Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki turut menekankan seorang pemimpin juga perlu berjiwa besar dan hati kena kental.
“Hati kena kental, namun fikiran harus sentiasa terbuka dan selalu berlapang dada,” nasihat beliau menerusi hantaran di Facebook.
Ulas beliau lagi, Imam Syafie Rahimahullah mengajar kita prinsip berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza kerana tidak semuanya pendapat kita betul sentiasa dan tidak semestinya pendapat orang lain salah sentiasa.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta pemimpin sayap pemuda dalam parti politik supaya sentiasa meraikan perbezaan pendapat serta bersedia menerima kritikan.
Beliau turut menasihatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak mudah putus asa dan tiada alasan untuk bangkit semula walaupun desakan dan pandangan beliau tidak diterima ketika ini.
“Saya pun pernah terlanggar gunung. Saya juga pernah terpijak kulit pisang dan tersungkur tetapi ketersungkuran itu tidak menyebabkan kita tidak boleh bangun semula,” katanya lagi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional tidak merasakan Dr. Akmal mahu meletakkan jawatannya susulan kesediaannya untuk berundur diri.
“Jangan begitu. Ini perjuangan politik. Dalam politik ini, bukan seorang yang setuju dengan kita. Kalau tidak setuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan kejelasan bukan dengan tindakan-tindakan lain. Saya tidak tujukan pada beliau (Dr Akmal).
“Tetapi secara umum, mana-mana pemimpin pemuda, dalam parti apa sahaja begitu, dia mesti ada idealisme.
“Soal saranan itu diterima atau tidak. Idealisme itu tetap diperjuangkan dan ada keadaan-keadaan untuk kita santuni dan berdepan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini hari ini.
Dr Akmal menerusi Konvensyen Pemuda UMNO baru-baru ini mendesak untuk UMNO menhentikan kerjasama dengan DAP dan mahu parti itu bersama-sama penyatuan ummah bagi memperkukuh kedudukan orang Melayu.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal.
Tambahnya, komponen parti itu tidak mahu terlibat dalam mana-mana aktiviti ‘tebuk atap’ bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment