NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah era Cristiano Ronaldo akan berakhir?

LUSAIL: Pengendali Portugal, Fernando Santos mengambil tindakan berani, merehatkan ketua pasukan dan pemain paling berpengaruh dalam pasukan, Cristiano Ronaldo ketika menentang Switzerland pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 semalam.

Santos menggantikan pemilik lima anugerah Ballon d’Or itu dengan pemain ‘mentah’, Goncalo Ramos, 21, yang hanya membuat penampilan pertama pada Piala Dunia.

Ramos bukan sahaja menampilkan permainan cemerlang dengan meledak hatrik pertama dalam Piala Dunia 2022, malah merubah keseluruhan persembahan Portugal dan membantu negaranya membelasah Switzerland 6-1 untuk mengesahkan tiket ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Ronaldo, 37, yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Portugal sudahpun mendahului 5-1 dibayangi prestasi Ramos sepanjang perlawanan di Stadium Lusail itu.

Permainan yang ditunjukkan Portugal ketika dibarisi Ramos jauh lebih bertenaga, laju dan lancar berbanding apabila Ronaldo mengetuai serangan.
FERNANDO Santos merehatkan Ronaldo di bangku simpanan.

Ronaldo yang kini tidak mempunyai kelab selepas disingkirkan oleh Manchester United kelihatan semakin tenggelam dalam Piala Dunia kelimanya, malah sejurus tamat perlawanan, ketika pemain lain berada di atas padang meraikan kemenangan, dia dilihat berjalan sendirian memasuki bilik persalinan.

Apakah Ronaldo akan terus disisihkan oleh Santos apabila Portugal berdepan Maghribi pada suku akhir, Sabtu ini menjadi persoalan utama.

Peminat Ronaldo mahu melihat bekas bintang United, Real Madrid dan Juventus itu mengetuai negaranya di peringkat besar Piala Dunia, dan akhirnya menjulang Piala Dunia buat kali pertama.

Begitupun melihat kepada prestasi, Ramos adalah orang paling tepat untuk mengetuai serangan Portugal apabila menentang Maghribi, wakil tunggal Afrika yang meneruskan kempen dalam Piala Dunia kali ini selepas mengejutkan juara 2010, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti. – AGENSI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo