KUALA LUMPUR – Di sebalik desas-desus pembentukan semula Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO, timbul dakwaan ada beberapa pemimpin Pas telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwaan itu dibuat Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain menerusi satu hantaran di Facebook namun beliau tidak memperincikan butiran lanjut mengenai pertemuan berkenaan.
“Pemimpin Pas jumpa PMX,” dakwa Wan Mahussin ringkas.
Sebelum ini, Wan Mahussin turut mempersoalkan gesaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh yang mendesak parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menghidupkan kembali Muafakat Nasional bersama Pas.
Menurutnya, langkah tersebut tidak semestinya menjamin UMNO akan kembali mendapat sokongan orang Melayu seperti yang diharapkan.
Beliau turut mengingatkan pengalaman UMNO ketika bersama dalam MN sebelum ini khususnya selepas Pas kembali memperoleh kuasa politik.
“Siapa tak suka penyatuan bangsa, siapa tak suka tengok orang Islam duduk bersama. Persoalannya, selama ini kita bertanding pilihan raya UMNO lawan Pas. UMNO tidak pernah lawan DAP.
“Sama juga dengan Pas, jadi kolam kita. DAP cari undi dia, kita cari undi kita. Undi kita dalam kalangan Pas. Pengundi Pas ada dalam UMNO, pengundi UMNO ada dalam Pas tapi kita letakkan kesalahan pada DAP.
“Bagi saya ini tidak adil,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook semalam.
Wan Mahussin berkata, sekiranya UMNO memilih untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan ketika ini, tidak mustahil Pas pula mengambil pendirian menyertai kerajaan.
Sementara itu, Dr Mohamad Akmal sebelum ini menegaskan penolakannya terhadap sebarang usaha merampas kuasa atau ‘menebuk atap’ sehingga menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan memilih peranan sebagai pembangkang. — MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment