulihan empangan.
Katanya, kerajaan mengunjurkan purata hasil padi di kawasan projek meningkat daripada lima tan kepada 5.6 tan sehektar dengan tambahan pengeluaran sekitar 46,000 tan padi.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan keberkesanan projek tersebut sekiranya sumber air tidak mencukupi untuk disalurkan kepada pesawah.
“Kita bina empangan tapi sumber air tak ada. Jadi empangan yang kita bina gagal untuk kita manfaat kalau sekiranya tidak disusun dengan baik,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian membentangkan imbangan bekalan dan permintaan air mengikut musim, termasuk simulasi kemarau, hak pelepasan air empangan serta keutamaan pengagihan sekiranya bekalan perlu dicatu.
Tuan Ibrahim turut meminta kerajaan memperincikan kemajuan setiap blok pengairan, kadar kehilangan air serta keluasan kawasan dan hasil padi sebenar yang direkodkan sehingga 2026 berbanding sasaran pada 2027.
Menurutnya, kementerian juga perlu menjelaskan jadual tanaman alternatif yang boleh dilaksanakan sekiranya bekalan air tidak mencukupi, selain bentuk bantuan bagi melindungi pendapatan pesawah.
“Kebolehpercayaan bekalan air serta pendapatan bersih pesawah sebagai ukuran kejayaan projek, bukannya hanya peratus siap kerja sahaja,” tegasnya.
Potensi air bawah tanah perlu dikaji
Tuan Ibrahim turut mencadangkan supaya kerajaan menjalankan kajian bagi meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah untuk sektor pertanian, khususnya kawasan penanaman padi.
Menurutnya, penggunaan air bawah tanah ketika ini hanya sekitar tiga peratus, sedangkan negara mempunyai sumber yang berpotensi untuk dimanfaatkan.
Katanya, penelitian terhadap sumber tersebut penting bagi membantu petani dan pesawah mendapatkan bekalan air tambahan, khususnya ketika berdepan masalah kekurangan air.
Subsidi RM2.62 bilion perlu tingkat hasil padi
Menyentuh subsidi padi, Tuan Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM2.62 bilion bagi subsidi padi dan insentif pesawah, sama seperti anggaran 2026 dalam Buku Anggaran Perbelanjaan.
Menurutnya, pakej bantuan kepada pesawah dianggarkan sekitar RM4,300 sehektar merangkumi bantuan benih, baja, racun, pembajakan dan sokongan harga.
Katanya, insentif penuaian turut dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, manakala insentif pembajakan sebanyak RM300 dikekalkan dengan pelaksanaannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
Beliau menyambut baik bantuan berkenaan yang disifatkan penting untuk mengurangkan tekanan kos ditanggung pesawah.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan bahawa kadar sara diri beras negara masih jauh daripada sasaran dasar walaupun pelbagai bantuan dan subsidi disediakan kepada sektor berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian menjelaskan mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran kadar sara diri beras sebanyak 80 peratus menjelang 2030 dapat dicapai. – HARAKAHDAILY 5/11/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment