NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama teknologi, awam-swasta perkasa produktiviti perniagaan: Microsoft


KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Produktiviti syarikat dan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdepan masa depan yang lebih cerah menerusi kerjasama teknologi dan sektor awam-swasta bagi memastikan negara terus diperkasa kesalinghubungan Internet yang lebih baik, kata Microsoft Malaysia.

Pengarah Urusannya K Raman berkata pelaksanaan PKP di seluruh negara telah mengubah kaedah operasi perniagaan di Malaysia, membabitkan peralihan daripada bekerja secara tradisional kepada secara jauh.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan itu telah menguji kesiapsiagaan organisasi di seluruh negara untuk bekerja secara jauh berikutan pelaburan kepada teknologi iaitu bagi perkakasan dan perisian serta pembangunan kemahiran perlu dibuat mengikut tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini adalah antara yang diperlukan untuk membolehkan pelaksanaan bekerja dari jauh, namun, aspek utama yang kurang diberi perhatian ialah akses kepada Internet.

“Kesalinghubungan Internet dan jalur lebar yang sentiasa ada telah menjadi nadi kepada pelan kesinambungan perniagaan dan sambungan Internet yang lancar adalah penting kepada semua rakyat Malaysia untuk terus bekerja dari rumah,” katanya dalam ruangan THOUGHTS di laman web www.bernama.com.

Thoughts bagi versi Bahasa Inggeris atau Tinta Minda bagi versi bahasa Melayu merupakan ruang yang diperkenalkan di www.bernama.com untuk golongan pakar dalam pelbagai bidang berkongsi pendapat dan idea mereka mengenai pelbagai topik dan isu semasa.

Beliau berkata selepas PKP, Microsoft Malaysia dan rakannya termasuk Telekom Malaysia (TM), Celcom dan Maxis telah berbincang untuk menentukan keperluan perniagaan dan menyediakan penyelesaian langsung bagi menangani cabaran yang dihadapi.

“Sebagai penyedia penyelesaian Internet terkemuka di Malaysia, TM mempunyai capaian yang diperlukan untuk menyediakan penyelesaian kepada organisasi di seluruh Malaysia untuk kekal produktif di tempat kerja semasa PKP,” katanya.

Menurutnya, TM ONE SaaS (perisian sebagai perkhidmatan) dicipta untuk memberi penyelesaian semua dalam satu kepada perniagaan dengan menawarkan Microsoft Teams dan Microsoft Office 365 E1 secara percuma selama enam bulan untuk memudahkan perniagaan beralih kepada bekerja secara jauh dengan kadar segera.

“Bersama-sama Celcom, kami menawarkan akses Microsoft Office 365 tanpa had kepada pelanggan pascabayar Xpax ketika waktu bekerja (8 pagi hingga 6 petang) pada setiap hari,” katanya.

Malah, beliau berkata kerjasama syarikat berkenaan dengan Maxis pada awal tahun ini menghasilkan pelancaran Microsoft Teams Unified Communications yang kini ditawarkan sebagai penyelesaian percuma kepada pelanggan Maxis Business untuk mendapat data percuma bagi penggunaan Skype dan Microsoft Teams sejak 27 Mac lepas.

Beliau berkata kerjasama itu turut menawarkan langganan percuma selama enam bulan bagi Managed Unified Communications menerusi Microsoft Teams bagi pakej Teams Phone System dan Teams Calling.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo