NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ratifikasi ICERD: Langkah biadab terhadap Raja-Raja Melayu



oleh: DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
28-10-18

1. Tidak ada keperluan untuk kerajaan membuat ratifikasi konvensyen berkenaan. Tidak ada sebarang kezaliman yang berlaku atas sebab diskriminasi atau penindasan kaum. Bahkan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Malaysia yang menjamin hak persamaan dari aspek agama, bangsa, keturunan dan tempat lahir sudah cukup kuat melindungi rakyat Malaysia. Kenapa kita perlu bergantung kepada undang-undang antara bangsa dalam soal dalaman negara kita sendiri.


2. Setiap negara mempunyai sejarah tersendiri. Di Malaysia, wujud hak istimewa untuk orang Melayu dan Bumiputera sebagai makanisme perlindungan yang telah dipersetujui dalam perundingan Merdeka. Ia berkait rapat dengan kelonggaran dalam hal kewarganegaraan waktu itu. Ia juga berperanan bagi mengimbangi kekuatan ekonomi kaum-kaum di Malaysia. Persoalan bila hak istimewa ini akan terus diberikan adalah satu perkara yang boleh dibincangkan secara dalaman tanpa perlu diikat dengan satu kawalan dari luar. Bagi menghormati kemerdekaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan berprinsip, kerajaan sepatutnya tidak perlu meratifikasi ICERD.

3. Ratifikasi ICERD adalah perkara yang melibatkan struktur asas Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan. Walau pun kuasa Raja-raja Melayu adalah terhad, kita tidak boleh mengabaikan peranan dan kedudukan dalam isu ini. Ini kerana hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera termasuk dalam kuasa Raja-raja Melayu yang sedikit itu. Oleh itu langkah meratifikasikan ICERD, jika benar-benar berlaku, adalah satu langkah yang bercanggah dengan Perlembagaan dan bersikap biadap Terhadap Raja-raja Melayu.

4. Hati-hati dengan agenda campur tangan asing atas alasan hak asasi manusia. Hak asasi manusia adalah satu prinsip yang dianggap sebagai bersifat sejagat atau universal. Namun realitinya sebahagian daripada konsep hak asasi dibina di atas falsafah dan sistem nilai benua dan negara tertentu dan tidak sesuai dengan sistem nilai di negara lain. Usaha pemaksaan sesuatu sistem nilai bagi penduduk dunia yang pelbagai agama, budaya dan bangsa adalah satu langkah yang tidak wajar. Amalan LGBT misalnya, kini diiktiraf sebagai satu amalan yang diterima baik di Barat, tetap dianggap bermasalah bagi negara yang berpegang dengan prinsip agama. Dalam hal seperti ini pemaksaan amalan seragam di semua negara seluruh dunia tetunya sesuatu yang tidak wajar.

5. Ringkasnya, ratifikasi International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) adalah tidak perlu. Apa yang wajar dilakukan ialah dengan menumpukan amanah asasi kerajaan untuk menjamin kesejahteraan, keadilan dan kecemerlangan rakyat serta menjamin agar hak rakyat yang berbilang kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diabaikan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo