Pas My30 rekod 10,000 langganan pada hari pertama


KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sehingga tengah hari tadi merekodkan 10,000 langganan pada hari pertama, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran.

Beliau berkata selain jumlah langganan memberangsangkan, rata-rata pengguna hari ini turut memberikan maklum balas yang positif mengenai pas berkenaan.

"Pakej My30 menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My50 dan My100, adalah sah bagi tempoh enam bulan dari 15 Jun hingga 31 Disember. My30 adalah untuk warganegara sahaja dan penggunaannya hanya pada MyKad atau MyTentera yang mempunyai fungsi kad Touch 'n Go," katanya dalam program Malaysia Petang Ini (MPI) terbitan Bernama TV hari ini.

Inisiatif My30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 untuk tempoh sebulan merupakan pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang serta terbuka kepada semua warganegara berkuat kuasa hari ini sehingga akhir tahun ini.

Menerangkan fungsi pas berkenaan, Abdul Hadi berkata bagi pengguna pertama kali mereka perlu membuat pendaftaran dan mengaktifkan pas berkenaan terlebih dahulu di kaunter sebelum menggunakannya.

"Pertama kali, pengguna harus membayar RM35 untuk pas My30 kerana ia (RM35) merupakan jumlah minimum pas. Ini hanya untuk pertama kali sahaja, untuk pembaharuan tidak perlu. RM5 ini diperlukan bagi mengaktifkan fungsi pas.

“My30 boleh diaktifkan sebaik sahaja disentuh pada 'gate' masuk setiap stesen. Pembaharuannya pula boleh dibuat tujuh hari sebelum atau selepas tarikh tamat.

“Ia (My30) tidak akan mengganggu Touch 'n Go sedia ada di kad pengenalan kerana kod yang digunakan adalah berlainan. Kaunter stesen boleh semak MyKad ada kad Touch 'n Go atau tidak," katanya.

Beliau berkata selepas 31 Dis nanti, Prasarana akan mengkaji semula My30 sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

“Mereka yang melanggan pas pada hari terakhir iaitu pada 31 Dis, tidak akan mendapat bayaran balik sebaliknya mereka boleh menggunakan kad itu selama 30 hari iaitu sehingga hujung Januari 2021,” katanya.

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post