JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menyelar kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang mendakwa Amanah hanyalah ‘pak turut’ kepada DAP.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, dakwaan semua keputusan ditentukan DAP adalah fitnah politik tidak berasaskan fakta dan hanya bertujuan merendahkan kewibawaan parti tersebut di mata rakyat.
Menurutnya yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang, tuduhan itu mencerminkan budaya menuduh secara membuta tuli tanpa kefahaman terhadap realiti sebenar proses demokrasi dalam sesebuah parti politik.
“Amanah Johor ingin menegaskan semua keputusan parti dibuat melalui struktur dan proses dalaman Amanah sendiri bukan ditentukan oleh mana-mana parti lain.
“Amanah mempunyai sistem organisasi yang jelas dan berfungsi termasuk Majlis Pimpinan Nasional (MPN), Jawatankuasa Negeri dan Jawatankuasa Kawasan.
“Setiap keputusan penting parti dibuat melalui proses yang berdisiplin dan demokratik merangkumi perbincangan menyeluruh, perbahasan terbuka serta undian dalaman,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil juga mengkritik polemik dalam Perikatan Nasional (PN) yang dilihat semakin meruncing apabila Pas masih belum menamakan calon bagi jawatan pengerusi gabungan berkenaan untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anak bekas Presiden Pas itu menyifatkan parti itu seperti ‘Akademi Fantasia’ dalam pemilihan calon Pengerusi PN dan turut menyindir sikap parti lamanya yang terus berteka-teki mengenai kepimpinan gabungan itu.
Berikutan itu, Syahir membalas kritikan dengan menegaskan tiada salahnya program seperti ‘Akademi Fantasia’, sebuah rancangan realiti untuk mencungkil bakat baharu, ada guru yang melatih, ada juri yang menilai dan ada penyokong yang mengundi.
“Demokrasi? Ya. Bezanya Pas, ada syura dan musyawarah. (Pemilihan) calon Perdana Menteri, Pengerusi PN, Pas akan bincang, Pas akan pertimbang dan Pas akan rundingkan. Ada tertibnya, ada kaedahnya
“Bezanya Pas, tiada siapa boleh tentukan pendirian kami. Kami putuskan sendiri dengan siapa hendak berkawan, dengan siapa hendak berlawan, berprinsip, ada maruah dan ada harga diri.
“Tidak seperti Amanah, semua keputusan ditentukan DAP, hanya ikut cakap DAP. Sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada DAP, tidak lebih seperti ‘kaki kabaret’ – hilang prinsip, tergadai maruah, tiada harga diri,” ujar Syahir dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut, Zuhan berkata, Amanah Johor juga menolak naratif songsang Pas yang cuba menggambarkan kerjasama politik sebagai kehilangan prinsip dan dalam realiti politik Malaysia.
Katanya, Pas sendiri pernah bekerjasama dengan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP dalam pelbagai gabungan sebelum ini.
Kerjasama politik tidak pernah bermakna menjadi ‘pak turut’ atau menggadai maruah, tegasnya.
“Jika logik Pas bahawa kerjasama bermaksud tunduk membuta tuli digunapakai maka Pas sendiri pernah berada dalam kedudukan yang sama ketika menyertai kerajaan campuran sebelum ini dan hujah sebegini bukan sahaja lemah malah jelas tidak matang serta bersifat hipokrit.
“Berbeza dengan Pas, Amanah kekal konsisten dengan prinsip Islam Rahmatan lil ‘Alamin yang menuntut politik berteraskan akhlak, hujah berfakta dan adab dalam perbezaan pandangan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment