NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kini Bubar Parlimen Kuasa Mutlak YDPA

oleh: DR MUHAMMAD FATHI YUSOF

1. Secara umumnya, Yang Di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri. Ia boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu ketika dalam keadaan biasa di bawah Perkara 55 Perlembagaan atau dalam keadaan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4). Untuk Perkara 55, nasihat Perdana Menteri diperlukan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 40(1).

2. Oleh itu, Parlimen tidak boleh dibubarkan melainkan jika ada permintaan atau nasihat dari Perdana Menteri, atau kerana tamat tempoh tempoh Parlimen selama lima tahun.

3. Prinsip berkenaan terpakai dalam situasi kewujudan Perdana Menteri dan Kaabinet. Tetapi kini, Perdana Menteri telah meletakkan jawatan. Bila Perdana Menteri meletakkan jawatan, maka seluruh kabinet tidak lagi berfungsi secara biasa. Dengan lain perkataan, perletakan jawatan Perdana Menteri membawa maksud perletakan jawatan seluruh anggota Kabinet. Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan. Penamatan jawatan anggota kabinet dan pemegang lantikan politik lain seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara di bawah Perkara 43(5) memperkukuhkan konsep ini.

4. Walau pun kita ada Perdana Menteri interim, peranan dan kuasa Perdana Menteri interim tidak sama. Dalam konteks pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sekarang, kuasanya hanya menguruskan pentadbiran negara. Dalam hal ini skop kuasa PM interim hampir serupa dangan skop kuasa kerajaan sementara (caretaker government) yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan.

5. Kuasa Perdana Menteri interim hanyalah sementara YDPA membuat keputusan berkaitan pemilihan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a). Memandangkan Perdana Menteri interim salah seorang daripada pihak yang berkepentingan dalam proses ini, maka beliau tidak kelayakan untuk bercakap mewakili YDPA berkaitan proses yang berlaku. Ketetapan YDPA dikeluarkan oleh pihak Istana Negara bukannya Seri Perdana.

6. Rakyat perlu menunggu keputusan YDPA. YDPA telah melaksanakan cara yang paling telus dan komprehensif melalui temubual secara berdepan dengan seluruh anggota Dewan Rakyat. Apa sahaja ketetapan YDPA perlu diterima dengan lapang dan terbuka.

7. Dalam hal ini kita tidak dapat menolak kemungkinan pembubaran Parlimen. Kemungkinan ini timbul berasaskan suasana semasa yang menggambarkan bahawa tiada mana-mana individu yang mendapat kepercayaan lebih 112 orang Ahli Parlimen bagi memenuhi kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 43.

8. Perkara 43(2)(a) secara jelas mensyaratkan Perdana Menteri yang ingin dilantik memiliki 'kepercayaan' majoriti anggota Dewan Rakyat. Konsep 'kepercayaan' amat penting kerana ia diperlukan bagi menjamin kestabilan politik. Kalau Perdana Menteri tiada sokongan majoriti dalam dewan, dia mungkin kecundang melalui undi tidak percaya. Kerajaan pula berdepan masalah besar bila belanjawan tidak dapat diluluskan.Dalam situasi tiada yang memperoleh kepercayaan majoriti, pilihan terbaik ialah memulangkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan. Walau bagaimana pun, terserah kepada YDPA untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang Baginda perolehi secara langsung daripada setiap anggota Dewan Rakyat.

9. Dalam situasi ini, jika YDPA memutuskan untuk membubarkan Parlimen, maka semua pihak perlu akur. Baginda tidak memerlukan nasihat Perdana Menteri atau Kabinet kerana Perdana Menteri dan Kabinet telah tiada. Perdana Menteri Interim tiada kaitan dengan urusan pelantikan Perdana Menteri.

10. Prinsip ini berasaskan kepada kedudukan YDPA yang boleh difahami melalui peruntukan berikut:
a. Perkara 55(2): Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog dan membubar Parlimen.
b. Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
c. Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

11. Kini timbul persoalan lain, adakah YDPA mesti mendapatkan pandangan Majlis Raja-raja. Jawapannya, bagi mengukuhkan keputusan YDPA, Baginda boleh meminta pandangan Majlis Raja-raja, walau pun ia bukanlah satu kemestian.

12. Ringkasnya, YDPA berhak membubarkan Parlimen bila-bila masa. Dalam keadaan tiada siapa yang mendapat sokongan majoriti, tiada siapa yang boleh menghalang atau melambat-lambatkan keputusan dan kehendak YDPA. Pembubaran mengejut penggal parlimen bukan suatu yang ganjil dalam sistem demokrasi. Ia pernah berlaku dua kali di United Kingdom baru-baru ini, iaitu pada tahun 2017 dan 2019. Kita tunggu apa ketetapan YDPA. Sama-sama doakan moga Allah menetapkan yang terbaik untuk Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo