NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Respon Artikel Ritual Agama Berlebihan Jejas Prestasi Murid, Keluh Ibu Bapa


KENYATAAN MEDIA
Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia

Kami merujuk kepada sebuah artikel bertajuk “Ritual Agama Berlebihan Jejas Prestasi Murid, Keluh Ibu Bapa” tulisan Nur Hasliza Mohd Salleh (FMT News / 21 Januari 2020).

Kami telah meneliti tulisan tersebut dan berikut adalah penjelasan kepada 4 Dakwaan terhadap MRSM seperti yang dinyatakan dalam tulisan tersebut. Penjelasan Kami dibuat tanpa prejudis, secara objektif, berlandaskan fakta dan pengetahuan Kami selaku Pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru MRSM (Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia @MUAFAKAT), dan melalui pengalaman Kami sebagai Ibu Bapa MRSM (bahkan ada di kalangan Kami adalah bekas Pelajar MRSM juga).

Dakwaan Pertama:

MRSM dipetik sebagai terlalu mementingkan amalan-amalan agama yang menganggu pelajaran. Kegiatan-kegiatan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga sehingga Pelajar jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran. Pelajar diminta menghadiri sesi wajib Solat Berjemaah, serta ritual tidak wajib seperti Solat Tahajud, Solat Hajat dan Tazkirah, di mana mereka perlu bangun seawal 3 pagi.

Sepanjang pengetahuan dan pengalaman Kami, Solat Berjemaah yang diwajibkan di MRSM hanyalah Solat Subuh, Solat Maghrib, Solat Isya’ sahaja. Manakala Tazkirah pula diadakan antara waktu selepas Solat Maghrib dan sebelum Solat Isya’ sahaja. Pengisian Tazkirah pula bukan sahaja berkisarkan kepada keagamaan bahkan juga sesi motivasi, penerangan dan dialog bersama Penceramah Jemputan (termasuk Ibu Bapa dan Pentadbir MRSM itu sendiri). Selepas Solat Isya’, Pelajar MRSM menghadiri kelas ulangkaji pelajaran (9 - 11 malam, menurut ketetetapan MRSM masing-masing). Solat Tahajud dan Solat Hajat pula bukanlah rutin harian Pelajar MRSM. Ianya tidak berlaku setiap hari, sebaliknya bergantung kepada keperluan spesifik MRSM tersebut terutama menjelang Peperiksaan Utama seperti PT3/IGCSE/SPM, dan lazimnya dibuat apabila keesokan harinya adalah hari Cuti Minggu. Kami percaya dalam melaksanakan keperluan Solat Tahajud dan Solat Hajat sebegini, MRSM masing~masing tetap akan mendahulukan kebajikan Pelajarnya. Bahkan terdapat Pelajar MRSM yang mengambil kesempatan mendirikan Solat Duha’, atas inisiatif sendiri, semasa waktu rehat pagi.

MRSM, sejak penubuhannya pada tahun 1972, adalah antara institusi pengajian menengah berasrama penuh yang tertua di Malaysia. MRSM merupakan satu bentuk “Amanah Rakyat”, yang bangkit di bawah Akta MARA 1966, dan dipertanggungjawabkan di bahunya untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, bahkan juga cemerlang kerohaniannya. Cemerlang Akademik hanya dapat membuka minda, manakala kecemerlangan kerohanian/spiritual dapat membuka hati kerana generasi MRSM yang mampan adalah generasi yang dapat mempertimbangkan baik buruk sesuatu perkara melalui panduan minda dan hati secara bersesama. MRSM telah melahirkan lebih daripada 200,000 Pelajar MRSM yang kini telah berjaya dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing hasil daripada sistem MRSM sedia ada. Sehubungan itu, Kita semua seharusnya bersetuju dan menyokong kenyataan bahawa jikalau kecemerlangan akademik dipupuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran, maka kecemerlangan kerohanian/spiritual pula dipupuk melalui Solat Berjemaah, Tazkirah, Solat Tahajud dan Solat Hajat. Ianya bukan sekadar ritual semata-mata, sebaliknya platfom untuk Tawakal setelah Berusaha dan Berdoa. Ini juga selari dengan Rukun Negara kita yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Dakwaan Kedua:

MRSM dipetik sebagai obsesi terhadap kuasa ghaib sehinggakan seorang Pelajar Perempuannya diminta hadir ke sesi mengusir makhluk halus kerana dia tidak dapat menyertai kelas bacaan AlQuran kerana menghadiri kelas tambahan Biologi. Bahkan Pelajar Perempuan tersebut dituduh malas mengaji dan didakwa ada gangguan jin sehingga diruqyah Ustaz tersebut. Guru MRSM berkenaan tetap mahu Pelajar Perempuan tersebut menyertai kelas bacaan AlQuran, walaupun selepas Guru Biologi minta Pelajar Perempuan tersebut diberi pengecualian. Akhirnya, Pelajar tersebut telah menggugurkan subjek Biologi untuk SPM tahun 2019.

Sepanjang pengetahuan dan pengalaman Kami, perkara yang didakwa ini, sekiranya benar berlaku, adalah kejadian terpencil dan tidak mewakili semua MRSM. Setiap MRSM mempunyai MUAFAKAT selaku Badan yang mewakili Ibu Bapa dan Guru. Selaras dengan objektif penubuhannya, MUAFAKAT MRSM tersebut sememangnya bersedia pada setiap masa untuk mewakili Ibu Bapa atau Guru menyampaikan sebarang aduan. Sewajarnya perkara ini dibawa ke pengetahuan MUAFAKAT MRSM tersebut untuk remedi/pembetulan, dan tidak menunggu sehingga SPM telah tamat baru dibangkitkan perkara tersebut. Kami berpegang teguh kepada maxim bahawa tidak ada organisasi yang sempurna, dan penyelesaian kepada semua isu harus di meja perbincangan di mana MUAFAKAT akan bertindak sebagai Arbitrator. Mohon pihak yang mendakwa untuk tampil berbincang dengan pihak MUAFAKAT MRSM berkenaan supaya ada tindakan susulan.

Dakwaan Ketiga:

MRSM mengenakan bayaran tambahan RM 200 untuk Kelas Talaqqi yang didakwa wajib.

Sepanjang pengetahuan dan pengalaman Kami, Bahagian Pendidikan Menengah MARA selaku Penyelia MRSM Se Malaysia, tidak pernah mengeluarkan arahan pembayaran untuk Kelas Talaqqi/Mini Ulu Albab. Perkara yang didakwa ini, sekiranya benar berlaku, adalah kejadian terpencil dan tidak mewakili semua MRSM. Sekali lagi ditekankan bahawa setiap MRSM mempunyai MUAFAKAT selaku Badan yang mewakili Ibu Bapa dan Guru. Selaras dengan objektif penubuhannya, MUAFAKAT MRSM tersebut sememangnya bersedia pada setiap masa untuk mewakili Ibu Bapa atau Guru menyampaikan sebarang aduan. Sewajarnya perkara ini dibawa ke pengetahuan MUAFAKAT MRSM tersebut untuk remedi/pembetulan. Kami berpegang teguh kepada maxim bahawa tidak ada organisasi yang sempurna, dan penyelesaian kepada semua isu harus di meja perbincangan di mana MUAFAKAT akan bertindak sebagai Arbitrator.

Dakwaan Keempat:

MRSM mengenakan peraturan bahawa Pelajar Perempuan perlu memakai seluar panjang bawah kain baju kurung sekolah, kemeja T labuh ketika bersukan dan sarung tangan bagi mengelakkan Pelajar Lelaki melihat susuk tubuh Pelajar Perempuan.

Sepanjang pengetahuan dan pengalaman Kami, semua peraturan MRSM berkaitan cara berpakaian, kemasan rupa diri, hal ehwal disiplin dan sebagainya diterbitkan dalam Buku Perancangan Tahunan Pelajar. Cara berpakaian pula memadai memenuhi kesopanan dan kesusilaan. Maka tidak benar bahawa MRSM cuba berlebih-lebihan dan mengajar Pelajarnya cara untuk berpakaian bagi maksud kesopanan dan kesusilaan.

Semoga penjelasan Kami tersebut di atas yang dibuat tanpa prejudis, secara objektif, berlandaskan fakta dan pengetahuan Kami selaku Pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru MRSM (Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia @MUAFAKAT), dan melalui pengalaman Kami sebagai Ibu Bapa MRSM dapat meneutralkan salahfaham dan kekeliruan yang timbul, dan menjernihkan kekeruhan yang melanda MRSM, yang terbit sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada nukilan Wartawan tersebut di atas.

Kami boleh dihubungi melalui muafakatmaramalaysia@gmail.com (Untuk Perhatian: Dato’ Sayed Alfeizal bin Sayed Ahmad @Presiden, Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia) sekiranya penjelasan lanjut diperlukan untuk sebahagian atau keseluruhan kenyataan Kami tersebut di atas.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo