Mahkamah batal petisyen pilihan raya Tasek Gelugor


GEORGE TOWN: Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen pilihan raya Parlimen Tasek Gelugor yang difailkan oleh calon PPBM, Datuk Marzuki Yahya yang mencabar keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan berkenaan.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan kedua-dua pihak, Marzuki selaku pempetisyen dan responden, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya.

Dalam kenyataan bersama mereka di luar mahkamah, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Azlina Mehtab Mohd Rauf yang mewakili Marzuki serta Simon Tan yang mewakili Shabudin, berkata kedua-dua pihak bersetuju dan sependapat agar petisyen dibatalkan.

"Ia juga mengambil kira beberapa situasi yang berlaku dan memandangkan dari segi teknikal, kami berdua mempercayai ianya adalah lebih bermanfaat untuk dibatalkan atas alasan kami tidak mahu membazir masa mahkamah," kata Muhammad Rafique kepada pemberita.

Susulan itu katanya, mahkamah membuat keputusan untuk membatalkan petisyen tersebut dan kes selesai hari ini.

Berikutan keputusan itu, Shabudin kekal sebagai ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Muhammad Rafique berkata mahkamah turut memerintah Marzuki membayar kos RM5,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merupakan responden ke-3 kes itu.

Pada PRU14, Marzuki yang juga Pengerusi PPBM Pulau Pinang kalah tipis kepada Shabudin daripada Barisan Nasional dengan perbezaan 81 undi.

Pada pertandingan 3 penjuru kerusi berkenaan, Shabudin memperoleh 18,547 undi, Marzuki 18,466 undi dan calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan menerima 14,891 undi.

Pada 12 Jun 2018, Marzuki yang juga timbalan menteri luar memfailkan petisyen pilihan raya bagi menuntut PRK diadakan untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan pengiraan semula 689 undi rosak serta 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

Dalam petisyennya, Marzuki menamakan Shabudin sebagai responden pertama, pegawai pengurus Pilihan Raya Tasek Gelugor responden ke-2 dan SPR responden ke-3.

Pada 18 Sept 2018, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Marzuki selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan Tan yang berhujah bahawa petisyen itu mempunyai kecacatan.

Bagaimanapun pada 28 Nov 2018, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya Pulau Pinang untuk pendengaran penuh.

Pada Disember lalu, Shabudin mengumumkan keluar daripada Umno yang merupakan parti komponen BN dan memohon menyertai PPBM.

Selasa lepas, Shabudin disahkan sebagai ahli PPBM. - FMT
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget