Peranan Raja-Raja Melayu stabilkan politik, negara


oleh:Oleh Prof Madya Dr Kassim Thukiman
Pada 8 Jun lalu, seluruh negara menyambut cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sambutan cuti umum seumpama ini juga diadakan di setiap negeri bagi menghormati pemerintahan ketua pemerintah negeri masing-masing. Pelbagai acara, majlis dan aktiviti disusun sebagai tanda penghormatan kerajaan serta rakyat kepada institusi beraja.

Di sebalik sambutan, sebagai warganegara yang taat dan setia kepada negara, kita wajar memahami dan menghayati kerangka sistem pemerintahan negara, yang menggabungkan dua sistem utama iaitu Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Pelaksanaan kedua-dua sistem ini diputus dalam rundingan kemerdekaan di London pada 1956/57. Rundingan membabitkan tiga pihak iaitu Pejabat Tanah Jajahan, Majlis Raja-Raja Melayu dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC.

Ketiga-tiga pihak akhirnya bersetuju dan memegang erat kewujudan sistem pemerintahan negara pasca merdeka.

Kemuncaknya Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di hadapan Majlis Raja-raja dan rakyat jelata.

Dalam konteks ini, rakyat Malaysia perlu memahami realiti dan fakta bahawa sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan adalah asas peradaban politik Malaysia.

Pakar Sejarah Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, merumuskan Kesultanan Melayu Melaka adalah pengasas sistem politik dan berkerajaan di Tanah Melayu.

Pelbagai kerangka pemerintahan diwujudkan membabitkan bidang kuasa raja, pembesar dan pemimpin di kawasan taklukan. Undang-undang digubal, kawasan persempadanan diwujudkan, konsep kerakyatan, sistem pentadbiran dilaksanakan dan hubungan antarabangsa dimeterai.

Semua ini menandai wujudnya sebuah sistem kesultanan yang berdaulat. Di sinilah gagasan kedaulatan Raja menjadi asas pemerintahan.

Dalam perspektif pentadbiran, Malaysia mengamalkan sistem Persekutuan. Ia menjelaskan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Apa yang paling signifikan, kewujudan sistem Persekutuan hanya dapat dizahirkan apabila Raja-raja Melayu sanggup mengorbankan sebahagian besar kuasa baginda menerusi Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948.

Berikutan itu, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dizahirkan pada 1 Februari 1948. Dari segi struktur pentadbiran, sistem pentadbiran disusun secara sistematik. Ia membabitkan tiga struktur utama iaitu legislatif (badan perundangan), eksekutif (badan pelaksana dasar) dan judiciary (badan kehakiman).

Ketiga-tiga institusi ini memperihalkan bidang kuasa tersendiri. Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong bertindak menaungi ketiga-tiga institusi sistem pentadbiran itu. Bagi rakyat pula, sistem sosial dibangunkan.

Rakyat memegang kukuh kehidupan beragama. Islam menjadi anutan orang Melayu. Sistem pendidikan dan sistem sosial pelbagai bangsa dibangunkan.

Sosioekonomi rakyat turut berkembang, selari sistem kesultanan yang dilatari konsep kerajaan kelautan. Implikasinya rantau Nusantara didatangi pedagang dari segala pelosok dunia.

Di samping itu, negara kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen. Ia bermula dengan pilihan raya umum (PRU) pertama pada 27 Julai 1955.

Sehingga kini, negara mengadakan 14 kali PRU yang menentukan parti dan pemimpin mana yang mendapat mandat rakyat untuk memerintah negara dan negeri. Parti berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan dibenarkan bertanding mengikut kemampuan dan pengaruh mereka.

Di sinilah, rakyat diberi peluang menentukan pemerintah negara. Dalam konteks ini, kedaulatan rakyat dimartabatkan.

Senario ini jelas menunjukkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja induk kuasa dalam sistem pemerintahan negara.

Rumusannya, sistem pemerintahan beraja menjadi pelengkap serta semak dan imbang kepada sistem pemerintahan demokrasi. Inilah yang menjadi asas kestabilan politik Malaysia selama ini.

Kestabilan politik ini pula menyumbang keharmonian dan kesepaduan sosial, kemakmuran ekonomi dan kesohoran global.

Dalam politik Malaysia yang semakin kompleks, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja semakin relevan dan signifikan.

Dalam PRU-14, Barisan Nasional (BN) kehilangan mandat. Sebaliknya Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, membentuk kerajaan baharu.

Pada masa inilah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah pembentukan kerajaan baharu perlu disegerakan demi kepentingan rakyat. Berikutan itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu memanggil pemimpin PH ke Istana Negara untuk mengadakan perbincangan dan majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Ini menunjukkan betapa Majlis Raja-Raja memberi perhatian serius kestabilan politik negara.

Peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja begitu terserlah dalam peralihan kepimpinan Kerajaan Persekutuan pada akhir Februari lalu.

Kebijaksanaan dan kewibawaan Al-Sultan Abdullah dan Majlis Raja-raja amatlah dihargai untuk menstabilkan politik negara demi kelangsungan pembangunan negara, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong atas kedudukannya sebagai ketua negara sanggup mencemar duli berjumpa semua 222 Ahli Parlimen secara berasingan.

Dengan penelitian mendalam dan cermat, baginda berserta nasihat Majlis Raja-raja, akhirnya keputusan dibuat sepertimana dititah dalam Majlis Perasmian Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Sebenarnya, isu pembentukan kerajaan pernah berlaku di Perak selepas PRU-12 pada 2008. BN dan Pakatan Rakyat mendakwa masing-masing mempunyai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Berikutan itu, al-marhum Sultan Azlan Shah menggunakan peruntukan kuasa baginda sebagai ketua negeri menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Baginda berkenan berjumpa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan akhirnya mengenal pasti parti yang mendapat majoriti. Keadaan sama berlaku di Selangor menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah menyelesaikan kemelut politik dengan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim.

Titah Sultan Johor dalam akaun Facebook baru-baru ini juga menarik perhatian. Keprihatinan baginda disebabkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 mengabsahkan peranan baginda sebagai Ketua Negeri.

Baginda Sultan Johor berusaha sebaik mungkin memastikan kestabilan politik di Johor dengan gagasan 'Muafakat itu Berkat'. Menurut baginda, kepentingan rakyat ditimpa kesusahan akibat COVID-19 mesti diutamakan, berbanding kepentingan peribadi pemimpin politik, semata-mata untuk mendapat kuasa.

Malah, baginda memberi amaran tidak akan teragak-agak membubarkan DUN Johor sekiranya isu perebutan kuasa masih berterusan. Ini menunjukkan betapa Raja-raja Melayu mempunyai peranan untuk memastikan kestabilan politik.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, beberapa rumusan boleh dibuat.

Pertama, rakyat perlu menghormati institusi beraja dan institusi demokrasi kerana kedua-duanya induk sistem pemerintahan negara.

Kedua, Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri kewujudan sebuah negara bangsa sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Ketiga, setiap warganegara berkewajipan menghormati dan merealisasikan Rukun Negara dan keempat, semua pemimpin politik perlu komited untuk menegakkan integriti politik yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Kelima, fenomena pandemik COVID-19 memerlukan kesatuan fikiran dan tindakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Keenam, 'genjatan senjata' dalam kalangan pemimpin dan parti amat diperlukan untuk membangunkan semula ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan nasional.

Almarhum Tun Abdul Razak pernah berpesan supaya pemimpin mengurangkan politiking dan mendahulukan kepentingan rakyat. Hanya dengan cara ini, pemimpin politik akan dihormati dan disanjung rakyat sepanjang zaman.

****Penulis adalah Pakar sejarah dan sains politik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post