TEPAT. TELUS. TERKINI.

Sanusi bawa semangat Ustaz Azizan


ALOR SETAR: Pemilihan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 menandakan kembalinya kepimpinan PAS dalam menerajui negeri Jelapang Padi itu.

Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah dianggap pilihan terbaik parti itu dalam memperkenal pemimpin pelapis baharu selepas era pentadbiran bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Tanpa berselindung, Sanusi memang diketahui anak didik Azizan apabila pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik beliau pada 2008 hingga 2013, seterusnya berpeluang mempelajari selok-belok pentadbiran negeri secara dekat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Sanusi berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

PAS yang menjadi parti paling banyak memegang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, kemudian memilih Sanusi menjadi Ketua Pembangkang, jawatan yang hanya dipegangnya selama kira-kira dua tahun sebelum dilantik menjadi Menteri Besar hari ini.



Sanusi yang berasal dari Kampung Sungai Pau, Jeniang, sebelum ini turut terbabit dalam banyak misi kemanusiaan PAS bagi membantu umat Islam di luar negara seperti Myanmar, Bangladesh, Lubnan, Yaman dan Jordan.

Beliau yang kini berusia 46 tahun mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 5, Sik, sebelum menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani.

Beliau kemudian menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan memperoleh Sarjana Muda Sastera pada 1998.

Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Sanusi turut pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Institut Penggemblengan Komuniti (IMPAK) dan pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2010.

Dalam politik, beliau masih memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, selain Yang Dipertua PAS Sik.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/689835/sanusi-bawa-semangat-ustaz-azizan
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget