NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

E-invois bebankan perniagaan, MCA gesa GST dikembalikan



KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) susulan pelbagai masalah serta kos tambahan yang ditanggung perniagaan akibat pelaksanaan sistem e-invois ketika ini.

Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, pelaksanaan e-invois telah menimbulkan tekanan serius kepada perniagaan tempatan berikutan dasar yang tidak konsisten serta kelemahan dalam perancangan pelaksanaan.

“Pelaksanaan sistem e-invois ketika ini berdepan pelbagai masalah dan kesukaran yang menyebabkan tekanan dan beban tambahan kepada perniagaan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Lawrence berkata, sebelum ini, GST dan e-invois dirangka sebagai satu pakej lengkap yang saling melengkapi, namun kerajaan memilih untuk meneruskan e-invois tanpa mengembalikan GST.

“Keputusan ini telah mewujudkan hala tuju dasar yang bercanggah, sekali gus mengelirukan komuniti perniagaan,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan berulang kali menaikkan ambang pelaksanaan e-invois dan menangguhkan tarikh penguatkuasaan, mencerminkan pengurusan garis masa yang lemah serta ketidakkonsistenan dasar.

“Walaupun kerajaan mendakwa mendengar maklum balas awam, perubahan berulang ini sebenarnya mencetuskan masalah baharu, mengganggu susunan pasaran dan akhirnya memindahkan kos tambahan kepada perniagaan,” jelas beliau. 

Tambahnya, pelaksanaan e-invois memerlukan perniagaan menanggung kos tambahan yang besar termasuk naik taraf sistem, pembelian perisian serta latihan kakitangan.

“Dalam tempoh penangguhan ini, ada perniagaan yang telah membayar perisian e-invois dan melabur dalam latihan kakitangan. Ada juga yang membayar deposit sehingga RM3,000 dan kini berdepan ketidaktentuan sama ada baki bayaran sehingga RM6,000 masih perlu dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata ketidaktentuan itu menjejaskan aliran tunai serta perancangan operasi perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Lawrence turut berkata, ketidakkonsistenan dasar kerajaan bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan, malah menjejaskan penyedia sistem e-invois.

“Banyak vendor perisian telah membuat pelaburan awal dari segi sistem, tenaga kerja dan operasi, namun mengalami kerugian besar akibat perubahan pendirian kerajaan dan ketidakpastian berterusan,” katanya.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menangguhkan selama setahun lagi pelaksanaan e-invois bagi perniagaan dengan perolehan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, Lawrence berkata, langkah itu hanya memberi kelegaan sementara.

“Penangguhan ini tidak menyelesaikan masalah asas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan ambang pelaksanaan e-invois kepada sekurang-kurangnya RM1.5 juta atau lebih tinggi, berdasarkan pelarasan terdahulu daripada RM200,000 kepada RM500,000 dan seterusnya RM1 juta.

“Dalam keadaan harga meningkat, inflasi berterusan serta kos operasi dan bahan mentah yang semakin tinggi, keputusan dasar perlu selari dengan realiti ekonomi semasa agar PKS tidak terus terbeban,” katanya.

Lawrence menegaskan sebarang pembaharuan sistem percukaian atau pentadbiran tidak wajar dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa sokongan menyeluruh dan hala tuju jangka panjang yang jelas.

“Jika tidak, perniagaan tempatan dan rakyat akan terus menanggung kos akibat ketidaktentuan dasar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo