Santuni kemuliaan dewan dengan kesopanan, kesusilaan

Oleh Shamrahayu A Aziz
Parlimen adalah mimbar demokrasi. Tulisan ini memfokus kepada Dewan Rakyat sempena persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Dewan Rakyat adalah majlis yang mulia tempat berkumpulnya Yang Berhormat wakil rakyat. Mereka digelar wakil rakyat kerana dipilih secara langsung mewakili rakyat pada kawasan pilihan raya masing-masing.

Mereka juga dipanggil Yang Berhormat, iaitu suatu gelaran kehormat yang menunjukkan kemuliaan jawatan berkenaan.

Dalam tulisan ini, saya menggunakan istilah Ahli Yang Berhormat dan Ahli Dewan secara bergantian. Sebagai Ahli Parlimen, Ahli Yang Berhormat mempunyai sekurang-kurangnya tiga fungsi utama.

Pertama, sebagai penyampai suara rakyat dalam perbahasan di Parlimen, kedua, sebagai penggubal undang-undang dan ketiga, sebagai mekanisme dalam amalan semak dan imbang ke atas pihak eksekutif.

Bagi melaksanakan fungsi yang berwibawa, Perlembagaan menganugerahkan keistimewaan kepada Parlimen dalam bentuk kebebasan bersuara.

Ia bertujuan membolehkan Ahli Dewan menunaikan amanah mereka dengan bebas tanpa sekatan atau pengaruh.

Namun, Perlembagaan tidak membenarkan pengucapan hasutan atau menganjurkan penghapusan institusi beraja. Keistimewaan ini dinyatakan dalam Perkara 63.

Berkaitan Perlembagaan juga menyediakan peruntukan yang memberikan kebebasan kepada Parlimen bagi mengurus hal ehwal atau tatacara sendiri. Hal ini disebut pada Perkara 62.

Hasilnya, bagi mengurus tatacaranya, Parlimen mewujudkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMM Dewan Rakyat) atau dikenali sebagai Standing Orders of the Dewan Rakyat.

PPMM Dewan Rakyat bukan sekadar panduan, bahkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua Ahli Yang Berhormat bagi mendapatkan hasil persidangan yang bermakna.

Di dalamnya terkandung, antara lain, prosedur lantikan Yang di-Pertua; perkara umum seperti aturan mesyuarat, usul-usul, pertanyaan dan sebagainya, peraturan berbahas dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan.

Ketika Parlimen bersidang dan Ahli Yang Berhormat mengambil bahagian, rakyat menjadi pemerhati. Mungkin kearifan rakyat terbanyak mengenai perjalanan persidangan belum mencapai tahap terbaik, tetapi rakyat mempunyai aspirasi dan harapan kepada wakil mereka.

Maka, pasti apa yang dimahukan rak- yat ialah perbincangan yang matang dan berlangsung dalam keadaan harmoni.

Pada persidangan kali ini penggunaan frasa point of order (petunjuk kepada peraturan atau tertib mesyuarat) kerap digunakan Ahli Yang Berhormat. Frasa ini bertujuan mengambil perhatian pengerusi mesyuarat (Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua) mengenai perbahasan yang sedang berlaku, sama ada peraturan mesyuarat dipatuhi ataupun tidak.

Peraturan 36 antara Peraturan PPMM Dewan Rakyat yang popular pada sidang kali ini. Peraturan 36 adalah berkaitan 'isi ucapan'.

Ia mempunyai 12 subperaturan yang semuanya bertujuan menjadikan ucapan Ahli Yang Berhormat tertumpu kepada isu yang dibincangkan serta tidak membahaskan perkara yang sedang dalam proses mahkamah.

Peraturan 36(4) menjadikan kesalahan bagi Ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat kenyataan seksis.

Pada Peraturan 36(6) pula Ahli Berhormat tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas mana-mana ahli lain. Subperaturan (7) tidak membenarkan penggunaan nama Yang di-Pertuan Agong atau nama raja atau Yang di-Pertua Negeri; manakala subperaturan (8) tidak membenarkan Ahli Yang Berhormat menyebut mengenai kelakuan beberapa pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong, hakim, Majlis Pasukan Bersenjata dan beberapa yang lain, kecuali melalui usul khas.

Menurut subperaturan 36(9), adalah menjadi kesalahan bagi Ahli Dewan untuk menggunakan perkataan derhaka kepada negeri atau membangkitkan perasaan melawan kuasa Kerajaan atau menggunakan perkataan yang menyakitkan atau permusuhan antara kaum yang melanggar Perlembagaan atau Akta Hasutan.

Dalam subperaturan 36(12) Ahli Dewan tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan beliau boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi tindakan disiplin sekiranya ini berlaku.

Amat jelas dalam Peraturan 36 PPMM Dewan Rakyat bahawa Ahli Yang Berhormat hendaklah bersifat sopan dalam ucapan dan kelakuan ketika persidangan Dewan Rakyat.

Peraturan 36 ini cuba mencapai hasrat bahawa persidangan Parlimen bukan pentas satira politik atau tempat heavyweight politik menunjuk-nunjuk pendekatan politik masing-masing.

Dewan Parlimen adalah majlis yang mulia untuk mencorak pentadbiran dan masa depan negara seperti fungsi wakil rakyat yang saya sebut pada awal rencana ini.

Peraturan 37 PPMM Dewan Rakyat juga menyatakan mengenai tatacara persidangan yang mengutamakan kesusilaan.

Peraturan 37 meletakkan tatasusila apabila mana-mana ahli mahu menegur ahli yang lain.

Peraturan 36 dan 37 PPMM Dewan Rakyat adalah sinonim atau manifestasi kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan, iaitu prinsip kelima Rukun Negara.

Justeru, melihat kepada PPMM Dewan Rakyat, adalah didapati ia hampir sempurna untuk penghayatan Rukun Negara. Namun, penghayatan oleh Ahli Dewan nampaknya tidak begitu mendalam.

Rakyat terbanyak mengharapkan persembahan lebih baik daripada Ahli Yang Berhormat. Amalkan prinsip berdiam diri sekiranya tiada perkara baik yang mahu disampaikan.

Berkata-kata baik tidak menyindir, berbahasa lunak serta padat, berbicara tenang, bernada sederhana bersesuaian dengan jawatan yang disandang.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post