NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FIFA 2022 : Jaringan Giroud bawa Perancis mara

AL KHOR – Penggempur veteran Perancis, Olivier Giroud terus mempamerkan aksi menakjubkan pada pentas Piala Dunia kali ini selepas muncul wira pasukan itu dengan meledak gol kemenangan menewaskan England 2-1 awal pagi semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Perancis mara ke pentas separuh akhir dan semakin hampir untuk melakar sejarah menjadi pasukan pertama sejak 60 tahun lalu untuk mengekalkan kejuaraan Pia­la Dunia dua kali berturut-turut.

Giroud meledak gol kemenangan untuk menyingkirkan England sekali gus mengumpul empat gol setakat ini sepanjang kempen kali ini selepas berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Bayt itu.

Les Bleus membuka tirai jari­ngan menerusi Aurelien Tchoumeni pada minit ke-17, namun England menyamakan kedudukan pada babak kedua selepas menyempurnakan sepakan pe­nalti.

Bagaimanapun, Giroud memastikan kemenangan Perancis menerusi tandukan pada minit ke-78 selepas Kane gagal me­nyempurnakan tugasnya selepas sepakan penalti kedua diperoleh England gagal disempurnakan.

“Perlawanan ini mengingatkan saya kepada perlawanan menentang Belgium pada 2018 walaupun senarionya agak berbeza kerana England melakukan kebangkitan dan percaya mereka mampu meraih kemenangan.

“Kami menunjukkan sema­ngat yang luar biasa, semua pemain telah bekerja keras. Sema­ngat ini hampir sama ketika 2018 dan saya harap kami mampu pergi lebih jauh kerana kumpulan pemain kali ini mampu untuk melakukan suatu yang hebat,” katanya.

Pada edisi empat tahun lalu di Russia, Giroud gagal meledak sebarang gol, namun di Qatar, dia berjaya membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan mengumpul empat gol selain muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis memintas rekod Thierry Henry.

Sementara itu, pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui kejayaan paling besar pasukannya adalah memastikan badi juara berakhir selepas Itali, Sepanyol dan Jerman sebelum itu tersingkir awal ketika mereka tiba dengan status juara dunia.

“Rekod juara terdahulu tidak begitu baik dan ramai yang menjangkakan kami juga berdepan nasib yang sama, namun kami berjaya memastikan ‘trend’ itu berakhir.

“Kami sudah semakin hampir (muncul juara), tetapi apa yang penting adalah aksi menentang Maghribi nanti. Kami akan lebih berpuas hati dengan apa yang dilalui jika berjaya menyudahkan tugas itu nanti,” katanya.

Saingan kali ini menyaksikan Perancis tiba di Qatar tanpa enam pemain tonggak seperti Paul Pogba, N’Golo Kante, Presnel Kimpembe, Karim Benzema, Christopher Nkunku dan Lucas Hernandez yang mengalami kecederaan. – AFP

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo