NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Himpunan Perpaduan Ummah Bukan Untuk Diskriminasi Kaum


KUANTAN - Himpunan Perpaduan Ummah yang dianjurkan oleh UMNO dan PAS bukan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama.

Exco Pemuda PAS, Roslan Md Esa berkata himpunan berkenaan dan permuafakatan politik itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan umat khususnya kaum Melayu dan memartabatkan agama Islam.

Menurutnya, ini merupakan suatu modul dalam menjadikan rakyat khususnya kaum Melayu dan Islam agar bersatu semula demi kestabilan politik di negara ini.

"Tujuan kita cuma mahu menyatupadukan rakyat di Malaysia yang mana kita akan satukan dahulu kaum Melayu dan Islam di negara ini supaya orang Melayu tidak menyesal dan merempat di dalam negara mereka sendiri.

"Namun kaum selain Melayu dan mereka yang tidak beragama Islam jangan takut serta tidak perlu risau kerana agenda ini membawa kebaikan rakyat, bukan untuk memerangi sesiapa.

"Ini dibuktikan pemerintahan kerajaan terdahulu (BN) yang sangat menjaga kaum selain Melayu dan Islam di samping tidak mencabar kedaulatan perlembagaan dan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Program Santai Hi Tea dan Program Perpaduan Ummah Daerah Bentong di Felda Mempaga di sini semalam.


Dalam pada itu, Roslan berkata terdapat segelintir pihak yang cuba menyebarkan fitnah dan memesongkan fakta mengenai himpunan berkenaan dengan niat mewujudkan perselisihan faham antara kaum.

Menurutnya, penyatuan ummah khususnya antara UMNO dan Pas tidak akan menjejaskan orang bukan Islam yang akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

"Walaupun kerjasama ini menerima tuduhan dan pandangan negatif daripada sesetengah pihak, namun tidak akan menjejaskan pemuafakatan yang telah dipersetujui bersama antara Pas dan UMNO sebelum ini.

"Pemuafakatan politik antara PAS dan UMNO telah pun berlaku selepas Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, apabila kepentingan orang-orang Melayu dan agama Islam mula cuba diganggu-gugat pihak lain," katanya.

Tambahnya, dua parti terbesar itu telah pun membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kekuatan orang Melayu dan Islam sahaja malah mempunyai kekuatan dan anggota selain daripadanya.

"UMNO mereka ada MCA, MIC dan PAS pula ada Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP) yang yang terdiri daripada ahli bukan Melayu dan tidak menganut agama Islam.

"Penyatuan umat Islam pada masa ini menunjukkan petanda positif termasuk dalam usaha memenangi PRU yang akan datang. #sumber

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo