NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Undang-Undang Lompat Parti: Sah Atau Tidak Sah?


oleh: Dr Shamrahayu Aziz

Tujuan paparan saya pada kali ini ialah untuk berkongsi tentang undang-undang menyekat lompat parti atau undang anti-lompat parti yang memberikan kesan kekosongan kerusi. Persoalan utama yang cuba dijawab ialah, adakah ia sah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Maksud undang-undang anti-lompat partibagi tujuan paparan ini ialah, suatu undang-undang yang menetapkan bahawa kerusi seseorang Ahli Dewan (Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri) menjadi kosong (atau boleh diisytiharkan kosong) apabila beliau menyertai parti politik lain, atau bertukar kepada parti politik yang lain selain daripada parti politik yang beliau sertai atau wakili ketika pilihan raya.

Ekoran daripada perkembangan politik tanahair yang tidak perlu saya huraikan di sini, ramai bertanya tentang perlu atau tidak Malaysia memperkenalkan undang-undang menyekat lompat parti atau undang-undang anti-lompat parti. Sebagai pelajar undang-undang, saya lebih memberi tumpuan kepada persoalan sah atau tidak sah undang-undang tersebut menurut Perlembagaan Persekutuan walaupun saya juga mempunyai pandangan tentang perlu atau tidak perlu undang-undang tersebut dibuat.

Sebelum ini, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 saya telah beberapa kali diundang untuk berwacana tentang perkara ini. Antara lain, bicara pada Wacana Sinar pada 18.05.2018. [1] Kenyataan saya juga telah dipetik oleh Astro Awani. [2]

Pada pandangan saya, Malaysia tidak perlu membuat undang-undang menyekat atau menghalang lompat parti. Ini tidak bermaksud saya menyokong perbuatan lompat parti, terutamanya apabila ia berlaku dengan tujuan kepentingan materialistik. Tujuan seseorang ahli politik bertukar parti adalah tidak sama. Mungkin ada beberapa sebab, mungkin kerana kepentingan material, mungkin kerana tidak bersepakat dengan kepimpinan parti. Atau mungkin parti tidak lagi memperjuangkan matlamat asal. Walauapa pun pandangan saya, itu hanya pemerhatian saya. Saya sedar bahawa tedapat juga suara yang mahukan undang-undang anti-lompat parti ini diadakan. Hujah yang dikemukakan ialah supaya seseorang wakil rakyat itu setia kepada parti yang telah memberikan mereka tiket untuk menjadi wakil rakyat. Ia juga boleh meningkatkan integriti seseorang wakil rakyat.

Saya tidak menolak hujah yang dikemukakan untuk mengadakan undang-undang anti-lompat parti. Pastinya integriti adalah perkara utama. Namun, dalam konteks politik kepartian di negara kita, saya fikir kita hendaklah bergerak ke arah integriti yang dibentuk dalam diri wakil rakyat tanpa dikawal oleh undang-undang. Pada masa sama dapat membentuk sistem parti politik yang lebih utuh dengan memberikan kepada ahli parti politik untuk menyuarakan pandangan, menegur parti politiknya sendiri, bertanding untuk jawatan tertentu dalam parti dan mengundi dalam Dewan secara bebas mengikut conscious dan tidak terikat dengan parti. Dalam konteks ini, adalah penting untuk membina kematangan dalam diri mereka sendiri. Saya fikir adalah penting membina kematangan dalam berparti politik itu sendiri. Sekiranya ahli politik sentiasa dikawal oleh undang-undang, sampai bila mereka dapat menjadi jujur dan setia kepada partinya.

Saya boleh menerima sekiranya undang-undang ini mahu diwujudkan untuk menstabilkan suasana politik. Ia bukan suatu yang pelik atau bukan suatu yang salah. Lebih kurang 40 buah negara di dunia mempunyai undang-undang anti-lompat parti ini. Walaupun begitu, ia hendaklah dibuat menurut saluran dan kuasa perundangan yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Sekiranya undang-undang ini dibuat, ia menandakan demokrasi yang kita amalkan ini adalah demokrasi yang baharu lahir (nascent democracy), atau demokrasi yang belum matang. Analisis penulis antarabangsa menyatakan hanya negara yang mengamalkan nascent democracy yang mempunyai undang-undang anti-lompat parti. Justeru, sekiranya diberikan pilihan, saya memilih untuk tidak mewujudkan undang-undang anti-lompat parti.

ANTI-LOMPAT PARTI DALAM PERLEMBAGAAN

Pada kebiasaannya negara yang mempunyai undang-undang anti-lompat parti menyatakan peruntukan berkaitan dalam Perlembagaannya. Maksudnya undang-undang anti-lompat parti ini bukan suatu undang-undang biasa. Ia adalah sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara. Ini kerana ia adalah undang-undang berkaitan keahlian Parlimen, iaitu badan perundangan yang dicipta oleh Perlembagaan. Maka Perlembagaan merupakan undang-undang yang berhak untuk menentukan syarat kelayakan dan juga syarat hilang kelayakan. Oleh kerana itu pada peringkat negeri, (bagi negeri yang mempunyai peruntukan berkaitan) ia diwujudkan dalam Perlembagaan negeri, bukan enakmen. Perlembagaan negeri adalah undang-undang yang membuat Dewan Undangan Negeri dan menentukan syarat kelayakan dan hilang kelayakan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri.

Justeru, bagi negara kita, sekiranya serius mahu diwujudkan undang-undang anti-lompat parti ia hendaklah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan hendaklah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Negara jiran kita, Singapura mempunyai peruntukan berkaitan pada Perkara 46 Perlembagaannya.

MAKSUD LOMPAT PARTI

Sebelum menyatakan latar undang-undang, saya mahu memperkenalkan beberapa istilah dan keadaan berkaitan lompat parti. Istilah yang biasa kita dengar ialah lompat parti – seringkali juga dalam nada bergurau (atau mungkin sinikal) dipanggil katak. Dalam Bahasa Inggeris terdapat beberapa istilah yang digunakan, iaitu party switching, party defecting atau floor crossing. Ketiga-tiga istilah ini boleh diterjemahkan sebagai, bertukar parti, pembelotan parti dan bertukar kesetiaan kepada parti (bukan sekadar mengundi berbeza daripada parti). Dalam kefahaman semasa, lompat parti ini adalah istilah umum yang merangkum beberapa keadaan, antara lain, termasuklah

1. Apabila bertukar parti politik; contoh, daripada menjadi ahli parti politik A, menjadi ahli parti politik B;

2. Apabila seorang calon parti bebas, kemudiannya menyertai atau menjadi ahli parti politik;

Walaupun keadaan ini nampaknya jelas, tetapi yang sebenarnya, tiada tafsiran komprehensif tentang maksud lompat parti. Bertukar parti adalah kefahaman biasa dengan istilah lompat parti. Namun mutakhir, kita lihat dalam senario politik tanahair, terdapat Ahli Dewan yang berada di blok pembangkang, adakah ini juga bermaksud lompat parti yang terangkum di bawah istilah Floor Crossing. Dalam keadaan lain, adakah seseorang Ahli Dewan yang mengundi dalam Dewan berbeza dengan arahan partinya boleh dianggap sebagai lompat parti?

Pada pandangan saya, mengundi berbeza daripada arahan parti bukan bermaksud lompat parti, tetapi berada pada blok berbeza dengan kepimpinan parti boleh dianggap sebagai lompat parti kerana sudah tidak setia kepada parti dan kepimpinan parti. Tiada undang-undang khusus tentang ini di Malaysia. Tiada keputusan mahkamah juga. Undang-undang berkaitan yang pernaha ada di Kelantan dan Sabah, serta undang-undang di Pulau Pinang juga tidak memperincikan tentang ini. Oleh itu, ia sekadar pandangan. Ia sekadar tafsiran saya sahaja.

UNDANG-UNDANG ANTI-LOMPAT PARTI DI MALAYSIA

Pada peringkat Persekutuan, Malaysia tidak pernah mempunyai undang-undang yang menyekat ahli Parlimen daripada bertukar parti politik yang mereka wakili semasa pilihan raya. Tetapi pada peringkat negeri, Kelantan dan Sabah pernah mempunyai peruntukan berkaitan. Peruntukan dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan telah diputuskan oleh mahkamah sebagai tidah sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Manakala di Sabah, peruntukan berkaitan telah dimansuhkan pada tahun 1995 setelah dimasukkan dalam Perkara 18 Perlembagaan Negeri Sabah pada tahun 1988. Dan kini, hanya Pulau Pinang yang masih mempunyai undang-undang anti-lompat parti dalam Perlembagaan Negeri.

UNDANG-UNDANG ANTI-LOMPAT PARTI DI KELANTAN

Huraian tentang undang-undang anti-lompat parti di negeri Kelantan menjadi menarik kerana adanya kes yang dibawa ke mahkamah dan mahkamah telah memberikan huraian serta keputusan tentang undang-undang tersebut. Negeri Kelantan adalah negeri kedua, selepas Sabah, yang telah membuat undang-undang berkaitan anti-lompat parti.

Pada 25 April 1991, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 1991. Pindaan ini telah memasukkan Perkara XXXIA kepada Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan seperti berikut:

š˜Ÿš˜Ÿš˜Ÿš˜š˜ˆ. š˜š˜¢š˜¤š˜¢š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ š˜°š˜§ š˜“š˜¦š˜¢š˜µ š˜„š˜¶š˜¦ š˜µš˜° š˜³š˜¦š˜“š˜Ŗš˜Øš˜Æš˜¢š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ, š˜¦š˜µš˜¤., š˜§š˜³š˜°š˜® š˜±š˜°š˜­š˜Ŗš˜µš˜Ŗš˜¤š˜¢š˜­ š˜±š˜¢š˜³š˜µš˜ŗ.

(1) š˜š˜§ š˜¢š˜Æš˜ŗ š˜®š˜¦š˜®š˜£š˜¦š˜³ š˜°š˜§ š˜µš˜©š˜¦ š˜“š˜¦š˜Øš˜Ŗš˜“š˜­š˜¢š˜µš˜Ŗš˜·š˜¦ š˜ˆš˜“š˜“š˜¦š˜®š˜£š˜­š˜ŗ š˜øš˜©š˜° š˜Ŗš˜“ š˜¢ š˜®š˜¦š˜®š˜£š˜¦š˜³ š˜°š˜§ š˜¢ š˜±š˜°š˜­š˜Ŗš˜µš˜Ŗš˜¤š˜¢š˜­ š˜±š˜¢š˜³š˜µš˜ŗ š˜³š˜¦š˜“š˜Ŗš˜Øš˜Æš˜“ š˜°š˜³ š˜Ŗš˜“ š˜¦š˜¹š˜±š˜¦š˜­š˜­š˜¦š˜„ š˜§š˜³š˜°š˜®, š˜°š˜³ š˜§š˜°š˜³ š˜¢š˜Æš˜ŗ š˜³š˜¦š˜¢š˜“š˜°š˜Æš˜“ š˜øš˜©š˜¢š˜µš˜“š˜°š˜¦š˜·š˜¦š˜³ š˜¤š˜¦š˜¢š˜“š˜¦š˜“ š˜µš˜° š˜£š˜¦ š˜¢ š˜®š˜¦š˜®š˜£š˜¦š˜³ š˜°š˜§ š˜“š˜¶š˜¤š˜© š˜±š˜°š˜­š˜Ŗš˜µš˜Ŗš˜¤š˜¢š˜­ š˜±š˜¢š˜³š˜µš˜ŗ, š˜©š˜¦ š˜“š˜©š˜¢š˜­š˜­ š˜¤š˜¦š˜¢š˜“š˜¦ š˜µš˜° š˜£š˜¦ š˜¢ š˜®š˜¦š˜®š˜£š˜¦š˜³ š˜°š˜§ š˜µš˜©š˜¦ š˜“š˜¦š˜Øš˜Ŗš˜“š˜­š˜¢š˜µš˜Ŗš˜·š˜¦ š˜¢š˜Æš˜„ š˜©š˜Ŗš˜“ š˜“š˜¦š˜¢š˜µ š˜“š˜©š˜¢š˜­š˜­ š˜£š˜¦š˜¤š˜°š˜®š˜¦ š˜·š˜¢š˜¤š˜¢š˜Æš˜µ.

(2) š˜š˜°š˜³ š˜µš˜©š˜¦ š˜±š˜¶š˜³š˜±š˜°š˜“š˜¦ š˜°š˜§ š˜Šš˜­š˜¢š˜¶š˜“š˜¦ (1) š˜µš˜©š˜¦ š˜“š˜¦š˜Øš˜Ŗš˜“š˜­š˜¢š˜µš˜Ŗš˜·š˜¦ š˜ˆš˜“š˜“š˜¦š˜®š˜£š˜­š˜ŗ š˜“š˜©š˜¢š˜­š˜­ š˜„š˜¦š˜µš˜¦š˜³š˜®š˜Ŗš˜Æš˜¦ š˜øš˜©š˜¦š˜µš˜©š˜¦š˜³ š˜¦š˜¢š˜µ š˜£š˜¦š˜¤š˜°š˜®š˜¦š˜“ š˜·š˜¢š˜¤š˜¢š˜Æš˜µ š˜¢š˜Æš˜„ š˜µš˜©š˜¦ š˜„š˜¦š˜µš˜¦š˜³š˜®š˜Ŗš˜Æš˜¢š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ š˜°š˜§ š˜µš˜©š˜¦ š˜¢š˜“š˜“š˜¦š˜®š˜£š˜­š˜ŗ š˜“š˜©š˜¢š˜­š˜­ š˜£š˜¦ š˜§š˜Ŗš˜Æš˜¢š˜­ š˜¢š˜Æš˜„ š˜“š˜©š˜¢š˜­š˜­ š˜Æš˜°š˜µ š˜£š˜¦ š˜²š˜¶š˜¦š˜“š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æš˜¦š˜„ š˜Ŗš˜Æ š˜¢š˜Æš˜ŗ š˜Šš˜°š˜¶š˜³š˜µ š˜°š˜Æ š˜¢š˜Æš˜ŗ š˜Øš˜³š˜°š˜¶š˜Æš˜„ š˜øš˜©š˜¢š˜µš˜“š˜°š˜¦š˜·š˜¦š˜³.

Fasal (1) ringkasnya bermaksud, seseorang ahli Dewan yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik tersebut atas apa-apa jua sebab.

Fasal (2) pula bermaksud, Dewan Undangan Negeri akan menentukan sama adakerusi tersebut menjadi kosong dan penentuan Dewan adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di Mahkamah atas apa jua sebab.

Perkara XXXIA ini telah diberikan kesan kebelakang (retrospective effect), iaitu pada tarikh 19 November 1990. Maksudnya Perkara XXXIA ini boleh terpakai kepada kes yang berlaku sebelum ia dibuat. Pada kebiasaanya undang-undang tidak boleh mempunyai kesan kebelakang. Namun, bagi Perlembagaan, ia dibolehkan.

KES NORDIN SALLEH

Perkara XXXIA ini telah dicabar kesahannya dalam kes Nordin Salleh & Anor v. Dewan Undangan Negeri Kelantan & Ors [1992] 3 CLJ (Rep) 135. Kes ini diputuskan pada peringkat Mahkamah Tinggi.

Isu utama dalam kes ini ialah, kesahan Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan. Saya petik dari laporan alasan penghakiman:

The main prayer is for an order declaring that Article XXXIA of the Kelantan State Constitution is invalid, null and void as it is ultra vires the provisions of Article 19(1)(c) [sic]* of the Federal Constitution

*Sepatutnya Article 10(1)(c), bukan(19). Perkara 10(1)(c) memperuntukkan tentang kebebasan berpersatuan.

Hujah pihak plaintif (Nordin Salleh & Anor) ialah, Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan telah menyekat kebebasan asasi Ahli Dewan untuk melaksanakan hak kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pihak defendan (Dewan Undangan Negeri Kelantan & Ors) pula berhujah bahawa Perkara XXXIA Perlembagaan Negeri Kelantan tidak menghalang seorang anggota Dewan Undangan Negeri yang merupakan anggota parti politik untuk menyertai mana-mana parti politik yang lain, oleh itu, Perkara XXXIA tersebut tidak bertentangan dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Hujah ini tidak diterima oleh Mahkamah. Mahkamah menyatakan bahawa kesan langsung dan kesan yang tidak dapat dielakkan daripada suatu peruntukan undang-undang perlu diambil kira. Sekiranya undang-undang tersebut memberikan kesan sehingga menjadikan sesuatu hak itu tidak efektif atau hanya ilusi, maka undang-undang tersebut harus dianggap sebagai tidak berperlembagaan dan mesti dimansuhkan.

Justeru, dalam kes ini, mahkamah memutuskan bahawa, walaupun kebebasan berpersatuan tidak dihalang oleh Perkara XXXIA, tetapi kesan daripada peruntukan tersebut ialah, seseorang Ahli Dewan tidak dapat melaksanakan hak berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan secara berkesan. Maksudnya, walaupun seseorang Ahli Dewan boleh menyertai atau menjadi ahli parti politik lain, tetapi beliau hendaklah mengosongkan kerusinya di dalam Dewan. Maka hak berpersatuan tersebut hanya menjadi ilusi. Atas sebab itu, undang-undang tersebut adalah tidak berperlembagaan.

Selanjutnya defendan (iaitu Dewan Undangan Negeri & Ors) menghujah bahawa, untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bukan sebahagian daripada hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia adalah hak yang diberikan oleh undang-undang (statute, bukan Perlembagaan) atau “hak berkanun”. Hak berkanun ini dapat dihapuskan oleh undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri. Hakim Eusoff Chin bersetuju dengan hujah ini, namun, Hakim bijaksana menyatakan, perkara utama yang perlu dijawab adalah, sama ada undang-undang yang memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk memecat Ahli Dewan itu sah atau pun tidak.

Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang tersebut, Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan adalah tidak sah kerana niat sebenar Perkara XXXIA adalah untuk menghalang/menyekat Ahli Dewan daripada meninggalkan parti politik yang menjadi tiket kepadanya menjadi Ahli Dewan, atas apa sebab sekalipun. Walaupun Perkara XXXIA tidak secara langsung menyekat kebebasan berpersatuan seseorang Ahli Dewan, namun kesan langsung kepada peruntukan XXXIA itu ialah, kebebasan berpersatuan seseorang Ahli Dewan itu harus dibayar dengan kehilangan kerusi. Justeru, kebebasan berpersatuan itu bukan kebebasan sebenar dan ia hanya menjadi satu ilusi.

Mahkamah juga membuat keputusan bahawa hanya Parlimen yang boleh meletakkan sekatan ke atas kebebasan asasi. Setelah memutuskan bahawa Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan merupakan sekatan kepada kebebasan berpersatuan, mahkamah menjelaskan bahawa hanya Parlimen yang boleh membuat sekatan tersebut. Ini kerana Perkara 10(2)(c) memperuntukkan:

(2)š˜—š˜¢š˜³š˜­š˜Ŗš˜®š˜¦š˜Æ š˜£š˜°š˜­š˜¦š˜© š˜®š˜¦š˜­š˜¢š˜­š˜¶š˜Ŗ š˜¶š˜Æš˜„š˜¢š˜Æš˜Ø-š˜¶š˜Æš˜„š˜¢š˜Æš˜Ø š˜®š˜¦š˜Æš˜Øš˜¦š˜Æš˜¢š˜¬š˜¢š˜Æ—…

(š˜¢)…

(š˜£)…

(š˜¤) š˜¬š˜¦ š˜¢š˜µš˜¢š˜“ š˜©š˜¢š˜¬ š˜ŗš˜¢š˜Æš˜Ø š˜„š˜Ŗš˜£š˜¦š˜³š˜Ŗš˜¬š˜¢š˜Æ š˜°š˜­š˜¦š˜© š˜±š˜¦š˜³š˜¦š˜Æš˜Øš˜Øš˜¢š˜Æ (š˜¤) š˜š˜¢š˜“š˜¢š˜­ (1), š˜¢š˜±š˜¢-š˜¢š˜±š˜¢ š˜“š˜¦š˜¬š˜¢š˜µš˜¢š˜Æ š˜ŗš˜¢š˜Æš˜Ø š˜„š˜Ŗš˜„š˜¢š˜±š˜¢š˜µš˜Ŗš˜Æš˜ŗš˜¢ š˜±š˜¦š˜³š˜­š˜¶ š˜¢š˜µš˜¢š˜¶ š˜“š˜¶š˜¢š˜Ŗ š˜®š˜¢š˜Æš˜§š˜¢š˜¢š˜µ š˜„š˜¦š˜®š˜Ŗ š˜¬š˜¦š˜±š˜¦š˜Æš˜µš˜Ŗš˜Æš˜Øš˜¢š˜Æ š˜¬š˜¦š˜“š˜¦š˜­š˜¢š˜®š˜¢š˜µš˜¢š˜Æ š˜—š˜¦š˜³š˜“š˜¦š˜¬š˜¶š˜µš˜¶š˜¢š˜Æ š˜¢š˜µš˜¢š˜¶ š˜®š˜¢š˜Æš˜¢-š˜®š˜¢š˜Æš˜¢ š˜£š˜¢š˜©š˜¢š˜Øš˜Ŗš˜¢š˜Æš˜Æš˜ŗš˜¢, š˜¬š˜¦š˜µš˜¦š˜Æš˜µš˜¦š˜³š˜¢š˜®š˜¢š˜Æ š˜¢š˜øš˜¢š˜® š˜¢š˜µš˜¢š˜¶ š˜±š˜³š˜Ŗš˜Æš˜“š˜Ŗš˜± š˜®š˜°š˜³š˜¢š˜­.

Selain daripada itu, Mahkamah juga menyatakan dalam bentuk obiter dicta* bahawa sekatan kepada keahlian Dewan, sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, hendaklah menepati sebab atau aspek yang disebut dalam perenggan (c), iaitu “..,keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral”. Prinsip moral dikatakan terhad kepada “sexual morality”dan tidak termasuk “political morality”.

*Obiter dicta ialah perkataan Latin yang ringkasnya bermaksud kenyataan hakim dalam alasan penghakimannya (keputusan penghakimannya) yang disebut secara sepintas lalu serta tidak mengikat mahkamah selepasnya.

Setelah keputusan kes Nordin Salleh yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu menyatakan bahawa Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan adalah tidak berperlembagaan dan menjadi tidak sah, tiada rayuan dibuat oleh mana-mana pihak. Maka sehingga kini keputusan tersebut kekal dan menjadi undang-undang yang sedang terpakai. Walaupun begitu, kita perlu mengambil perhatian bahawa keputusan tersebut adalah keputusan Mahkamah Tinggi, bukannya Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah teratas atau paling tinggi. Maksud saya ialah, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menjadi undang-undang dan mengikat namum peluang untuk isu serupa sampai ke mahkamah paling atas masih terbuka.

UNDANG-UNDANG ANTI-LOMPAT PARTI DI SABAH

Sebelum Kelantan membuat pindaan kepada Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan untuk memasukkan Perkara XXXIA, Sabah telah terlebih dahulu mempunyai peruntukan yang serupa. Perkara 18(2) (d) telah dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah oleh Enakmen Perlembagaan (Pindaan) Negeri Sabah pada tahun 1986 yang mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 20hb Mei 1986. Pindaan berkenaan telah beroperasi pada tarikh sama. Pindaan kepada Perkara 18 Perlembagaan Negeri Sabah itu memberi kesan bahawa kerusi sebagai Ahli Dewan menjadi kosong apabila beliau bersara atau dipecat, atau atas apa sebab sekalipun tidak lagi menjadi ahli parti politik yang disertainya sebelum itu.

Perkara 18(2)(d) yang baharu dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah tersebut telah dipersoalkan kesahannya di sisi Perlembagaan Persekutuan dalam kes Abdul Karim bin Abdul Ghani vs Legislative Assembly of Sabah [1988] 1MLJ 171. Pemohon dalam kes ini (Abdul Karim) memohon kepada Mahkamah Persekutuan satu kebenaran (leave)*, untuk mendapatkan pengisytiharan Mahkamah Agung*, bahawa pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sabah tersebut adalah tidak sah.

(*Pada ketika itu Mahkamah Agung adalah mahkamah paling tinggi. Istilah Mahkamah Agung diperkenalkan pada 1hb Januari 1985. Sebelum itu, istilah yang digunakan bagi mahkamah paling tinggi ialah Mahkamah Persekutuan. Kemudiannya ditukar kepada Mahkamah Agung, sebelum ditukar semula kepada Mahkamah Persekutuan (menggantikan Mahkamah Agung) pada 24hb Jun 1994)

Alasan yang dikemukakan oleh pemohon ialah Dewan Undangan Negeri Sabah tidak diberikan kuasa dan bukan badan yang kompeten untuk membuat peruntukan berkaitan hilang kelayakan seseorang ahli Dewan. Seterusnya dihujahkan bahwa Dewan Undangan Negeri telah secara tidak sah dan tidak berperlembagaan merampas kuasa Parlimen untuk membuat peruntukan berkenaan sebagaimana peruntukan Perkara 74(1) dan Butiran 6 Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan pemohon ditolak oleh Mahkamah. Dengan kata lain, kebenaran (leave) tidak dibenarkan. Dalam alasan penghakimannya Hakim Mahkamah Agung, Hashim Yeop A. Sani menyatakan bahawa tiada kesangsian lagi Parlimen mempunyai kuasa tentang hilang kelayakan bagi Ahli Parlimen, tetapi, hilang kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri kerana ia adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana jelas di bawah perenggan 6, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Menurut Mahkamah Agung, hal ini juga jelas pada Perenggan 5 Jadual Kelapan bahawa hilang kelayakan adalah di bawah kompetensi Negeri. Perenggan 5 memperuntukkan seperti berikut:

"š˜Œš˜·š˜¦š˜³š˜ŗ š˜¤š˜Ŗš˜µš˜Ŗš˜»š˜¦š˜Æ š˜°š˜§ š˜°š˜³ š˜°š˜·š˜¦š˜³ š˜µš˜©š˜¦ š˜¢š˜Øš˜¦ š˜°š˜§ š˜µš˜øš˜¦š˜Æš˜µš˜ŗ-š˜°š˜Æš˜¦ š˜ŗš˜¦š˜¢š˜³š˜“ š˜øš˜©š˜° š˜Ŗš˜“ š˜³š˜¦š˜“š˜Ŗš˜„š˜¦š˜Æš˜µ š˜Ŗš˜Æ š˜µš˜©š˜¦ š˜šš˜µš˜¢š˜µš˜¦ š˜Ŗš˜“ š˜²š˜¶š˜¢š˜­š˜Ŗš˜§š˜Ŗš˜¦š˜„ š˜µš˜° š˜£š˜¦ š˜¢ š˜®š˜¦š˜®š˜£š˜¦š˜³ š˜°š˜§ š˜µš˜©š˜¦ š˜“š˜¦š˜Øš˜Ŗš˜“š˜­š˜¢š˜µš˜Ŗš˜·š˜¦ š˜ˆš˜“š˜“š˜¦š˜®š˜£š˜­š˜ŗ, š˜¶š˜Æš˜­š˜¦š˜“š˜“ š˜©š˜¦ š˜Ŗš˜“ š˜„š˜Ŗš˜“š˜²š˜¶š˜¢š˜­š˜Ŗš˜§š˜Ŗš˜¦š˜„ š˜§š˜°š˜³ š˜£š˜¦š˜Ŗš˜Æš˜Ø š˜¢ š˜®š˜¦š˜®š˜£š˜¦š˜³ š˜£š˜ŗ š˜µš˜©š˜¦ š˜š˜¦š˜„š˜¦š˜³š˜¢š˜­ š˜Šš˜°š˜Æš˜“š˜µš˜Ŗš˜µš˜¶š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ š˜°š˜³ š˜µš˜©š˜Ŗš˜“ š˜Šš˜°š˜Æš˜“š˜µš˜Ŗš˜µš˜¶š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ š˜°š˜³ š˜£š˜ŗ š˜¢š˜Æš˜ŗ š˜“š˜¶š˜¤š˜© š˜­š˜¢š˜ø š˜¢š˜“ š˜Ŗš˜“ š˜®š˜¦š˜Æš˜µš˜Ŗš˜°š˜Æš˜¦š˜„ š˜Ŗš˜Æ š˜“š˜¦š˜¤š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ 6 š˜°š˜§ š˜µš˜©š˜¦ š˜Œš˜Ŗš˜Øš˜©š˜µš˜© š˜šš˜¤š˜©š˜¦š˜„š˜¶š˜­š˜¦ š˜µš˜° š˜µš˜©š˜¦ š˜š˜¦š˜„š˜¦š˜³š˜¢š˜­ š˜Šš˜°š˜Æš˜“š˜µš˜Ŗš˜µš˜¶š˜µš˜Ŗš˜°š˜Æ."

Keputusan di Mahkamah Persekutuan ini telah menunjukkan bahawa Dewan Undangan Negeri boleh membuat peruntukan berkaitan hilang kelayakan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri.

(* untuk maksud leave sila lihat posting saya sebelum ini KUASA DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) BERKAITAN KESALAHAN SYARIAH AKAN KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN?)

Walaupun mahkamah memutuskan begitu, Perkara 18(2)(d) yang ditambah kepada Perlembagaan Negeri Sabah telah dimansuhkan oleh Enakmen 11 pada tahun 1995. (saya masih meneliti alasan kenapa peruntukan tersebut dimansuhkan).

ANALISIS KES NORDIN SALLEH DAN ABDUL KARIM

Analisis ringkas saya ke atas kedua-dua keputusan kes, Nordin Salleh (Kelantan) dan Abdul Karim (Sabah) menunjukkan beberapa perkara;

1. Hal berkaitan hilang kelayakan seseorang ahli Dewan adalah di bawah bidang kuasa negeri.

2. Maka Dewan Undangan Negeri boleh menentukan apakah perkara-perkara yang difikirkan sesuai untuk dijadikan sebab hilang kelayakan.

3. Walau bagaimanapun, dalam menentukan syarat hilang kelayakan tersebut, Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuatnya dalam bentuk sekatan kepada kebebasan berpersatuan.

4. Ini kerana hanya Parlimen yang boleh membuat sekatan ke atas kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10(2)(c).

UNDANG-UNDANG ANTI-LOMPAT PARTI DI PULAU PINANG

Pulau Pinang menjadi negeri ketiga yang membuat peruntukan berkaitan anti-lompat parti. Pindaan kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dengan memasukkan Perkara 14A telah dibuat pada tahun 2012. Sehingga kini tiada cabaran di mahkamah atas kesahan atau constitutionality Perkara 14A walaupun ia pernah dikatakan tidak sah oleh mendiang Karpal Singh, pimpinan DAP sendiri.

Menurut kenyataan yang dilaporkan oleh malaysiakini [3], Ketua Menteri Pulau Pinang pada Ketika itu, YB Lim Guan Eng menyatakan tiga prinsip penting dalam undang-undang anti-lompat parti di Pulau Pinang:

1. Kedaulatan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen, dengan rakyat mempunyai hak untuk memilih wakil mereka;

2. Kebebasan berpersatuan bagi wakil yang dipilih, tetapi dia perlu mengosongkan kerusinya jika melompat parti;

3. Bagi prinsip akauntabiliti, wakil rakyat mesti bertanggungjawab kepada pengundi mereka.

Pulau Pinang membuat pindaan kepada Perlembagaan Negeri dengan memasukkan Perkara 14A yang mempunyai intipati seperti berikut:*

1. Ahli yang menukar parti politik', hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia bertukar parti atau berhenti menjadi ahli parti atas apa jua alasan

2. Seseorang yang dipilih sebagai ahli Bebas juga mesti mengosongkan kerusinya jika orang itu menyertai sesebuah parti politik.

3. Perakra 14A mengecualikan wakil rakyat daripada mengosongkan kerusinya jika keahliannya berakhir kerana pembubaran parti atau pembatalan pendaftarannya.

4. Seseorang wakil rakyat yang melepaskan keahliannya dalam parti jika dia dipilih sebagai speaker dewan undangan negeri adalah dikecualikan daripada mengosongkan kerusinya.

(* saya tidak menemui peruntukan sebenar daripada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang atas talian walaupun saya telah membaca perkara 14A sebelum in. Saya memetik intipati peruntukan ini dari laporan atas talian malaysiakini pada pautan di atas)

Sekiranya berlaku pengisytiharan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menjadi kosong dalam perkembangan mutakhir politik di negeri Pulau Pinang, kemungkinan perkara ini akan dibawa ke mahkamah adalah besar. Oleh kerana dua persoalan utama berkaitan undang-undang anti-lompat parti, iaitu kebebasan berpersatuan dan kuasa dan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri telah diselesaikan dalam dua kes, masing-masing di Kelantan*dan Sabah, maka persoalan yang mungkin boleh ditimbulkan ialah definisi “parti politik”. Adakah gabungan longgar seperti Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional adalah “parti politik” dalam maksud undnag-undang anti-lompat parti di Pulau Pinang?

(*mengambil kira, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kes ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, bukan mahkamah paling tinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan)

PENUTUP

Jika kita perhati, negeri-negeri yang bergolak keadaan politiknya cuba mengambil pendekatan untuk menggubal undang-undang anti-lompat parti. Pengalaman negara luar juga begitu. India sebagai contoh, telah menggubal undang-undang anti lompat parti kerana Ahli Parlimen bertukar parti sehingga mewujudkan ketidakstabilan politik di negara berkenaan. Isu perlembagaan atau constitutionality adalah isu utama dalam gubalan undang-undang anti-lompat parti. Berasaskan kepada keputusan Nordin Salleh, mahkamah telah menberikan perincian yang agak mendalam tentang isu perlembagaan dan besar kemungkinan undang-undang anti-lompat parti tidak sah kerana bercanggah dengan perlembagaan adalah besar.

[1] https://www.youtube.com/watch?v=WrAPdfXlM9c

[2] http://www.astroawani.com/…/tidak-perlu-gubal-akta-anti-lom….

[3] https://www.malaysiakini.com/news/213226

(Maaf ya, ada masalah teknikal sikit paparan tadi)

Sumber: https://www.facebook.com/drshamrahayuaziz/posts/123705506006709

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo