Konflik Azerbaijan dan Armenia



Konflik Azerbaijan dan Armenia
oleh: YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi 

Sehingga artikel ini ditulis, konflik antara Azerbaijan dan Armenia masih lagi berterusan di mana ia telah mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda di kedua-dua belah pihak. Angka yang terkorban terus meningkat samada di pihak tentera mahupun orang awam dan ianya tidak langsung menunjukkan tanda - tanda konflik tersebut akan tamat dalam masa terdekat.

Konflik yang bermula pada tanggal 27 september 2020 yang lalu ini bukanlah konflik baru, ianya adalah konflik yang berlarutan sejak satu abad yang lalu lagi. Namun sebelum berlakunya konflik terbaru ini, pada Julai 2020 yang lalu telah berlaku pertempuran antara kedua - dua negara sehinga menyebabkan campurtangan beberapa negara seperti Turki, Serbia, Georgia dan Israel.

Punca konflik


Konflik antara Azerbaijan dan Armenia berpunca daripada perebutan wilayah Nagorno-Karabakh yang terletak di antara kedua-dua negara ini. Nagorno-Karabakh adalah sebuah wilayah bergunung yang terletak di selatan Qoqaz yang dahulunya berada di bawah Soviet Union. Nagorno dalam bahasa Rusia memberi maksud gunung-gunung, adapun Karabakh memberi maksud taman-taman hitam.

Wilayah ini terletak di tengah-tengah Azerbaijan dan sangat strategik kerana menjadi titik pertemuan antara Empayar Parsi, Rusia dan Uthmaniyyah satu ketika dahulu. Wilayah ini mempunyai penduduk sekitar 150,000 orang dan 95% penduduknya terdiri daripada etnik Armenia yang berpegang dengan agama Kristian Armenian Orthodox.

Konflik perebutan wilayah Nagorno-Karabakh bermula seawal 1920an lagi apabila Joseph Stalin menggunakan strategi ‘pecah perintah’ antara etnik yang menghuni di situ bagi mengukuhkan penguasaan Soviet Union ke atas wilayah-wilayah yang berada di bawah takluknya.

Pada tahun 1923, pihak berkuasa Soviet Union sengaja memasukkan etnik Armenia yang menghuni di Karabakh ke dalam sempadan Azerbaijan walaupun mereka mahu kekal berada di bawah Armenia. Dalam masa yang sama etnik Azerbaijan yang merupakan minoriti dikekalkan untuk berada dalam wilayah Nakhsyifan di bawah Armenia.

Pada masa yang sama juga pihak Soviet Union memberikan kuasa autonomi kepada Karabakh yang berada dalam Azerbaijan. Ia seolah-olah meletakkan bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa antara Azerbaijan dan Armenia.

Di ambang kejatuhan Soviet Union pada tahun 1988, pihak berkuasa Soviet Union menyarankan supaya Nagorno-Karabakh dimasukkan ke dalam Armenia atas desakan konsil Armenia dalam kerajaan Soviet Union.

Ianya dibantah oleh konsil Azerbaijan yang akhirnya membawa kepada pertembungan bersenjata pada tahun 1989 yang mengakibatkan korban di kedua-dua belah pihak. Keadaan bertambah tegang apabila konsil Armenia mengisytiharkan wilayah Nagorno-Karabakh sebahagian dari negara Armenia.

Selepas keruntuhan Soviet Union pada Disember 1991, puak pemisah yang disokong oleh Armenia mengisytiharkan pemisahan Nagorno-Karabakh dari Azerbaijan pada awal tahun 1992.

Armenia mengambil peluang di atas ketidakstabilan politik ini dengan sokongan Rusia menakluk sekurang-kurangya 20 peratus bumi Azerbaijan yang telah mengakibatkan kematian dan penghijrahan besar ratusan ribu etnik Azerbaijan ke bandar Baku dan kawasan-kawasan lain lagi.

Akhirnya pada tahun 1994, satu gencatan senjata dimeteraikan dalam satu perjanjian damai yang diatur oleh Kesatuan Eropah yang diwakili oleh Perancis yang bertindak sebagai pengantara. Perjanjian ini turut disertai oleh Amerika Syarikat dan Rusia yang dimeteraikan di Minsk, ibunegara Belarus.

Dalam masa yang sama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memutuskan bahawa wilayah Nagorno-Karabakh adalah milik Azerbaijan dan mengarahkan Armenia supaya berundur dan menyerahkannya kepada Azerbaijan. Namun keputusan ini tidak diendahkan dan diterima oleh Armenia.

Konflik terbaru antara Armenia dan Azerbaijan ini sangat dibimbangi yang ianya akan merebak sehingga membawa kepada pertembungan antara kuasa-kuasa yang berada di sebalik kedua-dua negara ini yang mempunyai kepentingan masing-masing di mana faktor ekonomi turut memainkan peranan penting di samping faktor-faktor lain.

Ini adalah kerana kedudukan Azerbaijan sangat strategik dari sudut pertumbuhan ekonomi di Eropah memandangkan ianya menjadi di antara laluan utama kepada paip-paip yang membekalkan petroleum dan gas dari laut Qazwin ke pasaran dunia khususnya ke benua Eropah.

Sentimen Etnik dan Mazhab

Sentimen etnik dan mazhab adalah sangat signifikan dalam konflik Nagorno-Karabakh di mana ia mempengaruhi negara-negara yang berjiran dengannya. Etnik Azer yang merupakan salah satu rumpun bangsa Turki mempengaruhi sokongan tidak berbelah bahagi Turki kepada Azerbaijan.

Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan dalam satu kenyataanya menyebut, Turki tidak akan teragak-agak mempertahankan Azerbaijan jika sekiranya serangan dari Armenia berterusan. Beliau menegaskan lagi Turki dan Azerbaijan adalah satu bangsa yang berada di dua negara. Ini satu simbolik bahawa Turki akan mempertahankan Azerbaijan dalam apa keadaan sekali pun.

Dalam masa yang sama Menteri Pertahanan Turki, Khallusi Akaar pula menyebut; Turki akan sentiasa bersama-sama dengan Azerbaijan dan tentera Turki bersiap sedia memberikan bantuan yang sepatutnya.

Iran juga antara negara yang berjiran dengan Azerbaijan dan mempunyai pertalian yang agak rapat khususnya dari sudut pegangan mazhab. Majoriti rakyat Azerbaijan adalah bermazhab Syiah, sama seperti pegangan kebanyakan rakyat Iran namun Azerbaijan adalah sebuah negara sekular di mana ia amat berbeza dengan Iran.

Namun begitu dari sudut politik, hubungan antara Iran dan Azerbaijan mengalami saat pasang dan surut khususnya sejak Azerbaijan mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union.

Pada era 1990an, Imam Ali Khamenai pernah mengeluarkan kenyataan mengecam Armenia kerana menduduki bumi umat Islam Azerbaijan dan melakukan tindakan kejam ke atas umat Islam di sana seperti meroboh masjid dan diskriminasi terhadap penganut Islam.

Namun dalam konflik terbaru ketika ini, Iran mengambil langkah kontra apabila dilihat menyokong Armenia.

Mengikut seorang penganalisa politik antarabangsa, beliau berpandangan tindakan Iran ini dilihat mahu menempelak Azerbaijan yang mengadakan hubungan dengan Israel dan menggangap ia sebagai satu pengkhianatan kerana bersekongkol untuk mengekang pengaruh Iran dengan mengawal sempadannya.

Hubungan Israel dan Azerbaijan bermula sejak tahun 1992 di mana Azerbaijan adalah di antara beberapa negara Islam yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Malah terpampang di dada akhbar Israel seperti The Jerusalem Post dan Haaretz disaat konflik Nagorno-Karabakh berlaku, Israel membekalkan senjata dan artileri kepada Azerbaijan.

Konflik terbaru antara Azerbaijan dan Armenia ini mendedahkan satu persatu topeng musuh-musuh Islam yang bertindak memecah belahkan Dunia Islam ketika kelemahan umat Islam terutamanya diakhir era zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah.

Setelah tamatnya Perang Dunia Pertama dan Kedua, termeterainya beberapa perjanjian yang melahirkan peta dunia baru dengan kewujudan negara-negara yang di berada di bawah kuasa-kuasa besar penjajah setelah berjaya meruntuhkan Khilafah Uthmaniyyah.

Tekad dan kesatuan antara musuh-musuh Islam, walaupun berbeza agama dan ideologi telah berjaya mencerai-beraikan Dunia Islam kepada negara-negara kecil yang mudah untuk dikawal dan dirompak hasil mahsul mereka lalu seterusnya menjahanam kesatuan dan ukhuwah umat dan Dunia Islam.

Wilayah-wilayah yang bergolak sehingga saat ini seperti Nagorno-Karabakh, Jammu Kashmir, Selatan Thailand dan lain-lain lagi adalah milik umat Islam tetapi sengaja dibiarkan supaya menjadi bebanan ke atas Dunia Islam dengan harapan agar segala penumpuan dan usaha untuk menyatu - padu umat dan Dunia Islam tidak berhasil kerana terlalu banyak konflik dan peperangan yang berlaku.

Walaupun ada usaha dilakukan, tidak dinafikan kelemahan utama adalah berpunca dari umat dan Dunia Islam sendiri yang menjauhkan diri dari ajaran Islam yang sebenar di mana sejarah telah membuktikan bahawa Islam mampu mengangkat kegemilangan dan ketamadunan umat dan Dunia Islam.

Sampai bilakah umat dan Dunia Islam akan sedar yang musuh - musuh Islam sengaja mengadu-domba, melaga - lagakan dan mempermainkan agar umat dan Dunia Islam senantiasa curiga, dendam dan akhirnya berperang sesama sendiri ?

Selagi mana umat dan Dunia Islam tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan tersesat dalam mencari hala tuju ketamadunan dunia dan nikmat kehidupan yang abadi.

Semoga Allah SWT Memberkati dan Melindungi Kita Semua.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post