NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaatkan sisa biojisim sawit jana ekonomi


Oleh Dr Shuhaida Harun

KELAPA sawit dengan nama saintifiknya, Elaeis guineesis berasal dari Afrika Barat. Ia antara tanaman makanan berminyak bagi penghasilan minyak masak yang boleh dimakan dan berkembang secara meluas di banyak kawasan tropika Selatan Asia, terutama Malaysia.

Industri minyak sawit tonggak ekonomi Malaysia dan memainkan peranan penting dalam pembekalan sumber makanan serta tenaga pada peringkat global.

Selama beberapa dekad, Malaysia berada pada kedudukan baik selaku antara negara pengeluar minyak sawit paling produktif dunia.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), minyak sawit ialah minyak sayuran yang banyak digunakan dunia. Penggunaannya pada 2018 berjumlah 70.21 juta tan dan menyumbang 30.9 peratus penggunaan minyak serta lemak global.

Selain itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyatakan eksport minyak sawit pada suku ketiga 2020 dijangka meningkat 2.5 peratus kepada 4.56 juta tan berbanding suku sebelumnya disebabkan permintaan meningkat daripada pasaran tradisional India, China dan Kesatuan Eropah (EU).

Oleh itu, sawit kini menjadi tanaman ekonomi utama mencetuskan pengembangan kawasan perladangan di Malaysia.

Bagaimanapun, laporan Prospek Masa Kini dan Masa Hadapan Biojisim Kelapa Sawit di Malaysia oleh Onoja pada 2018, menyatakan 10 peratus minyak dihasilkan daripada satu pokok sawit, manakala lebihan ialah sisa biojisim terhasil seperti pelepah sawit (OPF) dan tandan buah sawit kosong (EFB).

Jika semua sisa ini tidak diuruskan dengan baik, ia bakal mendorong masalah pelupusan yang menjurus kepada pencemaran alam sekitar.

Sisa biojisim ini mampu menawarkan pulangan ekonomi menarik melalui penghasilan produk nilai tambah yang memberi manfaat sejagat, secara tidak langsung mengatasi masalah membabitkan pencemaran alam sekitar.

Keupayaannya dalam menghasilkan produk nilai tambah mula dilihat sebagai sumber utama yang mampu melestarikan ekonomi negara.

Beberapa penyelidikan dijalankan menggunakan sisa biojisim sawit sebagai bahan mentah atau penggantian separa dalam pelbagai aplikasi seperti pengitaran semula nutrien, makanan haiwan, pulpa dan kertas, papan serat, komposit biodegradasi, gula fermentasi dan bioetanol.

Sisa biojisim sawit ini terdiri daripada dinding sel tumbuhan berlignoselulosa terikat dalam bahan rangka lignin dan bahan lain tegar, seperti mikrofibril sel kristal tegar yang perlu diurai.

Secara amnya, kandungan lignoselulosa terkandung dalam sisa biojisim ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu selulosa, hemiselulosa dan lignin. Strukturnya kompleks dan tegar memerlukan proses rawatan untuk mengurai dan memisahkan komponen utama itu agar memudahkan proses biopenukarannya kepada produk nilai tambah.

Namun, sebelum proses prarawatan dijalankan, sisa biojisim perlu diproses secara fizikal dan mekanikal terlebih dahulu melalui proses pengeringan serta pengisaran kerana sisa biojisim sawit mengandungi lebih 40 peratus kelembapan yang cenderung kepada pertumbuhan kulat.

Secara umumnya, beberapa pendekatan digunakan dalam merawat biojisim ini dan boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori, iaitu kaedah prarawatan secara kimia (cecair ionik, alkali dan asid cair); fizikal (penyinaran tenaga, pengisaran) dan biologi.

Sejak kebelakangan ini, proses prarawatan banyak tertumpu kepada penggunaan kaedah secara kimia, iaitu menggunakan cecair ionik dan larutan beralkali seperti ammonia serta natrium hidroksida.

Prarawatan cecair ionik dan alkali mampu menguraikan struktur biojisim berlignoselulosa tanpa menghasilkan produk perencat ketara.

Pelarut eutektik dalam (DES) ialah sejenis pelarut hijau dan didefinisikan sebagai campuran dua atau tiga komponen penderma ikatan hidrogen dan penerima ikatan hidrogen yang membentuk campuran eutektik melalui interaksi hidrogen dan mempunyai titik takat lebur lebih rendah daripada setiap komponen individunya.

Bagi prarawatan alkali pula, ia mampu memecahkan struktur dalaman biojisim berlignoselulosa yang mengakibatkan pembengkakan gentian selulosa dan pengubahsuaian penghabluran selulosa.

Ia juga prarawatan ideal disebabkan beberapa kriteria seperti kos pengendaliannya murah, mudah disintesis dan mesra alam.

Kolaborasi antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yayasan Sime Darby (YSD) dan Kementerian Pendidikan melalui beberapa geran penyelidikan mengambil beberapa inisiatif menangani masalah lambakan sisa biojisim sawit ini bagi mencapai matlamat industri sawit sifar sisa.

Sisa biojisim ini menarik minat pelbagai kumpulan penyelidik dan kajian semakin meningkat terhadap lebihan biojisim sawit sebagai sumber biotenaga boleh diperbaharui atau 'bahan pengantara' seperti gula monomer (terutama glukosa dan xilosa) untuk menghasilkan pelbagai produk nilai tambah disebabkan sifat fizikokimia biojisim sawit yang baik dan kaya dengan kandungan nutrien.

Bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan biojisim dirawat, malah cecair legam terhasil selepas proses prarawatan ke atas biojisim ini turut dikitar semula.

Cecair legam terhasil selepas proses prarawatan biasanya dilupuskan, sekali gus membawa kepada pencemaran alam sekitar.

Bagi mencapai matlamat membawa industri sawit mencapai strategi sifar sisa, beberapa proses pemulihan dijalankan ke atas cecair legam terhasil kerana ia mengandungi bahan lignoselulosik tinggi, iaitu hemiselulosa dan lignin yang berupaya melalui proses biopenukaran kepada produk nilai tambah.

Kajian analisis secara kimia dijalankan berjaya menghasilkan gula monomer seperti glukosa dan xilosa yang boleh diaplikasikan dalam produk makanan.

Selain itu, kajian ini menghasilkan produk prebiotik seperti xilooligosakarida (XOS) yang khususnya banyak diaplikasikan dalam industri farmaseutikal.

Penggabungan XOS ke dalam makanan menambahkan sifat fisiologi yang bermanfaat bagi tubuh, termasuk penyerapan kalsium dan metabolisma lipid, pencegahan karies gigi dan pengurangan risiko kanser kolon akibat pembentukan asid lemak rantaian pendek.

XOS juga menghasilkan pelbagai manfaat tambahan lain kepada kesihatan manusia seperti pengawalan kolestrol, meningkatkan keupayaan pengambilan kalsium dan juga mampu bertindak sebagai antioksidan.

Pengitaran semula lambakan sisa biojisim terhasil daripada industri sawit ini menjanjikan pulangan lumayan dalam melestarikan pembangunan ekonomi di negara kita.

Inisiatif dijalankan ini ialah hasil kerjasama baik yang dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi di Malaysia dan global.

***Penulis adalah Ketua Program Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo