PRK Tg Piai: Calon 18 tahun boleh bertanding


PUTRAJAYA, 2 Safar 1441H, Selasa – Parti politik boleh menamakan calon umur 18 tahun buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia berikutan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang sudah diwartakan.

"Parti politik boleh meletakkan calon berusia 18 tahun kerana pindaan itu sudah diwartakan," katanya sidang media selepas Mesyuarat Khas urusan PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azhar berkata, kelayakan calon umur 18 tahun untuk layak bertanding akan ditentukan semasa hari penamaan calon iaitu pada 2 November oleh pegawai pengurus.

SPR hari ini menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November ini. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November, manakala tarikh mengundi awal pada 12 November .

Pindaan Perkara 47 iaitu mengenai calon umur 18 dan Perkara 119 mengenai had umur mengundi Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong pada 4 September dan diwartakan pada 10 September lepas.

Azhar berkata, SPR sedang mengambil tindakan untuk melibat urus secara bipartisan minggu ini untuk membincangkan perkara berhubung calon umur 18 tahun.

"SPR akan terlibat dengan parti-parti politik tidak lama lagi kerana ia adalah inisiatif bipartisan dan akan duduk bersama untuk membincangkan apa yang telah diluluskan dan diwartakan," katanya.

Ditanya pengundi umur 18 tahun, Azhar berkata, golongan itu belum lagi boleh mengundi dalam PRK Tanjung Piai kerana ia belum dikuat kuasa pelaksanaannya.

"Penurunan had umur mengundi dari 21 tahun hingga 18 tahun belum dikuatkuasakan. Ia akan dikuatkuasakan apabila diputuskan dan diwartakan pada masa akan datang," katanya.

Ditanya mengenai salah laku ketika PRK Tanjung Piai, Azhar berkata, beliau berharap ia tidak akan terjadi dan menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat untuk mematuhi peraturan dan peruntukan perundangan. – Bernama
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget