Hubungan Akrab Iran - Venezuela dan Komplot Sulit Amerika Syarikat.

oleh:YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

Beberapa hari lalu, dua kapal tangki dari Iran yang dipenuhi dengan produk petroluem telah tiba di pelabuhan Venezuela.Tiga lagi kapal tangki dengan muatan yang sama dijangka akan tiba di Venezuela tidak lama lagi.

Namun dalam laporan terbaru The Wall Street Journal, pentadbiran Donald Trump telah mengugut pemilik kapal tangki terbabit dengan sekatan agar tidak meneruskan perjalanan ke Venezuela.

Dua daripada tiga kapal terbabit telah menghentikan perjalanan mereka manakala satu kapal tangki tetap meneruskan perjalanan ke Venezuela. Walaupun masih belum dapat dipastikan kebenaran berita tersebut, jelas Donald Trump tidak senang dengan hubungan akrab Iran - Venezuela yang menjadi musuh nombor satu beliau.

Hubungan Iran - Venezuela.

Iran dan Venezuela telah lama akrab dalam hubungan diplomatik dan dua hala iaitu bermula sejak zaman Hugo Chavez dan Mohamed Khatami menjadi Presiden kepada negara masing - masing pada awal tahun 2000.

Hubungan akrab kedua - dua pemimpin tersebut telah menyaksikan pelbagai bentuk kerjasama dan kolaborasi perdagangan dalam jumlah yang besar telah dimenterai antara kedua - dua negara malah kedua - dua pimpinan tersebut telah banyak kali melakukan kunjungan rasmi untuk mengeratkan lagi hubungan kedua - dua negara.

Malah ketika lawatan Mohamed Khatami ke Venezuela pada tahun 2005,Hugo Chavez telah menganugerahkan darjah kebesaran Venezuela “ Orden del Libertador “ dan mengelarkan Mohamed Khatami sebagai " tireless fighter for all the right causes in the world “ sebagai mengambarkan keakraban kedua - dua pemimpin dan negara tersebut.

Hugo Chaves meneruskan hubungan akrab dengan Iran ketika Mahmoud Ahmadinejad menjadi Presiden Iran. Ketika inilah Amerika Syarikat melihat bahayanya kedua - dua negara ini jika dibiarkan. Ketika ini kedua - dua pimpinan ini bersama secara terbuka mengisytiharkan penentangan impirealisme Amerika Syarikat kepada dunia.

Hugo Chavez juga turut menyokong penuh pembabitan Iran dalam pembinaan loji nuklearnya untuk penjanaan tenaga dan mengutuk ugutan ketenteraan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat.

Dalam satu ucapannya di Universiti Tehran ketika lawatannya pada Julai 2006, Hugo Chavez memberitahu ribuan hadirin bahawa jika Amerika Syarikat berjaya menyatukan kekuatannya untuk mendominasi dunia, maka umat manusia akan tiada masa depan. Untuk menyelamatkan masa depan umat manusia, Amerika Syarikat perlu ditamatkan riwayatnya.

Pada Mei 2011, Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama telah mengenakan sekatan terhadap PDVSA, syarikat petroluem Venezuela kerana menghantar dua kapal tangki dipenuhi produk petroluem ke Venezuela.

Tidak berapa lama selepas itu, Hugo Chavez dalam satu ucapannya menegaskan bahawa ketika kuasa impirealisme dan penjenayah elit telah mengisytiharkan perang terhadap orang Islam sejak 10 tahun lalu, kami dari Bolivarian Revolution mengisytiharkan kasih sayang dan kecintaan terhadap kebudayaan Islam, sejarah mereka dan juga mereka umat Islam adalah saudara kami selama - lamanya.

Hubungan akrab Iran - Venezuela di teruskan sehingga sekarang oleh Nicolas Maduro dan Hassan Rouhani. Ogos 2014, Iran dan Venezuela telah menandatangani 256 perjanjian yang merangkumi 58 projek dalam pelbagai sektor yang bernilai berbillion dolar yang dijangka berlangsung dalam tempoh jangka masa panjang.

Malah Nicolas Maduro dan Hassan Rouhani dalam ucapan mereka ketika lawatan rasmi kedua - dua pemimpin tersebut menegaskan bahawa Amerika Syarikat menggunakan kuasanya dengan menghalang eksport petroluem kedua - dua negara untuk menekan ekonomi dan pertumbuhan negara mereka.

Kerana Amerika Syarikat mengetahui jika tidak dilakukan sedemikian. Iran dan Venezuela mampu bangkit dan menentang kekuasaan impirealisme mereka selain Rusia, China mahupun Turki.

Apapun perkembangan terbaru penghantaran produk petroluem oleh Iran ke Venezuela membuktikan keakraban hubungan kedua - dua negara dan semestinya merisaukan Amerika Syarikat kerana natijahnya walau apapun yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, hubungan Iran - Venezuela tetap utuh dan mampu merobek ego dan kekuasaan Amerika Syarikat.

Sejarah Hubungan Amerika Syarikat - Venezuela.

Venezuela adalah musuh nombor satu Donald Trump dan Amerika Syarikat di benua Amerika. Hubungan pasang surut diplomatik Venezuela - Amerika Syarikat sebenarnya telah lama berlaku sejak awal 1900 lagi ketika Capriano Castro menjadi Presiden Venezuela.

Namun hubungan Venezuela - Amerika Syarikat kembali akrab apabila minyak mula dijumpai dan diekstrak dari bumi Venezuela pada awal 1910. Ketika itu syarikat carigali dan petroluem dari Amerika Syarikat memenuhi Venuzuela untuk mendapatkan konsesi carigali minyak.

Ketika zaman Marcos Perez Jimenez menjadi Presiden Venezuela pada tahun 1953 - 1958, Amerika Syarikat menjadi pelabur utama dalam sektor petroluem Venezuela. Syarikat carigali dan petroluem Amerika Syarikat ketika itu memonopoli sektor petroluem Venezuela.

Ketika ini hubungan Amerika Syarikat dan Venezuela cukup akrab hingga Presiden Marcos Perez Jimenez dianugerahkan dengan pingat Legion Of Merit oleh Kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1954.

Ketika krisis minyak 1973 atau 1973 Oil Embargo, Venezuela menampung sebahagian besar keperluan minyak mentah Amerika Syarikat akibat daripada sekatan jualan minyak mentah yang dilakukan oleh negara - negara Dunia Islam dikalangan negara OPEC terhadap Amerika Syarikat yang menyokong Regim Israel ketika perang Arab Israel 1973.

1970an, mula kedengan suara - suara ahli politik dan rakyat Venezuela yang mahukan perubahan dalam industri petroluem supaya dijadikan milik negara akibat monopoli syarikat asing terutamanya dari Amerika Syarikat.

Presiden Carlos Andres Perez pada 1976 telah menubuhkan PDVSA, syarikat petroluem milik Venezuela dan mengambil alih aset - aset syarikat minyak antarabangsa seperti Standard Oil, Mobil dan Shell untuk dijadikan milik negara. Ternyata tindakan tersebut tidak mengembirakan dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Ketika Hugo Chavez menjadi Presiden Venezuela pada tahun 1999, hubungan Amerika Syarikat - Venezuela kembali tegang. Amerika Syarikat melihat Hugo Chavez sebagai berbahaya kepada dominasi mereka di benua Amerika terutamanya di Amerika Selatan.

Hugo Chavez secara drastik telah menjadikan industri minyak dan gas sebagai 100 peratus milik negara dan tidak begitu diterima oleh Amerika Syarikat kerana masih terdapat lagi ketika itu kepentingan ekonomi Amerika Syarikat di Venezuela terutamanya dalam industri minyak dan gas.

Bolivarian Revolution yang menjadi pegangan dan ideologi Hugo Chavez dimana ianya adalah pemikiran revolusi Simon Bolivar, seorang pemimpin revolusi Latin Amerika dari Venezuela pada awal kurun ke 19 ketika penentangan penjajahan Sepanyol di benua Amerika Selatan tidak begitu disukai oleh Amerika Syarikat kerana ia menolak sebarang bentuk penjajahan daripada kuasa luar dan membentuk kesepakatan di Amerika Selatan.

Ketika zaman Hugo Chavez, Ecuador dan Bolivia menjadi sekutu kuat Venezuela di Amerika Selatan yang menentang kuat dominasi Amerika Syarikat. Hubungan rapat Hugo Chavez dan Venezuela dengan Cuba, Rusia, China dan Iran juga menjadi penyebab utama ketegangan Amerika Syarikat - Venezuela.

Malah Hugo Chavez menjadi sekutu kuat negara - negara tersebut dengan pelbagai perjanjian perdagangan, hubungan politik yang akrab dan pembelian senjata dalam jumlah yang besar. Malah Hugo Chavez juga bersama - sama negara - negara tersebut menentang polisi dan politik Amerika Syarikat di pelbagai peringkat di dunia.

Akibatnya, Venezuela dikenakan pelbagai sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan dunia sehingga hampir meranapkan serta melumpuhkan ekonominya termasuk indusrtri minyak dan gas ketika di zaman Hugo Chavez.

Nicolas Maduro, Presiden Venezuela saat ini turut meneruskan apa yang dilakukan oleh Hugo Chavez dan menerima nasib yang sama. Ekonomi Venezuela semakin merendum malah jumlah inflasi di Venezuela adalah yang tertinggi di dunia, melebihi 9,586 peratus akibat daripada pelbagai sekatan ekonomi dan perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat.

Cubaan Rampasan Kuasa Yang Dipelopori Amerika Syarikat.

Penghujung 2019, bertiup kencang khabar angin di Washington yang mana pentadbiran Donald Trump sedang merancang untuk menjatuhkan kepimpinan di Iran dan Venezuela. Ia akan dimulakan dengan pelbagai sekatan ekonomi yang ketat untuk melumpuhkan ekonomi kedua - dua buah negara.

1 Mei 2020, satu cubaan rampasan kuasa yang dipercayai didalangi Amerika Syarikat dan CIA berjaya dipatahkan oleh tentera Venezuela dengan tertangkapnya 13 orang termasuk dua orang bekas tentera skuad khas “ Green Berret “ Amerika Syarikat.

Cubaan rampasan kuasa tersebut yang dipercayai turut dibantu oleh pemimpin pembangkang yang mendapat sokongan Amerika Syarikat Juan Guaido dan bekas jeneral tentera Venezuela Cliver Alcala yang terbabit dalam cubaan rampasan kuasa terdahulu.

Bagaimanapun Amerika Syarikat dan pentadbiran Donald Trump menafikan pembabitannya dalam cubaan rampasan kuasa tersebut. Namun selepas kegagalan cubaan tersebut terdapat laporan dan temuramah yang dilakukan mengesahkan perkara tersebut.

Beberapa bekas anggota skuad khas tentera Amerika Syarikat yang ditemuramah mengesahkan perkara tersebut dan menyifatkan ia adalah kegagalan serupa yang dilakukan CIA ketika cubaan pampasan kuasa ke atas Cuba pada tahun 1961.

Beberapa penyelidikan dilakukan dan mendapati ia dipelopori oleh Silvercorp USA yang berpengkalan di Florida, sebuah syarikat keselamatan yang seperti biasanya mengambil kontrak daripada kerajaan Amerika Syarikat untuk melakukan tugas ketenteraan seperti Blackwater di Afghanistan dan Iraq.

Malah pemilik Silvercorp USA, Jordan Goudreau turut mengesahkan dua bekas tentera skuad khas tentera Amerika Syarikat yang ditahan tentera Venezuela berkerja dengannya malah turut mengesahkan operasi tersebut adalah untuk menumbangkan Nicolas Maduro yang dinamakan ‘ Operation Gideon “.

Walau apa sekalipun berlaku, hubungan Iran - Venezuela kekal akrab. Malah jaringan hubungan akrab Venezuela sebenarnya adalah luas terutamanya dikalangan seteru Amerika Syarikat seperti Rusia, China, Iran dan banyak negara lagi.

Sudah tentunya untuk menumbangkan kerajaan Nicolas Maduro yang merupakan sekutu kuat Rusia dan China bukannya mudah kerana sudah semestinya Rusia dan China tidak akan berdiam diri untuk melihat Nicolas Maduro tumbang.

Hakikatnya, Donald Trump dalam keadaan lemah untuk menghadapi pilihanraya Amerika Syarikat. Kemelesetan ekonomi dan pandemik wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 100,000 nyawa dikalangan rakyat Amerika Syarikat telah menyebabkan sokongan kepadanya turun dengan mendadak.

Malah, Donald Trump turut dikecam hebat kerana kegagalannya menangani wabak tersebut dan begitu juga dengan kemelesetan ekonomi yang dihadapi sekarang. Jalan mudah sebagaimana Presiden Amerika Syarikat dikalangan parti Republikan sebelumnya ialah mencari “ kambing hitam “ diluar Amerika Syarikat untuk disalahkan atau dijadikan mangsa.

Iraq dan Afghanistan adalah mangsa jelas akibat pilihanraya Presiden Amerika Syarikat. China yang sedang berkonfrantasi hebat dengan Amerika Syarikat berkaitan situasi Hong Kong dan perang perdagangan bukanlah mangsa utama Donald Trump kerana kekuatan ketenteraan dan ekonominya agak hampir dengan Amerika Syarikat.

Ia cuma boleh menjadi pelaris populariti politik untuk meraih undi kepada Donald Trump. Donald Trump memerlukan sesuatu yang hebat untuk menjadi bahan berita politik untuk meraih undi besar pilihanraya Presiden Amerika Syarikat nanti. Venezuela “ fit the bill “ untuk meraih populariti besar.

Namun kegagalan operasi rampasan kuasa tersbut mungkin akan mengubah strategi Donald Trump. Jika tiak berjaya dengan Venezuela, mungkin boleh berjaya dengan Iran. Siapa tahu mungkin tidak lama lagi, Iran akan menjadi mangsa.

Piliharaya Presiden Amerika Syarikat hanya beberapa bulan sahaja lagi dan masa yang tinggal semakin suntuk. Manusia yang gila kuasa sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita - citanya walaupun terpaksa mengorbankan nyawa dan negara orang lain.

Semoga Dunia Islam dan umatnya senantiasa dilindungi oleh Allah SWT dan berada dibawah rahmat-Nya.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post