NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Meratifikasi ICERD Membunuh Keharmonian Dan Perpaduan Kaum Di Negara Ini




Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membuat kajian panjang dan berfikiran jauh sebelum membuat satu-satu keputusan apatah lagi jika ia melibatkan kesan terhadap undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai kerajaan yang memerintah, sebarang kenyataan perlu dibincangkan dan diperhalusi kerana jika salah percaturan, ia boleh menimbulkan polemik tidak sihat di kalangan masyarakat.

Perpecahan antara kaum dan bangsa perlu dielakkan semaksima mungkin. Sebarang jarum yang mahu merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat mesti ditentang. Atas dasar itu, sebarang langkah kerajaan mahu memperkenalkan sesuatu dasar di dalam negara mesti mengambil kira usaha kerana mewujudkan masyarakat yang harmoni dengan menjaga perpaduan di kalangan rakyat.

Kenyataan P Waytamoorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan adalah kenyataan yang boleh menimbulkan huru hara dan kemarahan umat Islam dan Bangsa Melayu di negara ini. Bagi rakyat yang sedar, kenyataannya boleh menyebabkan sentimen dan sensitiviti kaum di negara ini semakin melebar. Jika ia benar dilaksanakan, negara akan menuju kepada krisis hubungan etnik dan perpaduan yang paling keruh dan membahayakan masa depan generasi sedia ada.

Bantahan awam daripada golongan pemikir, akademik, pejuang bangsa dan bahasa serta para pemimpin NGO termasuk daripada PAS dan pembangkang yang lain terhadap kenyataan beliau menunjukkan usaha ratifikasi ICERD memberi implikasi negatif yang besar. Sebagaimana pandangan pakar perlembagaan, kerajaan tidak perlu terburu-buru mengisytiharkan mahu komited dalam meratifikasi ICERD sebelum ia dibahaskan di dipersetujui oleh semua pihak. Ini kerana jika benar kerajaan mahu melaksanakannya, ia akan memberi kesan implikasi undang-undang termasuk risiko pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mengancam kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan manakala Artikel 153 pula memperuntukkan secara jelas melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal di negara ini. meratifikasi ICERD pula boleh memberi kesan terhadap pindaan perlembagaan termasuk terhadap perkara 3 dan artikel 153 bagi mencapai hasrat yang diinginkan. Maka dengan itu ia adalah suatu dasar yang bertentangan dengan perlembagaan negara dan memberi kesan tidak senang dalam masyarakat.

Walaupun Menteri terbabit menafikan bahawa pelaksanaan ICERD tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, dengan jaminan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak akan terjejas kerana ia dijamin Perlembagaan Persekutuan. Namun apa yang dibimbangkan, kesan ratifikasi ICERD ia merungkai hak agama Islam bagi mereka yang mencabar atau keluar dari Islam serta penghapusan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera akan tergadai. Di sebalik agenda lain dengan pelaksanaan ICERD ini nanti, umat Islam akan semakin hilang identitinya, kuasa dan kekuatan agama Islam dalam negara akan hilang pengaruh.

Selain itu, tindakan meratifikasi ICERD akan mendedahkan negara kepada tekanan antarabangsa supaya undang-undang yang tidak selari dengan konvensyen itu dipinda. Malah tindakan meratifikasi tanpa meminda undang-undang berkaitan hanya akan memalukan negara pada mata dunia kerana kerajaan dilihat bersetuju dengan konvensyen itu tetapi tidak mengambil apa-apa langkah ke arah persetujuan itu. Yang dibimbangi adalah negara akan terdedah kepada peruntukan perjanjian dan akan tertakluk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ancaman yang paling serius adalah keadaan di mana kerajaan Malaysia akan terikat, tunduk dan dikawal oleh kuasa luar secara tidak langsung. Kedaulatan negara semakin mudah dicabar, diceroboh bahkan dikuasai oleh pihak lain dengan cara ini.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo