NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa PH takut tubuh RCI TH? Apa hendak disembunyikan?



Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Syaaban 1440H, Jumaat – Pemuda UMNO hari ini mempersoalkan keengganan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempertikaikan keengganan itu susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa, di Parlimen, Selasa lalu.

Beliau hairan kenapa Mujahid dan PH takut serta banyak berdolak-dalik untuk menubuh RCI mengenai Tabung Haji, sedangkan ia adalah salah satu perkara yang terkandung dalam manifesto parti itu.

Sebelum ini pun, pemimpin PH mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menuduh kononnya, kerajaan terdahulu melakukan penyelewengan serta salah urus dana TH, menyebabkan agensi itu mengalami kerugian besar.

Sambil menyindir, Asyraf berkata, walaupun manifesto itu bukanlah kitab suci yang tidak perlu ditunaikan, rakyat perlu mengetahui kebenaran terhadap apa yang berlaku ke atas institusi Islam itu.

"Lagi pun tuduhan-tuduhan yang dibuat setakat ini terkait juga dengan kredibiliti Jabatan Audit Negara yang bertanggungjawab mengaudit dan mengesahkan penyediaan akaun dan laporan kewangan Tabung Haji setiap tahun, sebelum dibentangkan di Parlimen.

"Dengan adanya RCI, keadilan juga dapat diberikan kepada pengurusan lama TH untuk menjawab segala tuduhan yang dibuat oleh menteri dan pengurusan baharu. Melainkan ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh YB Mujahid Yusuf Rawa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mujahid berhubung gesaan beberapa pihak, termasuk UMNO dan PAS yang mendesak supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam TH.

Selasa lalu, Mujahid menegaskan bahawa tiada keperluan untuk RCI ditubuhkan kerana kerajaan berjaya memulihkan keadaan institusi berkenaan.

Beliau berkata, RCI ditubuhkan hanya jika ada yang tidak jelas atau misteri dalam TH.

"Kami telah baiki keadaan dan mengimbangi antara tanggungan dan aset untuk bayar 2018 punya hibah. Kami telah berjaya lakukan walaupun kadarnya 1.25 peratus. Tetapi lihatlah kejayaan kami untuk menampung 'lubang' RM10.2 bilion itu," katanya di Parlimen.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/12/kenapa-ph-takut-tubuh-rci-th-apa-hendak-disembunyikan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo