BANGI, 27 JAMADILAWAL — Isu pencerobohan dan binaan rumah anutan haram di atas tanah kerajaan sepatutnya diuruskan sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan agensi kerajaan, bukan rakyat, tegas peguam, Aidil Khalid
Beliau berkata, orang awam tidak sepatutnya dibebankan dengan keperluan mengenal pasti sendiri agensi yang bertanggungjawab terhadap sesuatu kawasan tanah kerajaan sebelum aduan dapat dibuat.
Jelasnya, orang awam tidak semestinya mempunyai pengetahuan tentang bidang kuasa setiap jabatan dan agensi mana sebenarnya mempunyai kuasa untuk bertindak sekiranya berlaku pencerobohan tanah.
Justeru, beliau menjelaskan, penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan semudah melaporkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
“Apabila laporan telah dibuat, polis sepatutnya membuka kertas siasatan dan menyiasat.
“Urusan menentukan agensi yang bertanggungjawab serta menyampaikan notifikasi kepada pihak berkaitan sepatutnya menjadi sebahagian daripada proses siasatan pihak polis, bukannya beban yang perlu ditanggung oleh pengadu.
“Apa-apa pun, ketika memulakan siasatan, sudah tentu pihak yang didakwa menceroboh tanah tersebut perlu dipanggil terlebih dahulu,” katanya kepada Pertiwi.
Sebelum ini, TV Pertiwi melaporkan beberapa siri aduan yang diterima daripada orang awam mengenai binaan kuil haram di atas tanah kerajaan termasuk tanah rizab.
Ada yang telah membuat aduan kepada pihak berkuasa selama 12 tahun dan ada juga yang bersabar sehingga 18 tahun.
Namun kuil yang dibina secara haram itu masih tidak dikenakan tindakan dan masih beroperasi sehingga hari ini.
Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil oleh orang awam dalam isu pencerobohan tanah kerajaan, Aidil berkata, ada dua cara yang masyarakat boleh lakukan.
Beliau berkata, pilihan pertama ialah melalui saluran jenayah dengan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Kata beliau, sekiranya hasil siasatan menunjukkan terdapat asas untuk pendakwaan, perkara itu boleh dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
“Masalahnya sekarang ialah orang awam sudah membuat laporan serta aduan termasuk kepada pihak PBT dan pejabat tanah tetapi tiada tindakan,” katanya.
Oleh itu, Aidil berkata, pilihan kedua ialah melalui saluran sivil terutama bagi penduduk yang terjejas dengan aktiviti rumah anutan sehingga mengganggu ketenteraman.
Beliau berkata, pilihan yang boleh dipertimbangkan bagi saluran ini ialah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap pihak berkuasa yang didakwa gagal mengambil tindakan.
Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa yang perlu dinamakan dalam permohonan tersebut tidak boleh ditentukan secara umum, sebaliknya diteliti berdasarkan bidang kuasa agensi berkenaan, fakta kes dan tindakan atau kegagalan yang dipertikaikan.
“Selain itu ialah membuat tuntutan sivil terhadap kerajaan atas alasan ‘breach of statutory duty’, iaitu dakwaan kegagalan melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Dalam konteks ini, pihak yang membuat tuntutan perlu menunjukkan bagaimana kegagalan pihak berkuasa menjalankan kewajipan tertentu berkaitan pengurusan atau penguatkuasaan tanah telah menyebabkan pencerobohan dan menjejaskan kepentingan mereka,” katanya.
Tambah Aidil, tindakan sivil seperti ini memerlukan penelitian terperinci oleh peguam, termasuk kronologi pemilikan tanah, bagaimana pencerobohan bermula, rekod aduan terdahulu serta pihak yang sepatutnya dinamakan dalam tindakan mahkamah.
Namun begitu, Aidil berkata, isu ini tidak sepatutnya meleret sampai ke tahap orang awam membawa masalah tersebut ke mahkamah kerana ia boleh diselesaikan secara terus jika pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
“Siapa yang nak tanggung kos guaman bagi pengadu untuk membawa perkara ini ke mahkamah?
“Kalau masuk ke mahkamah pun, sudah tentu akan mengambil masa hingga bertahun untuk diselesaikan sedangkan sepanjang tempoh itu, penduduk yang terjejas mungkin perlu berhadapan lagi dengan gangguan yang berpunca daripada pencerobohan berkenaan,” tambah beliau.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment