Sugarbook: Ke Mana Perginya Suara Menteri?

oleh: Kamaruzaman Mohamad

Sugarbook adalah syarikat yang bertapak di Malaysia dan diasaskan oleh rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar aplikasi ini.

Tetapi bila isu ini heboh, tidak seorang pun pemimpin-pemimpin kerajaan dan pertubuhan wanita yang bersuara ke atasnya.

Ke mana perginya suara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Tidakkah beliau merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda kita dari terjebak ke dalam kancah kemaksiatan dengan menjadi ‘sugar babies’ untuk mencari wang mudah.

Ke mana perginya suara Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Teo Nie Ching. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab melindungi pelajar-pelajar wanita di universiti-universiti tempatan yang dijadikan sasaran utama untuk menjadi sugar babies dengan diberikan keistimewaan tertentu oleh syarikat Sugarbook ini.

Ke mana perginya suara Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad dan Dr. Lee Boon Chye. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda ini dari ancaman kesihatan melalui jangkitan penyakit kelamin (STD) dan masalah psikiatri yang menimpa mereka ekoran menjadi sugar babies ini.

Ke mana perginya suara Menteri dan Timbalan Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Fuziah Salleh. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab memastikan amalan yang bercanggah dengan dasar Islam Rahmatan lil ‘Alamin selaku dasar pentadbiran negara ditamatkan ataukah mereka setuju dengannya atas dasar kebebasan.

Ke mana pula hilangnya suara pertubuhan-pertubuhan wanita seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Sisters in Islam (SIS) mahupun pejuang wanita seperti Siti Zabedah Kassim dan Datin Paduka Dr Marina Mahathir.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post