NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label FIFA 2022. Show all posts
Showing posts with label FIFA 2022. Show all posts

Neow dakwa DAP main isu 3R di media Cina



  • Dalam satu hantaran di Facebook, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa DAP menggunakan pendekatan dan naratif yang berbeza mengikut sasaran audiens, termasuk menuduh pihak lain bersifat rasis serta membawa “green wave”, namun mengubah pendekatan apabila berucap kepada kelompok lain.
  • “Persoalannya, adakah mereka berani mengulangi hujah yang sama di hadapan media arus perdana dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris? Apabila bercakap kepada kelompok berbeza, naratifnya juga berubah. Di satu pentas menuduh orang lain rasis dan membawa “green wave”, tetapi di pentas lain menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut sasaran audiens,” soalnya.

SEREMBAN– Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa DAP terus memainkan sentimen berkaitan isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), khususnya ketika berhadapan dengan media berbahasa Cina, selain mempersoalkan konsistensi naratif parti itu apabila berkomunikasi dengan khalayak yang berbeza.

Dalam satu hantaran di Facebook, Neow mendakwa DAP menggunakan pendekatan dan naratif yang berbeza mengikut sasaran audiens, termasuk menuduh pihak lain bersifat rasis serta membawa “green wave”, namun mengubah pendekatan apabila berucap kepada kelompok lain.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin DAP berani mengulangi hujah yang sama di hadapan media arus perdana berbahasa Melayu atau Inggeris seperti yang didakwa disampaikan kepada media berbahasa Cina.

“DAP dilihat menggunakan naratif yang berbeza apabila bercakap kepada kelompok berbeza. Di satu pentas menuduh orang lain rasis dan membawa ‘green wave’, tetapi di pentas lain menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut sasaran audiens,” katanya.

Neow berkata tindakan sedemikian bercanggah dengan pendirian DAP yang selama ini mendakwa menolak politik perkauman.

Beliau turut mengingatkan bahawa DAP merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan menggesa parti itu membuktikan komitmennya terhadap politik yang sederhana melalui tindakan serta pendirian yang konsisten, bukannya mengikut pentas dan khalayak.

Dalam hantaran sama, beliau berkata rakyat yang ditemuinya sepanjang tempoh berkempen lebih berminat mendengar cadangan parti-parti politik mengenai usaha meningkatkan ekonomi Negeri Sembilan, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya dalam kalangan golongan muda, berbanding politik berasaskan sentimen.-The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kementerian Perpaduan perlu proaktif, bukan semua orang boleh sabar dalam isu agama – Halimah Ali



KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan perlu mengambil langkah proaktif demi menangani isu hangat khususnya berkaitan agama yang boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan antara kaum.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali (Perikatan Nasional) berkata, pemberian penjelasan perlu disemarakkan supaya semua pihak faham tentang sensitiviti agama, kaum dan bangsa yang perlu dihormati antara satu sama lain.

“Bukan semua orang boleh sabar, apatah lagi mengenai keagamaan. Jadi tolonglah senaraikan, jemput semua yang ada pengetahuan tentang setiap segmen dalam masyarakat supaya kita boleh memahamkan semua pihak untuk jelaskan perkara yang boleh pecah belahkan dalam negara kita. Apatah lagi bila ia berkaitan agama ia akan menyebabkan bibit kebencian dan syak wasangka.

“Apakah kerajaan mungkin perlu buat surat kepada industri-industri, kepada kilang pembuatan, jabatan agensi kerajaan NGO apatah lagi yang berkaitan pakaian, orang Islam pun tidak letak kalimah Allah di tikar sembahyang sebab ia di bawah. Jadi ini perlu difokuskan oleh Kementerian perpaduan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, isu agama pada akhirnya mengundang tindakan tuding jari antara satu sama lain.

“Cukuplah kita saling tuding menuding perkara yang boleh dielakkan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, isu penjualan stoking bercetak kalimah Allah oleh KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menjadi hangat dan pertikaian pelbagai pihak.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung perbuatan itu.

Ia bermula pada 13 Mac lalu apabila tular dalam media sosial isu gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart membuat permohonan maaf.

Terkini dilaporkan, polis sudah melengkapkan dua kertas siasatan membabitkan KK Mart dan kilang pengedar yang mengimport stoking yang tertera kalimah Allah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.-MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Piala Dunia 2022 : Croatia atasi Maghribi 2-1, raih kedudukan ketiga

DOHA: Croatia menamatkan saingan Piala Dunia 2022 pada kedudukan ketiga selepas berjaya menewaskan Maghribi 2-1 di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.

Kemenangan itu ibarat pengubat duka buat skuad kendalian Zlatko Dalic selepas mereka gagal mengulangi pencapaian untuk mara ke final sebagaimana edisi 2018 di Russia.

Dengan kemenangan itu, Croatia yang diketuai Luka Modric berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM123.5 juta manakala, Maghribi dikedudukan keempat RM114.3 juta.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat itu, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang berintensiti tinggi dengan saling berbalas serangan sejak awal permainan.

Gol pertama Croatia terhasil pada minit ke tujuh menerusi tandukan menarik Josko Gvardiol selepas pemain RB Leipzig itu bijak menyempurnakan umpaman menerusi gerakan menarik sepakan percuma.

Namun, kegembiraan anak buah Zlatko Dalic tidak bertahan lama apabila selang dua minit kemudian, Achraf Dari berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Maghribi juga menerusi tandukan.

Pada minit ke-23, Croatia nyaris mendapat gol kedua menerusi Modric namun, rembatan deras bintang tengah Real Madric itu berjaya ditepis dengan cemerlang oleh Yassine Bounou.

Pada minit ke-42, Mislav Orsic berjaya meletak Croatia kembali dihadapan apabila lambungan menariknya gagal diselamatkan Bounou dengan bola terkena tiang sebelum menerjah gawang.

Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat sekaligus membolehkan anak buah Dalic memasuki bilik persalinan dengan kelebihan satu jaringan.

Bersambung babak kedua, skrip 45 minit pertama berulang dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang menghiburkan dengan gerakan serangan yang menarik.

Croatia berpeluang untuk menjarakkan lagi kedudukan menerusi Orsic pada minit ke-46 namun, rembatannya dari dalam kotak penalti dinafikan Bounou.

Croatia juga perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Dominik Livakovic selepas pemain itu beraksi dengan cemerlang dan berjaya menghalang beberapa percubaan bahaya Maghribi.

Peluang terbaik Maghribi untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit-minit terakhir masa tambahan separuh masa kedua namun, tandukan penyerangnya, Youssef En Nesyri melepasi palang.

Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuki Croatia menduduki tempat ketiga manakala, Maghribi berpuas hati dikedudukan keempat.- Agensi


Argentina dilihat miliki kelebihan muncul juara Piala Dunia

DOHA – Legenda Manchester United, Rio Ferdinand percaya saingan Piala Dunia 2022 bagaikan ‘taman permainan’ buat Lionel Messi menjelang aksi final antara Argentina dan Perancis di Sta­dium Lusail malam esok.

Beliau yang juga bekas pemain antarabangsa England yakin Argentina memiliki kelebihan untuk menjulang trofi teragung itu berdasarkan prestasi ketika menang 3-0 ke atas Croatia pada separuh akhir Rabu lalu.

Walaupun ramai menganggap Perancis adalah pilihan juara edisi kali ini, namun Ferdinand lebih memilih Argentina selepas me­nyaksikan skuad kendalian Didier Deschamps bergelut ketika bertemu Maghribi kelmarin.

“Saya fikir bintang (kemenangan) itu sedang menanti Lionel Messi. Pada Piala Dunia ini, kita dapat menyaksikan dia bermain perlawanan kompetitif ke-1,000 sepanjang kariernya bergelar pemain bola sepak.

“Apabila timbul soalan me­ngenai siapa pemain terbaik sama ada Messi atau (Diego) Maradona, ramai yang mengatakan Messi tidak memiliki Piala Dunia. Mungkin ini adalah masa ditunggu-tunggu,” katanya.

Untuk rekod, Messi sudah hampir untuk memenanginya pada edisi 2014, namun terpaksa pulang hampa apabila jaringan Mario Gotze pada penghujung permainan membolehkan Jerman menjulang trofi Piala Dunia.

Tambah Ferdinand, perlawanan akhir malam esok bakal menyajikan aksi menakjubkan kerana pemain terbaik antara dua gene­rasi, Messi dan Kylian Mbappe akan membuat perhitungan bagi menentukan siapakah pemain terbaik kejohanan.

“Pada awalnya, ramai yang mengharapkan Maghribi dapat meneruskan kisah dongeng mereka pada Piala Dunia kali ini dengan menewaskan Perancis pada separuh akhir tetapi hajat tersebut tidak tertunai.

“Bagaimanapun, kita akan di­sajikan bukan sahaja pertemuan Argentina dan Perancis, malah pertembungan antara Messi dan Mbappe juga bakal menjadi tarikan. Mungkin juga Messi akan menyerahkan ‘baton’ kepada Mbappe,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan benteng pertahanan Perancis agak rapuh dan ia akan memberi ke­lebihan kepada Messi dan pe­nyerang, Julian Alvarez untuk menghuru-harakan pintu gol mereka esok. – AGENSI

FIFA 2022 : Argentina mara ke final

Argentina mara ke pentas akhir Piala Dunia Fifa 2022 selepas membenam Croatia 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Lusail di Al Daayen, Qatar  pada Selasa. 

Pada minit ke-34 Argentina dihadiahkan sepakan penalti selepas Julian Alvarez dijatuhkan penjaga gawang Croatia dan pemain sensasi Lionel Messi berjaya menyempurnakannya, lapor Agensi Anadolu. 

Lima minit kemudian, Argentina menambah satu lagi jaringan menerusi rembatan jarak dekat  penyerang Alvarez.

-Kedudukan kekal 2-0 sehinga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-69, Alvarez sekali lagi menyumbat gol hasil hantaran cantik Messi yang berjaya menggelecek pertahanan Croatia.

Dalam perlawanan itu penolong jurulatih Croatia Mario Mandzukic turut dilayangkan kad merah pada minit ke-35.

Aksi Messi pada perlawanan kali ini membolehkan pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu mengatasi pencapaian legenda Gabriel Batistuta untuk menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Argentina dengan 11 gol di Piala Dunia.

Argentina bakal menentang pemenang perlawanan Perancis-Maghribi. Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Lusail pada Ahad.

Dengan keputusan ini, Messi mara ke final Piala Dunia kedua sepanjang kariernya.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014, Argentina kecundang 0-1 ketika bertemu Jerman.

Pertembungan Perancis-Maghribi cipta sejarah baharu

DOHA: Selepas menjinakkan Belgium, Portugal dan Sepanyol di Qatar, Maghribi kini berdepan satu lagi gergasi Eropah, Perancis di separuh akhir Piala Dunia 2022.

Maghribi, pasukan Afrika pertama mara hingga ke kelompok empat terakhir Piala Dunia, dijangka mendapat sokongan padu di Stadium Al Bayt, Rabu ini dan kemenangan ke atas juara bertahan itu akan meneruskan perjalanan epik mereka di Qatar.

Kejayaan skuad kendalian Walid Regragui di Qatar memberikan keceriaan kepada rakyat Maghribi terutama komuniti kecil mereka di Perancis.

Pasukan dari Afrika Utara itu menjuarai peringkat kumpulan yang turut dibarisi Croatia, Belgium dan Kanada.

Maghribi kemudian menyingkirkan Sepanyol dan Portugal untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Perancis dijangka akan meneruskan corak permainan menyerangnya - ujian paling getir buat benteng Maghribi yang begitu kental sepanjang kempen di Qatar.

Mereka hanya dibolosi sekali sepanjang kejohanan kali ini - gol sendiri ketika bertemu Kanada pada peringkat kumpulan.

"Kami kini menjadi pasukan yang paling disukai di Piala Dunia kerana kami membuktikan yang anda boleh berjaya walaupun tidak mempunyai bakat dan wang yang banyak.

"Kami membuatkan rakyat dan benua kami amat gembira dan bangga. Apabila anda menonton Rocky, anda mahu menyokong Rocky Balboa dan saya rasa kami adalah Rocky di Piala Dunia.

"Saya rasa kini dunia bersama Maghribi," kata Regragui merujuk kepada filem Rocky lakonan Sylvester Stallone.

Maghribi akan turun tanpa pertahanan utama, Nayef Aguerd (cedera hamstring) dan masih menanti status kecergasan kapten mereka, Romain Saiss.

Bentang Maghribi akan berdepan jentera serangan paling berbisa di kejohanan kali ini, Kylian Mbappe yang meledak lima gol dan Olivier Giroud (empat), serta Antoine Griezmaan yang beraksi cemerlang ketika kemenangan suku akhir ke atas England.

Pertembungan ini juga bakal menemukan rakan sepasukan Paris Saint-Germain, Mbappe dan kawan baiknya Achraf Hakimi.

Keupayaan Maghribi melakukan serangan balas menerusi gandingan Hakimi dan Hakim Ziyech di sayap kanan, akan terhad sekiranya mereka sibuk mengawal Mbappe.

"Ia memerlukan kesempurnaan di peringkat ini. Kualiti saja tidak mencukupi, tetapi skuad ini mempunyai kekuatan mental, dan sedikit pengalaman," kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.

Perancis kini berpeluang cerah menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia selepas Brazil melakukannya 60 tahun lalu. - REUTERS

FIFA 2022 : Jaringan Giroud bawa Perancis mara

AL KHOR – Penggempur veteran Perancis, Olivier Giroud terus mempamerkan aksi menakjubkan pada pentas Piala Dunia kali ini selepas muncul wira pasukan itu dengan meledak gol kemenangan menewaskan England 2-1 awal pagi semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Perancis mara ke pentas separuh akhir dan semakin hampir untuk melakar sejarah menjadi pasukan pertama sejak 60 tahun lalu untuk mengekalkan kejuaraan Pia­la Dunia dua kali berturut-turut.

Giroud meledak gol kemenangan untuk menyingkirkan England sekali gus mengumpul empat gol setakat ini sepanjang kempen kali ini selepas berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Bayt itu.

Les Bleus membuka tirai jari­ngan menerusi Aurelien Tchoumeni pada minit ke-17, namun England menyamakan kedudukan pada babak kedua selepas menyempurnakan sepakan pe­nalti.

Bagaimanapun, Giroud memastikan kemenangan Perancis menerusi tandukan pada minit ke-78 selepas Kane gagal me­nyempurnakan tugasnya selepas sepakan penalti kedua diperoleh England gagal disempurnakan.

“Perlawanan ini mengingatkan saya kepada perlawanan menentang Belgium pada 2018 walaupun senarionya agak berbeza kerana England melakukan kebangkitan dan percaya mereka mampu meraih kemenangan.

“Kami menunjukkan sema­ngat yang luar biasa, semua pemain telah bekerja keras. Sema­ngat ini hampir sama ketika 2018 dan saya harap kami mampu pergi lebih jauh kerana kumpulan pemain kali ini mampu untuk melakukan suatu yang hebat,” katanya.

Pada edisi empat tahun lalu di Russia, Giroud gagal meledak sebarang gol, namun di Qatar, dia berjaya membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan mengumpul empat gol selain muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis memintas rekod Thierry Henry.

Sementara itu, pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui kejayaan paling besar pasukannya adalah memastikan badi juara berakhir selepas Itali, Sepanyol dan Jerman sebelum itu tersingkir awal ketika mereka tiba dengan status juara dunia.

“Rekod juara terdahulu tidak begitu baik dan ramai yang menjangkakan kami juga berdepan nasib yang sama, namun kami berjaya memastikan ‘trend’ itu berakhir.

“Kami sudah semakin hampir (muncul juara), tetapi apa yang penting adalah aksi menentang Maghribi nanti. Kami akan lebih berpuas hati dengan apa yang dilalui jika berjaya menyudahkan tugas itu nanti,” katanya.

Saingan kali ini menyaksikan Perancis tiba di Qatar tanpa enam pemain tonggak seperti Paul Pogba, N’Golo Kante, Presnel Kimpembe, Karim Benzema, Christopher Nkunku dan Lucas Hernandez yang mengalami kecederaan. – AFP

Perancis benam England, 2 - 1

AL KHOR: Tandukan Olivier Giroud 12 minit sebelum tamat permainan mengekalkan misi mempertahankan kejuaraan Perancis di Piala Dunia dengan kemenangan 2-1 ke atas England pada suku akhir.

Aurelien Tchouameni meletakkan Perancis di depan dengan rembatan padu pada minit ke-17 tetapi kemudian dia mengasari Bukayo Saka pada minit ke-54 dan memberikan penalti kepada England.

Penyerang Harry Kane menyempurnakan sepakan berkenaan, menewaskan rakan sepasukan Spurs di gawang Perancis, Hugo Lloris untuk gol penyamaan England.

Giroud menanduk gol kemenangan hasil hantaran Antoine Griezmann tetapi England sekali lagi diberikan sepakan penalti enam minit sebelum tamat permainan.


Maghribi cipta sejarah negara Afrika pertama ke separuh akhir Piala dunia

PETALING JAYA: Pasukan meningkat naik, Maghribi yang diberi julukan Singa Atlas meneruskan mimpi indah dalam saingan Piala Dunia kali ini apabila menumbangkan satu lagi gergasi bola sepak dunia, Portugal, 1-0 di peringkat suku akhir sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al Thumama, Doha, pasukan kendalian Walid Regragui memimpin perlawanan menerusi tandukan Youssef En-Nesyri pada minit ke 43.

Biarpun Portugal membawa masuk Cristiano Ronaldo pada babak kedua untuk mempertingkatkan lagi jentera serangan Selecao, kemapuhan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou sukar ditembusi lawan.

Drama kian menyelubungi perlawanan ini apabila pemain gantian, Walid Cheddira dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari lawan pada penghujung masa tambahan, sekaligus memaksa Maghribi terpaksa bertahan dengan 10 orang pemain.

Bagaimanapun mereka berjaya mempertahankan kedudukan itu sehingga wisel penamat sekaligus melakar sejarah menjadi pasukan pertama dari Afrika dan Arab mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Maghribi sebelum ini menampilkan persembahan memukau dengan menewaskan pasukan No. 2 Dunia, Belgium di peringkat kumpulan dan disusuli menyingkirkan juara 2010, Sepanyol pada pusingan 16 terbaik.

Argentina kalahkan Belanda, menang penentuan penalti 4-3

Argentina menewaskan Belanda 4-3 dalam penentuan sepakan penalti untuk memastikan impian Piala Dunia Lionel Messi, terus menyala selepas Belanda melakukan kebangkitan lewat permainan dalam pertarungan suku akhir yang luar biasa.

Dalam penentuan sepakan penalti, Emiliano Martinez menyelamatkan dua sepakan pertama Belanda untuk memberikan Argentina kelebihan besar.

Sepakan Lautaro Martinez yang mendorong penjaga gawang Belanda, Andries Noppert bergerak ke arah yang salah, memberikan jaguh Amerika Selatan itu bertemu Croatia pada aksi separuh akhir.

Messi meraikan jaringan itu dengan mengangkat tangan di hadapan 88,235 penonton di Stadium Lusail yang sebahagian besar penyokong Argentina dengan harapan untuk menjulang Piala Dunia dalam percubaannya yang kelima.

“Argentina kini empat pasukan terbaik di dunia kerana kami tahu cara bermain setiap perlawanan dengan keinginan yang sama. Kegembiraan yang tidak terkata. Kami terpaksa bermain dalam masa tambahan dan penalti. Walaupun memeritkan, kami berjaya melaluinya,” kata pemenang Ballon D’or tujuh kali itu.


 Pemain Argentina, Rodrigo De Paul dan lawannya dari Belanda, Cody Gakpo, bertarung untuk menguasai bola
Sebanyak 16 kad kuning dilayangkan sepanjang perlawanan oleh pengadil Sepanyol, Antonio Mateu dengan pemain sayap Belanda, Denzel Dumfries, dilayangkan kad merah selepas wisel penamat kerana terbabit dalam pergaduhan.

Belanda melakukan kebangkitan ketika ketinggalan 2-0 dan perlawanan masa biasa hanya berbaki tujuh minit dengan menjaringkan dua gol menerusi pemain gantian Wout Weghorst, untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Messi ternyata amat penting buat Argentina apabila memainkan peranan utama untuk memberikan pendahuluan kepada pasukannya.

Walaupun jaringan Nahuel Molina yang meletakkan Argentina berada di depan pada minit ke-35, Messi bertanggungjawab membuka kekentalan pertahanan Belanda yang sebelum itu, menutup sebarang peluang kepada Argentina.

Messi menjaringkan gol kedua Argentina melalui sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Dumfries mengasari Marcos Acuna. – REUTERS

Restu ibu rahsia kejayaan pasukan Maghribi

DOHA: Lupakan WAGs (isteri dan teman wanita pemain bola sepak).

Rahsia kejayaan Maghribi mara ke suku akhir Piala ­Dunia 2022 terletak kepada ‘restu ibu’ yang datang ke stadium, memberi ciuman dan sokongan dalam semua perlawanan anak-anak mereka.

Ketika Singa Atlas mengejutkan pasukan No. 2 dunia, Belgium 2-0 dalam aksi Kumpulan F, pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi mendapatkan ibunya di kerusi penonton sejurus tamat perlawanan.

Video pelukan dan cubitan pipi antara mereka kemudian tular di media sosial, ditambah pula pemain berusia 24 tahun itu menyiarkan gambar dia mencium dahi ibunya di ­Instagram dengan kapsyen ‘Saya sayang kamu, ibu’.

Hakimi bukan satu-sa­tu­nya pemain yang mendapat soko­ngan ibu bapa, malah keluarga seluruh pasukan, termasuk jurulatih, Walid Regragui ­di­terbangkan ke Qatar.


Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi, Fouzi ­Lekjaa menaja keluarga pemain menonton aksi mereka sepanjang Piala Dunia 2022.

Disebabkan itu, pangkalan skuad Maghribi, Hotel Wyndham Doha West Bay kadangkala terlihat seperti perkhemahan musim panas yang dikendalikan ibu bapa pemain.

Ibu Regragui sendiri, Fatima, melakukan perjalanan sekali seumur hidup di Qatar.

“Sepanjang kerjaya Walid sebagai pemain dan jurulatih, saya tidak pernah mengembara untuk melihat dia bekerja.

“Saya tinggal di Perancis lebih 50 tahun dan inilah kejohanan pertama yang meyakinkan saya untuk meninggalkan Paris,” kata Fatima.
WALID Regragui dijulang pemainnya selepas membawa Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia 2022, menyingkirkan Sepanyol semalam. – AFP

Berbeza dengan ibu pemain tengah, Abdelhamid Sabiri yang gemar mengambil gambar.

Dia menghabiskan beberapa hari di hotel bukan sahaja untuk merakam gambar anaknya, malah bintang seperti Hakim Ziyech, Yassine Bono dan sudah tentu, jurulatih, Regragui.

Semalam, Maghribi memahat sejarah Piala Dunia apabila menyingkirkan juara 2010, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti untuk bertemu Portugal di suku akhir. – AGENSI

Penentuan penalti sangat kejam – Busquets

DOHA: Kekalahan Sepanyol kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti adalah cara yang sangat kejam, kata pemain tengah La Roja, Sergio Busquets.

Lebih malang, sepakan Busquets turut dinafikan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou, malah tiga cubaan juara Piala Dunia edisi 2010 gagal merobek gawang lawan.

“Malang sungguh nasib kami. Penentuan keputusan melalui penalti sangat kejam. Kami sedar perlawanan ini mencabar. Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan mereka (Maghribi). Kami kucar-kacirkan pertahanan mereka dan mencari ruang untuk menjaringkan gol tetapi kami tidak bernasib baik,” katanya.

Pada Kejohanan Euro 2020, Sepanyol turut disingkirkan Itali menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, menurut Bus­quets, 34, kekalahan itu tidak melemahkan semangatnya atau mendorong untuk bersara daripada tugasan antarabangsa.

“Yang penting ialah masa depan pasukan kebangsaan dan bukan saya. Saya tahu perlawanan semalam sangat sukar sehingga menyebabkan kami dipaksa bekerja keras.

Namun, ia satu pengalaman yang berharga terutama kepada pemain-pemain muda dalam skuad ini,” kata pemain Barcelona itu. – AFP

Adakah era Cristiano Ronaldo akan berakhir?

LUSAIL: Pengendali Portugal, Fernando Santos mengambil tindakan berani, merehatkan ketua pasukan dan pemain paling berpengaruh dalam pasukan, Cristiano Ronaldo ketika menentang Switzerland pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 semalam.

Santos menggantikan pemilik lima anugerah Ballon d’Or itu dengan pemain ‘mentah’, Goncalo Ramos, 21, yang hanya membuat penampilan pertama pada Piala Dunia.

Ramos bukan sahaja menampilkan permainan cemerlang dengan meledak hatrik pertama dalam Piala Dunia 2022, malah merubah keseluruhan persembahan Portugal dan membantu negaranya membelasah Switzerland 6-1 untuk mengesahkan tiket ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Ronaldo, 37, yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Portugal sudahpun mendahului 5-1 dibayangi prestasi Ramos sepanjang perlawanan di Stadium Lusail itu.

Permainan yang ditunjukkan Portugal ketika dibarisi Ramos jauh lebih bertenaga, laju dan lancar berbanding apabila Ronaldo mengetuai serangan.
FERNANDO Santos merehatkan Ronaldo di bangku simpanan.

Ronaldo yang kini tidak mempunyai kelab selepas disingkirkan oleh Manchester United kelihatan semakin tenggelam dalam Piala Dunia kelimanya, malah sejurus tamat perlawanan, ketika pemain lain berada di atas padang meraikan kemenangan, dia dilihat berjalan sendirian memasuki bilik persalinan.

Apakah Ronaldo akan terus disisihkan oleh Santos apabila Portugal berdepan Maghribi pada suku akhir, Sabtu ini menjadi persoalan utama.

Peminat Ronaldo mahu melihat bekas bintang United, Real Madrid dan Juventus itu mengetuai negaranya di peringkat besar Piala Dunia, dan akhirnya menjulang Piala Dunia buat kali pertama.

Begitupun melihat kepada prestasi, Ramos adalah orang paling tepat untuk mengetuai serangan Portugal apabila menentang Maghribi, wakil tunggal Afrika yang meneruskan kempen dalam Piala Dunia kali ini selepas mengejutkan juara 2010, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti. – AGENSI

FIFA 2022 : Pasukan Croatia diketuai ‘Anak mafia’

BORNA Barisic (kanan) ketika menjalani latihan bersama pasukan Croatia pada kempen Piala Dunia 2022 di Al Erssal, Doha.

DOHA: Kehadiran Borna Barisic dalam skuad Croatia bukan sahaja menghadirkan rasa gerun buat lawan dalam Piala Dunia Qatar kali ini, tetapi turut mencetus ketakutan kepada rakan sepasukan dan barisan kejurulatihannya sendiri.

Tonggak pertahanan Rangers itu adalah anak ketua mafia terbesar di Croatia, Stipe Barisic yang digelar ‘Si Rama-Rama’.

Pengendali Croatia, Zlatko Dalic merasakan tekanan yang cukup tinggi untuk menurun­kan pemain itu kerana sukar menegurnya jika terdapat kesilapan dilakukan di atas padang.

Rakan sejawat Dalic, Zdravko Mamic yang membimbing kelab Dinamo Zagreb mendapat pe­ngajaran daripada bapa Barisic apabila kakinya ditembak susulan sengaja menghalang perpindahan Barisic ke kelab baharu pada 2017.

Stipe ditahan pihak berkuasa dan dikenakan hukuman penjara 18 bulan, bersama tiga lagi individu yang melakukan sera­ngan terhadap Mamic.

Sebelum itu Ketua Peguam Negara Croatia, Radov Ortynski turut menerima padah apabila rumahnya dibakar, yang me­nyaksikan Stipe dipenjara 10 bulan.

Sekali pun memilih untuk tidak menurunkan Barisic apabila bertemu Jepun pada ­pusingan 16 akhir esok, Croatia dijangka tidak menghadapi masalah kerana semua pemainnya bebas daripada kecederaan, termasuk bekas pemenang Ballon d’Or, Luka Modric.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam Piala Dunia adalah pada edisi 2006 dan perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan.

“Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar tetapi Croatia akan memastikan Jepun berdepan kesukaran kerana kami lebih konsisten,” kata Dalic. – AGENSI

FIFA 2022 : Argentina benam Australia, mara ke suku akhir

MESSI meraikan gol jaringannya dalam pertemuan dengan Australia di peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2022.

DOHA: Argentina meneruskan momentum kemenangan di Piala Dunia 2022 selepas berjaya menewaskan Australia 2-1 di peringkat 16 terbaik sebentar tadi bagi membawa skuad bimbingan Lionel Scaloni melangkah ke suku akhir.

Dalam aksi di Stadium Ahmad Bin Ali itu, Lionel Messi yang mengetuai jentera serangan meletakkan skuad La Albiceleste di hadapan pada minit ke-35 selepas berjaya menyudahkan hantaran satu dua menarik di dalam kotak penalti Australia.

Jaringan Messi itu kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan untuk kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan keputusan 1-0.

Bersambung babak kedua, Australia cuba bangkit dengan corak permainan lebih kemas namun, mereka dihampakan kekebalan barisan pertahanan Argentina yang berjaya mematahkan beberapa gerakan bahaya yang direncanakan.

Pada minit ke-57, skuad The Socceroos sekali lagi dihukum menerusi jaringan kedua Argentina melalui Julian Alvarez selepas penjaga golnya, Mathew Ryan melakukan kesilapan mudah apabila gagal mengeluarkan bola dalam kawasan bahaya.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Graham Arnold cuba bangkit dan hasilnya mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi Craig Goodwinn pada minit ke-77 selepas rembatannya terkena pemain pertahanan Argentina sebelum bola membias tepat ke gawang bagi menewaskan Emiliano Martinez.

Percubaan bertali arus Australia pada minit-minit terakhir gagal membuahkan hasil sehingga wisel penamat dibunyikan untuk keputusan kekal 2-1 berpihak kepada Argentina.

Kemenangan itu juga menyaksikan Argentina akan berdepan Belanda di peringkat suku akhir pada 9 Disember ini selepas skuad Louis Van Gaal menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1 dalam perlawanan terdahulu.-Agensi

FIFA 2022 : Belanda jadi pasukan pertama mara ke suku akhir

DOHA – Belanda menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menundukkan Amerika Syarikat (AS) 3-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.

Keputusan itu pastinya menebus kekecewaan dialami skuad kendalian Louis Van Gaal selepas mereka tidak layak beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia.

AS bermula baik pada perlawanan itu apabila hampir membuka tirai jaringan pada minit kedua, namun percubaan dilakukan pemain sayap, Christian Pulisic diselamatkan penjaga gol, Andries Noppert.

Penyerang Oranje, Memphis Depay kemudiannya meletakkan pasukan itu berada 1-0 di depan apabila menyepak masuk hantaran Denzel Dumfries selepas gerakan menarik dilakukan Belanda bermula dari bahagian bawah.

Lebih manis, jaringan tersebut turut menyaksikan pemain Barcelona itu meletakkan dirinya sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman buat Belanda dengan 43 gol, tujuh gol di belakang legenda, Robin Van Persie.

Ketika aksi separuh masa pertama hampir ke penghujung, bek kiri Belanda, Daley Blind kembali menggamatkan stadium apabila menjadikan perlawanan 2-0 selepas menyambar hantaran dilakukan Dumfries.

Bersambung separuh masa kedua, AS tampak lebih bernafsu apabila bermula garang dan hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-48, namun percubaan Tim Ream disepak keluar Cody Gakpo di atas garisan gol.

Barisan pertahanan Belanda yang diketuai Virgil van Dijk dipaksa bekerja keras apabila skuad kendalian Gregg Berhalter melancarkan serangan demi serangan ke arah pintu gol mereka.

Pada minit ke-76, AS akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 2-1 selepas pemain gantian, Haji Wright menyentuh hantaran Pulisic sebelum bola melantun masuk ke dalam gol Belanda.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Dumfries menjaringkan gol ketiga Belanda lima minit kemudian, sekali gus melengkapkan malam gemilang buat dirinya selepas dia turut melakukan dua umpanan pada perlawanan tersebut.

Selepas memastikan tempat di suku akhir, Belanda kini berpeluang untuk mengulangi pencapaian Piala Dunia Brazil 2014 di mana mereka mara ke separuh akhir sebelum menamatkan kejohanan sebagai pasukan ketiga terbaik.

FIFA 2022 : Dalic akui faktor tuah bantu Croatia mara

DOHA – Pengendali Croatia, Zlatko Dalic mengakui bahawa pasukannya dibantu tuah ketika mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Belgium untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik pada kempen Piala Dunia kali ini.
Croatia hanya memerlukan satu mata pada perlawanan itu untuk mereka layak sebagai pa­sukan kedua terbaik Kumpulan F dan berjaya melakukannya selepas Belgium terlepas beberapa peluang terbaik untuk meledakkan jaringan.

“Saya sudah menjangkakan bahawa bakal berdepan kesulitan menentang Belgium. Mereka mendapat beberapa peluang terbaik untuk merobek gawang kami, tetapi ia tidak mengubah semangat dan kekuatan mental kami.

“Kami sangat bertuah kerana mereka tidak berjaya menyempurnakan peluang-peluang terbaik yang dimiliki,” katanya.

Pada aksi awal pagi semalam, pemain pertahanan Croatia, Josko Gvardiol berjaya mencuri perhatian Dalic apabila melakukan beberapa tindakan yang berjaya menyelamatkan gawang mereka daripada dibocori.

“Gvardiol adalah pemain pertahanan terbaik di dunia. Dia baharu berusia 20 tahun, jika dia masih belum menjadi nombor satu, saya fikir dia akan mendapat kedudukan itu nanti.

“Kami sangat gembira layak ke pusingan berikutnya. Kami layak dengan apa yang telah kami pamerkan, kami mengharungi kesukaran kerana perlu berdepan pasukan yang hebat,” ujarnya.

Kejayaan mara ke pusingan kalah mati itu menyaksikan Croatia dijadual berdepan juara Kumpulan E, Jepun pada Isnin ini yang mara selepas menewaskan Sepanyol pada aksi terakhir awal pagi semalam. – AFP

FIFA 2022 : Martinez tinggalkan Belgium

DOHA – Ketua Jurulatih Belgium, Roberto Martinez membuat keputusan melepaskan jawatan selepas pasukan kendaliannya tersingkir di peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia kali ini selepas terikat tanpa jaringan menentang Croatia awal pagi semalam.

Pengendali berusia 49 tahun itu sudah mengemudi Belgium sejak 2016 dan kontraknya semasanya berakhir sebaik kempen kali ini berakhir.

“Ini adalah perlawanan ter­akhir bersama Belgium, saya tidak mampu lagi untuk teruskan tugas ini. Ini adalah masa untuk saya menerima kenyataan ba­hawa masa saya bersama pasukan ini sudah berakhir.

“Sejak 2018 lagi saya berpe­luang untuk meninggalkan pasukan ini dan kembali menguruskan kelab, tetapi saya memilih untuk setia dan menunggu sehingga kontrak berakhir,” kata Martinez.

Martinez berjaya mengemudi Belgium meraih tempat ketiga pada saingan Piala Dunia 2018 di Russia sebelum membawa pasukan itu mara ke suku akhir Euro 2020 pada tahun lalu.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Belgium, Timothy Cas­tagne menggesa semua pihak tidak menyalahkan penyerang, Romelu Lukaku ekoran kegagalan tersebut biarpun pemain berkenaan berjaya mendapat beberapa peluang terbaik.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana dia (Lukaku) beraksi untuk mendapatkan pe­luang seperti itu, dia juga mela­kukan gerakan dan mengawal bola dengan baik.

“Mungkin jika dia tidak be­ rada dalam aksi kali ini, kami juga tidak mempunyai peluang tersebut. Saya tidak fikir cara yang pa­ling baik meletakkan kesalahan di bahunya, dia sudah memberikan segala-galanya. Jika ini kegagalan, kami perlu menerimanya,” jelasnya. – AFP

FIFA 2022 : Korea Selatan mara ke pusingan 16 terbaik

DOHA : Korea Selatan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebagai naib juara Kumpulan H selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Portugal 2-1 di Stadium Education City, sebentar tadi.

Portugal, yang sudah mengesahkan tempat di pusingan 16 terakhir, hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara kumpulan namun tewas dan keputusan itu bagaimanapun tidak mengugat kedudukan selaku juara kumpulan.

Ini merupakan kemenangan kedua Korea Selatan ke atas Portugal di Piala Dunia sejak melakukannya pada edisi 2002 dan kejayaan tersebut turut menafikan impian bekas juara Eropah itu merakamkan kemenangan bersih di peringkat kumpulan seperti dilakukan semasa penganjuran 1966 dan 2006.

Terdahulu, Korea Selatan yang memerlukan tiga mata untuk layak makin tertekan apabila Portugal berjaya membuka jaringan seawal minit ke-5 menerusi Ricardo Horta.

Bagaimanapun, Kim Young-gwon berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 untuk memastikan perlawanan kembali seimbang.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat tempoh permainan sebenar dan Korea Selatan yang di ambang penyingkiran, tidak berputus asa untuk mencari kemenangan.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan dengan keputusan seri, Son Heung-Min berjaya menggerakan serangan balas pantas dengan baik sebelum melakukan lorongan menarik di celah kaki pertahanan lawan untuk disudahkan oleh pemain gantian, Hwang Hee-Chan pada masa kecederaan untuk kemenangan 2-1 mengatasi Portugal. -AGENSI.

FIFA 2022 : Brazil kecundang 0-1 di tangan Cameroon

DOHA : Gol pada masa kecederaan dipenghujung separuh masa kedua dijaringkan Vincent Aboubakar memastikan Cameroon mengatasi Brazil, 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan F Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, sebentar tadi.

Bagaimanapun kemenangan tersebut tidak cukup buat Cameroon melayakkan diri di pusingan 16 terbaik selepas hanya menamatkan saingan ditempat ketiga dengan empat mata.

Wakil Afrika itu ketinggalan dua mata di belakang Switzerland yang berjaya menewaskan Serbia 3-2 namun Brazil muncul juara kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan dan akan bertemu Korea Selatan pada aksi 16 terbaik nanti.

Fred, Antony dan Bruno Guimaraes dilihat berpeluang membuka jaringan dengan Gabriel Martinelli muncul pemain paling menyerlah buat juara dunia lima kali itu namun keputusan seri tanpa jaringan mengakhiri 45 minit babak pertama.

Cameroon akhirnya memecah kebuntuan pada minit ketiga masa tambahan menerusi tandukan Vincent Aboubakar sebelum dia dilayangkan kad kuning kedua kerana menanggalkan bajunya ketika meraikkan jaringan kemenangan tersebut.

Aboubakar menjadi pemain pertama menerima kad merah di Piala Dunia selepas menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, selepas Zinedine Zidane pada 2016.

Pada aksi itu juga, Dani Alves menjadi pemain tertua pernah mewakili Brazil di Piala Dunia lelaki pada usia 39 tahun sekali gus memecahkan rekod rakan sepasukan, Thiago Silva yang turut beraksi pada edisi kali ini. -AGENSI
© all rights reserved
made with by templateszoo