NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Krisis N. Sembilan: Beberapa ADUN UMNO disebut pengganti Exco?



KUALA LUMPUR – Krisis politik di Negeri Sembilan seolah-olah masih belum reda apabila kini timbul pula spekulasi bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bakal mengisi kekosongan jawatan Exco kerajaan negeri.

Perkembangan terbaharu itu hadir susulan tindakan empat Exco daripada UMNO yang dilaporkan memulangkan segala aset dan kenderaan rasmi semalam, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai pembentukan semula barisan pentadbiran negeri.

MalaysiaGazette melalui sumber juga difahamkan kemungkinan besar pengganti-pengganti sudah mendapat ‘lampu hijau’ hasil pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun kenyataan itu belum disahkan.

Antara nama yang mula disebut-sebut termasuk ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Difahamkan Mohd Asna yang dilihat sebagai antara pemimpin muda semakin menyerlah dengan latar belakang teknokrat sebelum menceburi politik turut diberi perhatian dalam perkembangan semasa.

Bagaimanapun, ketika dihubungi MalaysiaGazette, Mohd Asna enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.

“Apa-apa pun, saya sebagai ahli parti akan tetap setia dengan segala arahan daripada Presiden,” katanya ringkas.

Selain beliau, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir serta ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi turut dikaitkan dengan kemungkinan mengisi kekosongan berkenaan.

MalaysiaGazette belum berjaya menghubungi kedua-dua pemimpin ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan laporan bahawa beliau sudah melantik barisan Exco baharu bagi mengisi kekosongan empat jawatan yang ditinggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas 14 ADUN parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut menafikan dakwaan bahawa beliau berminat untuk dilantik sebagai Menteri Besar susulan perkembangan tersebut.

Jalaluddin yang juga Pengerusi BN negeri berkata, keputusan melantik Menteri Besar bukan terletak pada UMNO, sebaliknya diputuskan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Untuk rekod, sebelum ini Jalaluddin yang juga ADUN Pertang menggalas portfolio Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, selain berperanan sebagai Exco Kanan.

ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim pula memegang portfolio Pendidikan dan Modal Insan, manakala ADUN Palong, Mustapha Nagoor bertanggungjawab dalam Pembangunan Belia dan Sukan.

Sementara itu, ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli mengetuai portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi di Negeri Sembilan, kesemuanya melalui UMNO, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai pelantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan Exco berkenaan. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo