NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Banjir kilat Johor: Mangsa terjejas teruk akan dipindah ke PPR

Beberapa mangsa banjir memerlukan rumah yang lebih selesa dan kerajaan negeri akan mencari PPR dengan segera. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan membantu beberapa mangsa banjir kilat untuk dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas kediaman mereka terjejas teruk akibat kejadian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail berkata beberapa mangsa itu dilihat memerlukan rumah yang lebih selesa dan pihaknya akan mencari PPR dengan segera.
"Ada mereka yang perlukan rumah ini kerana menyewa dan dalam keadaan yang tidak sempurna (akibat banjir).
"Mereka akan duduk sementara dalam sebulan atau dua bulan, selepas itu kita akan uruskan untuk sewa beli. PPR ini kena lihat kelayakan, jadi sesiapa yang layak untuk memohon saya yakin kerajaan negeri akan meneliti perkara ini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir kilat di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Sementara itu, Mohd Fared berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM7,200 bagi memberikan bantuan awal kepada mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM300.
Beliau berkata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi juga dijangka mengumumkan beberapa bantuan daripada kerajaan negeri.
Hujan lebat selama dua jam bermula kira-kira 3 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air lebih dua meter sebelum surut sepenuhnya 10 malam tadi.
Seramai 86 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di dua PPS yang terdiri daripada penduduk Kampung Laut Batu 10, Kampung Pasir, Kampung Kangkar Tebrau dan Kampung Kenangan di sini.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo