NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label JOHOR. Show all posts
Showing posts with label JOHOR. Show all posts

Pengerusi PN Johor Letak Jawatan, Susuli Pengunduran Muhyiddin

JOHOR BAHRU — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, hari ini.

Peletakan jawatan itu menandakan perubahan kepimpinan PN di peringkat negeri Johor, ketika gabungan berkenaan berdepan fasa penstrukturan semula secara menyeluruh.

Datuk Dr. Sahruddin, yang juga bekas Menteri Besar Johor, sebelum ini memainkan peranan penting dalam menyelaras strategi dan gerak kerja PN di negeri itu. Namun, setakat ini beliau tidak memperincikan sebab khusus yang mendorong keputusan berkenaan.

Muhyiddin Letak Jawatan Pengerusi PN

Peletakan jawatan Dr. Sahruddin berlaku sehari selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional di peringkat nasional, menerusi pengumuman rasmi pada malam tadi.

Muhyiddin menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan dan memastikan kesinambungan perjuangan PN dalam menghadapi cabaran politik semasa, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.

Walaupun melepaskan jawatan Pengerusi PN, Muhyiddin kekal sebagai Presiden BERSATU dan menegaskan komitmennya untuk terus menyumbang kepada parti serta gabungan tersebut.

Fasa Penstrukturan Semula PN

Rentetan pengunduran kepimpinan di peringkat pusat dan negeri ini dilihat sebagai sebahagian daripada proses penilaian semula hala tuju PN, ketika gabungan itu berusaha memperkukuh kedudukan sebagai blok pembangkang utama.

PN Johor dijangka mengadakan perbincangan dalaman dalam masa terdekat bagi melantik Pengerusi baharu, bagi memastikan kelangsungan kepimpinan dan gerak kerja parti di peringkat negeri.

Perkembangan ini terus menjadi tumpuan pemerhati politik yang melihatnya sebagai isyarat perubahan penting dalam landskap politik negara.


PH gelojoh, UMNO Johor tempelak politik sepanjang masa!

AMK Johor Ditegur: Fokus Kepada Pembangunan, Bukan Berpolitik Sepanjang Masa

JOHOR BAHRU – Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan, menegur Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor agar tidak berpolitik sepanjang masa dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha pembangunan negeri. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited dalam memajukan Johor, dengan pencapaian seperti peningkatan unjuran hasil pelaburan dan penjenamaan model ekonomi baharu yang mencipta peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat.

Mohd Lassim menyatakan bahawa kenyataan daripada AMK dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang sering membangkitkan isu pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) menunjukkan sifat gelojoh dan mementingkan diri. Beliau menambah bahawa UMNO Johor sendiri belum pernah membincangkan pembahagian kerusi untuk PRN16 melalui perhubungan negerinya. "Gambaran yang diberikan (AMK Johor) pula seolah-olah UMNO tamak dan PRN akan berlangsung esok hari," katanya.

Beliau mencadangkan agar AMK dan sekutunya bertanding di semua kerusi tanpa memikirkan soal berapa banyak kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO pada PRN16 nanti. Teguran ini hadir di tengah-tengah perbincangan mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di Johor, yang memerlukan pendekatan adil, ikhlas, dan berasaskan semangat perpaduan.

Sebelum ini, Amanah Johor menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang, sama ada bersama BN atau gabungan asal PH. Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa keputusan ini diambil sebagai tanda ketidaksetujuan terhadap BN yang tidak menunjukkan keinginan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Dalam konteks ini, EXCO AMK, Arshad Hassni, menekankan kepentingan semua pihak untuk bertoleransi dan fokus kepada mengukuhkan gabungan PH-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Beliau menyatakan bahawa pembahagian kerusi perlu dilakukan dengan strategi berhemah, mengambil kira kekuatan dan pengaruh masing-masing di kawasan tertentu.

Teguran Mohd Lassim ini menekankan keperluan untuk menyeimbangkan antara aktiviti politik dan tanggungjawab pembangunan negeri, agar kepentingan rakyat Johor sentiasa diutamakan.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Johor Desak Tindakan Undang-Undang Terhadap Pihak Terbabit Dalam Isu Batu Puteh

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menuntut agar individu yang terlibat dalam penarikan balik permohonan semakan tuntutan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dihadapkan ke muka pengadilan. Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri sangat serius terhadap petisyen yang diserahkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Johor, serta perdebatan awam yang timbul selepas penerbitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau berkata, laporan RCI tersebut mendedahkan tindakan Kerajaan Persekutuan pada 23 Mei 2018 yang menarik balik permohonan semakan dan tafsiran terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) walaupun ada bukti baharu yang menyokong tuntutan Malaysia. "Kerajaan negeri dan rakyat Johor amat dukacita dengan pengkhianatan ini. Mereka yang terlibat perlu dihakimi oleh undang-undang negara," katanya.

Semalam, beberapa NGO Johor menyerahkan petisyen kepada Kerajaan Johor, mendesak tindakan tegas diambil berhubung isu kehilangan Batu Puteh. Petisyen itu diserahkan pada Himpunan Solidariti Bangsa Johor Terhadap Batu Puteh yang dihadiri kira-kira 400 ahli pelbagai NGO di Dataran Mahkota, Kota Iskandar.

Pada 5 Disember lalu, RCI mencadangkan supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, susulan keputusan beliau pada 2018 yang menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ berkaitan Batu Puteh. Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasikan itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Ogos lalu, dan mencadangkan laporan polis dibuat untuk memulakan siasatan.

Laporan itu menyatakan bahawa Dr Mahathir mungkin telah menipu Jemaah Menteri dan mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan tersebut. Dr Mahathir pula menegaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu dan mendakwa laporan RCI bersifat politik.

Onn Hafiz mengingatkan bahawa keputusan untuk menarik balik tuntutan Malaysia terhadap Batu Puteh merupakan suatu tindakan yang bertentangan dengan fakta sejarah dan nasihat perundangan, serta mencatatkan titik hitam dalam sejarah Malaysia dan Johor, di mana peluang untuk mendapatkan kembali wilayah tersebut telah terlucut buat selama-lamanya.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Banjir surut dalam tempoh 2 minggu atau sebulan di Batu Pahat, kata exco

Kebanyakan tempat di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat masih ditenggelami air banjir berikutan hujan berterusan minggu lalu. – Gambar Facebook Bomba Johor, 11 Mac, 2023.


BANJIR di daerah Batu Pahat dijangkakan surut dalam tempoh dua minggu atau sebulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor K Raven Kumar.

Beliau berkata perkara tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor yang telah menempatkan pam air di beberapa lokasi sekitar Batu Pahat sejak beberapa hari lepas.

“Ujian yang kita hadapi sejak 1 Mac lepas ialah air banjir tinggi dan kini air sedang mengalir keluar…kita menjangkakan dua minggu atau sebulan akan surut kerana keadaan air banjir termenung, jadi kita kena pam keluar (air).

“Sebanyak 21 pam lagi akan dibawa dari semua negeri ke Batu Pahat, tetapi (untuk memasang) pam air ini kita mesti melihat air sungai tidak melepasi paras tebing,” katanya kepada Bernama selepas meninjau operasi pam air tambahan yang dipasang di Pintu Air Kuala Senggarang di Batu Pahat hari ini.

Menurutnya situasi banjir di Johor seperti di Segamat menujukkan penurunan bilangan mangsa, namun di daerah Batu Pahat menyaksikan trend yang statik dan peningkatan susulan air banjir termenung serta air melimpah ke kawasan rendah.

Raven Kumar berkata beberapa lokasi di Johor yang sebelum ini mengalami banjir seperti di Segamat sudah memasuki fasa pascabanjir dan kerja pembersihan sudah dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah JPS Johor Azren Khalil berkata 46 pam bergerak dengan kapasiti pam lima hingga 20 cusec (kaki persegi sesaat) dipasang di tujuh daerah di negeri itu sejak beberapa hari lepas.

Menurutnya 14 pam dipasang di Tangkak, Batu Pahat (12), masing-masing enam di Johor Bahru dan Pontian, Mersing (empat), Muar (tiga) dan satu di Kota Tinggi.

“Pam air ini dipasang untuk menyokong pintu air bagi mempercepatkan aliran air banjir ke laut atau sungai utama,” katanya.

Setakat 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan 43,793 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 39,919 orang. – Bernama, 11 Mac, 2023.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Banjir di Johor makin pulih, 976 mangsa masih di PPS



JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan apabila seramai 976 mangsa daripada 272 keluarga dilaporkan masih berada di 10 PPS setakat jam lapan malam, Rabu.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), tiga daerah melibatkan Batu Pahat, Kota Tinggi dan Segamat masih terjejas akibat banjir.

"Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan penurunan setakat jam lapan malam, Rabu.

"Setakat jam lapan malam Rabu seramai 872 mangsa daripada 276 keluarga berada di enam PPS di Batu Pahat, 41 mangsa daripada enam keluarga di satu PPS Kota Tinggi dan 63 mangsa daripada 20 keluarga melibatkan tiga PPS Mersing.

"Bagaimanapun, tiada PPS yang ditutup di sebalik penurunan jumlah mangsa banjir ketika ini," menurut laporan berkenaan.

Dalam pada itu, berdasarkan sumber daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), ribut petir dijangka melanda Tangkak, Muar dan Batu Pahat.

Bagaimanapun, tiada amaran hujan lebat berterusan diramalkan berlaku di ketiga-tiga daerah berkenaan.

Sementara itu, pemantauan terus dilakukan susulan penutupan dua jalan melibatkan Jalan Tanah Abang/Selekoh Pertama Tanah Abang di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai, ditutup kepada semua kenderaan berikutan banjir dan tanah runtuh.

“Jalan Tanah Abang/Selekoh Pertama Tanah Abang di Mersing (laluan J228, seksyen 1.0) ditutup kerana dinaiki air setinggi 0.85 meter, manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai juga ditutup kepada semua kenderaan berikutan air naik setinggi 12 meter susulan cerun runtuh di laluan J08 Seksyen 3.5,” menurut laporan berkenaan.


Sumber I Sinar Harian 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tujuh projek kurangkan risiko banjir di Johor

Kerja pembersihan longkang yang diberi tumpuan oleh Kerajaan Johor bagi mengurangkan risiko banjir. - Foto IHSAN FB ONN HAFIZ

JOHOR BAHRU: Projek pelebaran sungai, pembinaan tembok longkang dan naik taraf parit adalah antara tujuh projek yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata secara umumnya, punca utama banjir di negeri ini adalah disebabkan air pasang dan hujan lebat yang berlaku secara serentak.

Oleh itu, katanya, gerak kerja projek berkenaan dibuat khususnya di semua kawasan tumpuan atau 'hotspot' banjir.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah dan sedang melaksanakan gerak kerja bagi mengurangkan risiko banjir terutamanya di semua kawasan tumpuan atau 'hotspot' banjir.

"Ini sebagai langkah persediaan menghadapi banjir," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, Onn Hafiz, hari ini.

Beliau berkata, antara kerja yang sudah dilaksanakan adalah pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan banjir jenis OSD atau 'On Site Detention' serta kerja pembaikan, pembersihan sampah dan pendalaman sungai, longkang, saliran selain perparitan.

Katanya, turut dilaksanakan, pembinaan tembok longkang, pembinaan 'weir' atau tebatan di parit besar, penyelenggaraan, penjagaan dan pembersihan perangkap sampah 'logboom' serta kerja naik taraf parit dan pembinaan pembetung parit bawah tanah.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha membela bangsa Johor dan komited memastikan segala inisiatif serta perancangan yang berterusan akan dilaksanakan untuk membantu mengurangkan risiko banjir di Johor.


Sumber I Astro Awani 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Johor tubuh jawatankuasa khas teliti infrastruktur dan jalan yang kerap dilanda banjir

Kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti infrastruktur serta jalan-jalan yang kerap dilanda banjir di Johor, dan mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya. - Gambar fail/Astro AWANI

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti infrastruktur serta jalan-jalan yang kerap dilanda banjir di Johor, dan mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor; jawatankuasa khas itu akan berbincang dan menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi di kawasan berkenaan, termasuk soal pembuangan sampah yang menyebabkan longkang tersumbat.
Beliau berkata di Johor Bahru, setakat ini 12 kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan yang sering dilanda banjir, antaranya Taman Sutera, Jalan Datin Halimah, Wisma Daiman dan persimpangan lampu isyarat Desa Cemerlang.
Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di sini hari ini beliau berkata selain itu, masalah pembahagi jalan yang tidak sistematik juga akan diatasi, termasuk ditukar baharu bagi menghalang air daripada melimpah ke jalan.
Sementara itu Fazli berkata Jabatan Kerja Raya Johor akan menggazet laluan berasingan bagi bas pekerja dan bas awam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tambak Johor bagi menangani masalah kesesakan teruk di situ.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan kajian Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang mendapati kesesakan teruk di dua laluan khas bas pekerja dan bas awam di CIQ Tambak Johor berlaku seawal pukul 4 pagi hingga 6.30 pagi berikutan tiada pengasingan laluan antara kedua-duanya.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Mangsa banjir di Johor menurun kepada 54 orang pagi ini

Anggota bomba membuat rondaan di beberapa kawasan dilanda banjir. - Foto Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir kilat yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor menurun kepada 54 orang setakat 8 pagi ini berbanding 79 mangsa malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua PPS masih dibuka membabitkan daerah Pontian dan Kluang.
Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau di Kluang yang dibuka Ahad lepas, menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga setelah kediaman mereka di Kampung Sungai Linau dinaiki air.
"Sementara itu, di Pontian PPS dibuka di SK Melayu Raya melibatkan 32 mangsa yang berasal dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti," menurut kenyataan itu.
Banjir kilat di negeri ini berlaku disebabkan hujan lebat turun melebihi dua jam sejak 10 pagi Ahad lepas.

Sumber | Astro Awani 






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Mangsa banjir kilat di Johor meningkat ke 222 orang

Sebuah PPS dibuka di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh yang menempatkan 97 mangsa daripada 21 keluarga. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir kilat di dua daerah di Johor meningkat kepada 222 orang setakat 4 petang ini, berbanding 194 orang pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataannya memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh yang menempatkan 97 mangsa daripada 21 keluarga.
JPBD bagaimanapun memaklumkan sebuah PPS di Pontian telah ditutup, berikutan kesemua mangsa yang ditempatkan di Sekolah Agama Kayu Ara Pasong telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, berikutan banjir mulai surut.
"Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak empat PPS masih beroperasi setakat ini.
"Dua PPS di Batu Pahat adalah Sekolah Agama Seri Bengkal dan SK Peserai, manakala di daerah Pontian iaitu Pusat Kokurikulum Johor, Sungai Tempayan, masih dibuka sejak semalam," menurut kenyataan jawatankuasa itu.
Menurut JPBD, sebanyak tujuh kawasan di Johor dilaporkan masih terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat bermula pada 6.30 pagi, semalam.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Seri Bengkal; Kampung Bintang Peserai; Kampung Dalam; Kampung Sungai Suloh; Kampung Sungai Suloh Besar dan Kampung Patah Pedang di Batu Pahat serta Kampung Sungai Mulih, Pekan Nenas di Pontian.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Banjir di Batu Pahat semakin pulih, jumlah mangsa terus berkurang

Banjir di Batu Pahat berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, Rabu lepas dan fenomena air pasang. - Gambar fail

BATU PAHAT: Jumlah mangsa banjir di daerah ini berkurang kepada 50 orang malam ini, berbanding 131 orang yang direkodkan pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 malam, 13 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading di sini, yang dibuka sejak Rabu lepas.
Kesemua mangsa melibatkan penduduk dari Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung.
Banjir berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, Rabu lepas dan fenomena air pasang.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Banjir kilat Johor: Mangsa terjejas teruk akan dipindah ke PPR

Beberapa mangsa banjir memerlukan rumah yang lebih selesa dan kerajaan negeri akan mencari PPR dengan segera. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan membantu beberapa mangsa banjir kilat untuk dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas kediaman mereka terjejas teruk akibat kejadian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail berkata beberapa mangsa itu dilihat memerlukan rumah yang lebih selesa dan pihaknya akan mencari PPR dengan segera.
"Ada mereka yang perlukan rumah ini kerana menyewa dan dalam keadaan yang tidak sempurna (akibat banjir).
"Mereka akan duduk sementara dalam sebulan atau dua bulan, selepas itu kita akan uruskan untuk sewa beli. PPR ini kena lihat kelayakan, jadi sesiapa yang layak untuk memohon saya yakin kerajaan negeri akan meneliti perkara ini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir kilat di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Sementara itu, Mohd Fared berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM7,200 bagi memberikan bantuan awal kepada mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM300.
Beliau berkata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi juga dijangka mengumumkan beberapa bantuan daripada kerajaan negeri.
Hujan lebat selama dua jam bermula kira-kira 3 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air lebih dua meter sebelum surut sepenuhnya 10 malam tadi.
Seramai 86 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di dua PPS yang terdiri daripada penduduk Kampung Laut Batu 10, Kampung Pasir, Kampung Kangkar Tebrau dan Kampung Kenangan di sini.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Banjir kilat: Warga JB sifatkan kejadian terburuk dalam tempoh 10 tahun

Beberapa kawasan letak kenderaan di bandar raya ini turut digenangi air banjir antaranya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin. - Gambar/ Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya ini tengah hari tadi, disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.
Rakaman video oleh orang awam yang dikongsikan di Facebook turut memaparkan beberapa jalan utama dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air dan Jalan Yahya Awal.
Malah kawasan letak kenderaan di bandar raya ini turut digenangi air banjir antaranya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin.
Tinjauan Bernama bagaimanapun mendapati air surut sepenuhnya pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi dan rata-rata pemilik bertindak memeriksa keadaan kerosakan pada kereta mereka dan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menggunakan khidmat tunda kenderaan.
Pekerja swasta Aliyas Said, 46, yang meletakkan keretanya di kawasan parkir awam di Jalan Ayer Molek berkata banjir kilat kali ini adalah paling teruk dalam tempoh 10 tahun, kerana air naik sehingga ke paras bonet kereta.
"Kejadian (banjir kilat) berlaku tengah hari tadi, masa itu hujan turun lebat sangat dan tengok kereta pun sudah tenggelam.
"Paras air melepasi tayar (sehingga kereta dimasuki air), saya kerja di bangunan berdekatan. Jadi, tunggu hujan reda sedikit dan panggil kawan-kawan untuk tolak kereta," katanya.
Bagi S.Durghs, 28, pula, beliau terkejut apabila mengetahui keretanya yang diletakkan di kawasan parkir awam itu dinaiki air, turut terkesan.
"Sejak pagi saya sudah letakkan kereta di sini, (ketika kejadian) saya berada di luar dan dapat mesej tempat parkir banjir hingga paras pinggang, ini kali pertama kereta kena air banjir...sebelum ini ada hujan tapi tidak teruk macam ini," katanya pekerja swasta itu.
Sementara itu, Nour Hashidah Fahruddin, 37, yang pertama kali mengalami kereta dimasuki air mengharapkan agar pihak berwajib dapat mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya itu.
"Sebenarnya, sudah banyak kali air naik di kawasan ini, tapi kali ini air naik mendadak. Sebelum ini, air naik ke paras tayar dan tidak masuk dalam kereta, (tetapi) kali ini masuk...sudah 10 tahun saya bekerja di kawasan ini dan ini kali pertama air masuk dalam kereta," kata pekerja swasta itu.
Hujan lebat selama dua jam sejak 12.30 tengah hari tadi, menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air dan lebih 500 kenderaan turut terjejas.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Senarai penuh exco baru kerajaan Johor

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan senarai barisan baru Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik menerajui kerajaan Johor.

Berikut adalah senarai penuh portfolio Exco Johor yang baru:

1. Datuk Onn Hafiz Ghazi (Ahli Dewan Undangan Negeri Machap)

Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor

2.Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap)

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar

3. Datuk Mohd Jafni Md Shukor(Bukit Permai)

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan

4. K. Raven Kumar (Tenggaroh)

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya

5. Khairin Nisa Ismail (Serom)

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

6. Mohd Hairi Mad Shah (Larkin)

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia

7. Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah)

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam

8. Ling Tian Soon (Yong Peng)

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan

9. Lee Ting Han (Paloh)

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna

10. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir)

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur

11. Norliza Noh (Johor Lama)

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.

Sumber | Bernama

MB beri isyarat pembukaan sempadan Johor-Singapura mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

Tambak Johor. - Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memberi isyarat pembukaan sempadan Johor-Singapura mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

Bagi merealisasikan pembukaan sempadan itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh, malam ini.

"Malam ini saya berkesempatan berjumpa Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh bagi membincangkan pembukaan sempadan Johor-Singapura.

"Insya-Allah, ada berita baik untuk bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dalam masa terdekat.

"Esok, saya akan membuat mesyuarat penyelarasan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar bersama agensi berkenaan bagi memastikan kesiapsiagaan pembukaan sempadan Johor-Singapura ini.

"Sama-sama kita doakan agar segala urusan dipermudahkan," katanya dalam muat naik di Facebook, malam ini.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengumumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April ini.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Hasni Mohammad, turut menggesa kerajaan memuktamadkan segera prosedur operasi standard (SOP) perjalanan ulang-alik harian ke Singapura menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April depan.

Kira-kira 400,000 rakyat Johor berulang-alik ke Singapura setiap hari bagi bekerja di pelbagai sektor di republik itu

Bagaimanapun, kurang separuh daripada jumlah itu masih tinggal dan bekerja di Singapura susulan penutupan sempadan negara mulai 18 Mac 2020.


Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Onn Hafiz bakal teruskan misi dan visi Hasni


KLUANG: Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan bekerjasama serta meneruskan misi, visi dan manifesto bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Berkongsi perbualannya bersama Hasni sebelum mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene semalam, Onn Hafiz berkata, Hasni juga akan memberikan bantuan dan sokongan kepadanya dalam memimpin negeri itu.

Dalam ucapan sulung di hadapan kira-kira 300 penyokongnya semasa majlis santai di Laman Simpang Renggam, dekat sini, Onn Hafiz menyifatkan beliau tidak pernah menemui sosok pemimpin yang berjiwa besar seperti Hasni.

"Pada Majlis Angkat Sumpah di depan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebelum itu saya dapat berbincang dengan dia (Hasni), saya tak pernah lihat seorang seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar.

"Dia (Hasni) cakap dengan saya supaya jangan risau, pimpin (Johor)) baik baik dan dia akan bantu dan sokong bina negeri Johor yang kita sayangi ini.

"Saya sangat menghargai dan saya akan berjumpa dan sentiasa berjumpa denganya (Hasni) untuk mendapatkan nasihat dan pandangan supaya yang berpengalaman dapat bergabung dengan yang muda.

"Saya mungkin ada tenaga dan daya tetapi pengalamannya jauh lebih banyak dari saya , inshaAllah visinya, manifestonya tetap saya akan tunaikan untuk rakyat Johor," katanya.

Onn Hafiz memulakan tugasnya secara rasmi di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di Johor Bahru hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lepas, Onn Hafiz, 43, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.

Onn Hafiz berkata, merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada Hasni yang juga memenangi kerusi DUN Benut , yang sudah berjuang habis habisan untuk memastikan kemenangan yang cukup besar BN di Johor.

"Saya ini macam tak percaya je ni, betul , sebab tak terlintas di pemikiran saya, kerana di atas saya di peringkat kepimpinan ada seorang pemimpin yang jauh lebih hebat daripada saya.

"Jauh lagi banyak pengalaman dari saya, lagi banyak visi dan misinya yang belum dicapai, tidak lain tidak mantan.

"Beliau memimpin di Johor, kita BN bersyukur Alhamdulillah mendapat 40 daripada 56 kerusi di Johor suatu pencapaian yang lama kita tak dapat," katanya.

Beliau berkata, menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang berjaya mengemudi majlis angkat sumpah itu hingga berjalan dengan lancar, tertib dan sempurna.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Peralihan monsun: Banjir kilat berpotensi berlaku di Johor

Malaysia mengalami fasa peralihan monsun bermula Isnin lalu hingga pertengahan Mei depan

JOHOR BAHRU: Banjir kilat berpotensi berlaku di seluruh negeri Johor berikutan peralihan monsun yang dijangka berterusan hingga Mei depan, menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Bagaimanapun, situasi itu tidak kritikal seperti ketika Monsun Timur Laut.

"APM Johor telah bersiap siaga dengan keanggotaan lebih 700 orang serta logistik termasuk pacuan empat roda, bot penyelamat, ambulans sejak dari permulaan Monsun Timur Laut yang berlaku semasa awal Januari lepas untuk menghadapi sebarang kemungkinan," menurut APM dalam kenyataan hari ini.

APM menasihatkan penduduk yang berisiko terjejas banjir supaya patuh dengan arahan pihak berkuasa dan berpindah keluar sekiranya keadaan banjir di tempat masing-masing menjadi semakin buruk.

"Jangan sesekali cuba meredah jalan raya yang dinaiki air kerana risiko kenderaan hanyut oleh arus dan terperangkap adalah tinggi.

"Sebagai persediaan awal, juga dinasihatkan agar sentiasa mengambil maklum ramalan cuaca harian supaya persediaan selanjutnya dapat dilakukan," menurut APM.

APM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak lupa membawa dokumen penting termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula Isnin hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November lalu. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo