Kabinet Tanpa Dap Atau Bubar Parlimen!


KABINET TANPA DAP ATAU BUBAR PARLIMEN!

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Minggu ini negara digemparkan dengan drama politik terbesar tanahair semenjak negara kita mencapai kemerdekaan. Peristiwa bersejarah ini mendapat liputan media daripada dalam dan luar negara termasuk rangkaian berita Al Jazeera,BBC , dan lain-lain agensi berita. Drama kudeta tanpa riuh geger pasukan tentera atau kereta kebal memenuhi pusat bandar dan kawasan strategik.

Mesyuarat Majlis Presiden PH yang hangat, mesyuarat demi mesyuarat parti-parti politik utama negara, PM menghadap YDPA, perletakan jawatan PM, perlantikan jawatan PM interim, pembubaran kabinet, keluarnya BERSATU daripada koalisi PH. Bersambung dengan tim Azmin Ali dipecat daripada PKR seterusnya semua MP dipanggil temuduga oleh YDPA sehinggalah Anwar mengadakan sidang media mengumumkan dirinya dicadangkan oleh PH sebagai calon PM.

Maklumat yang sahih dan separa sahih bergentayangan dimedia sosial namun rakyat negara ini matang. Tiada demonstrasi massa atau rusuhan,apatah lagi gerakan reformasi tulen yang terasas 22 tahun lalu telah berkubur kerana panglima-panglima Anwar telah menyeberang kem atau pun ramai telah kembali kerahmatullah.

Laungan reformasi di kediaman Anwar , Sabtu lalu hanya disambut oleh ratusan suara dalam kondisi separuh yakin. Keadaan ini berbeza dengan laungan reformasi di Bukit Damansara 22 tahun lalu. Penulis masih muda saat itu berada di Bukit Damansara dapat merasai denyut gelisah dan gelora rakyat. Bahang teriakan reformasi di Bukit Damansara akhirnya mewabak ke jalanraya ditengah kota pada tahun 1998.

Drama politik kali ini walaupun tegang namun berlangsung dalam suasana aman. Rakyat umumnya merasa tertipu dengan PH akibat janji-janji yang tidak ditunaikan tak terasa terpanggil untuk turun ke Dataran Merdeka isnin lepas. Anak-anak muda dengan dengan watak " the young angry man" juga menyepi, mungkin kerana merasa jengkel dengan drama politik yang telah menghanguskan 43 billion wang negara dipasaran saham.

Selama tempoh 22 bulan berlangsungnya pemerintahan PH, tiada khabar yang benar-benar menggembirakan rakyat. Tol,harga minyak,PTPTN, peluang pekerjaan,keresahan kaum yang semakin menjolok mata, intrig dan polemik untuk saling menikam belakang pemimpin utama PH.

Rasa mual ini juga diterjemahkan pada lima keputusan PRK yang menyaksikan PH mengusung aib , parti kerajaan kalah teruk PRK walaupun berkempen menggunakan semaksima mungkin jentera kerajaan. Inilah faktor paling besar mengapa PH menolak bersungguh-sungguh untuk Parlimen dibubarkan. Helah mereka dihidu oleh rakyat yang rata-rata lebih cerdik daripada pemimpin PH yang terpalit dengan isu ijazah dan sijil palsu. Kualifikasi kertas yang naif ini mengheret kepada kegagalan mereka untuk mentadbir urus negara dengan baik.

PH yang hanya tinggal tiga parti , itupun kekuatan akar umbi mereka sangat minimal. Sukarnya mereka membentuk Jawatankuasa MPKKP di kampong-kampong, selain ghairah mencuri ahli parti lain seperti obsesi yang ditunjukkan oleh PAN. Dalam isu kegagalan dan keruntuhan kerajaan 22 bulan ini , sangat pelik karektor penyokong-penyokong PH. Mereka menyerang PAS dan UMNO seperti sawan babi dan terpanar, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu. Muafakat Nasional yang terus dipersalahkan, mereka yang berbalah dan berebut kuasa namun tanpa sepicing rasa malu terus menyalahkan PAS dan UMNO.

Paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba mengambarkan pemuafakatan Nasional jika berkuasa akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS dan UMNO sebagai batu api dalam mengocak keharmonian PH , avatar mereka seronok mempersendakan wibawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang mendapat undian terbanyak sebagai calon PM dimedsos. Tanpa sedar itulah kekuatan Presiden PAS yang disokong dan dimesrai oleh anak-anak muda kerana wibawa dan kompetensinya.

Pimpinan Muafakat Nasional telah sepakat, kabinet yang ingin dibentuk mestilah tidak melibatkan DAP atau kembalikan hak kepada rakyat untuk memilih . Rakyat merasa terdera dengan 22 bulan pemerintahan PH , cukuplah memanipulasi kesabaran rakyat,kalian akan dihumban dlam bakul sejarah.
Pemuafakatan ini bukan sahaja untuk meneguhkan politik Islam Melayu negara ini, namun mengembalikan negara pada landasan yang betul, menghormati kontrak sosial dan merapatkan jurang komunal yang selama ini agak tegang dibawah pemerintahan PH.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget