2018 Tahun Hitam Untuk Palestin, 2019 Menanti Sinar Baru



2018 TAHUN HITAM UNTUK PALESTIN, 2019 MENANTI SINAR BARU

Jika segala yang telah berlaku di Palestin pada tahun lepas hendak disimpulkan di dalam tiga patah perkataan, maka ia adalah ‘parah menanti rebah’.

Kerana berlalunya tahun 2018, dalam keadaan yang sangat sulit untuk penduduk Palestin khususnya di Gaza, dan tahun baru menjelma tanpa membawa apa-apa harapan baru, melainkan janji lama dan palsu.

Walaupun sesekali kelam dihiasi cahaya heroism sejati pemuda-pemudi Palestin seperti syahidnya mujahid hebat Ahmad Jarar di Tebing Barat pada 6 Februari, dan muncul ikon baru pemudi Palestin seperti Ahed Tamimi, tetapi sejarah akan mengenang tahun lepas sebagai tahun hitam dan mengecewakan buat Palestin.

Ia bermula dengan tindakan terdesak kumpulan-kumpulan di Gaza merancang usaha perarakan aman The Great Return March bagi menarik semula perhatian dunia yang lesu dan lemau terhadap bumi yang masih dijajah ini, yang akhirnya mengorbankan sekurangnya 220 orang, dengan hampir 18,000 orang cedera termasuk ratusan yang cacat kekal.

Antara mereka yang syahid ialah jurugambar dan wartawan terkenal Yasir Murtaja, juga paramedik wanita muda Razan An-Najjar.

Ia mencapai kemuncak pada 14 Mei 2018 ketika puluhan malah mungkin ratusan ribu penduduk Gaza turun ke sempadan Gaza dengan tanah haram Israel bagi menyatakan bantahan ulangtahun Nakbah yang ke 70, selain pemindahan lokasi kedutaan US dari Tel Aviv ke Kota Al-Quds; peristiwa yang datang ibarat taufan – datang dan pergi dengan cepat, lalu dilupakan.

Ya, umat di seluruh dunia turun berdemonstrasi dengan semangat marah dan kecewa yang biasa dikaitkan kepada orang Islam – sekejap dan hangat-hangat tahi ayam.

Hari ini, bangunan kedutaan US yang baru gah berdiri di tengah Kota Al-Quds milik ummah sekaligus menjadikannya sebagai ibu negara baru tanah haram Israel, dan kita hanya mampu melihat tanpa boleh berbuat apa-apa.

Pada 19 Julai, Knesset Israel mengumumkan pula undang-undang baru Jewish Nation State Law yang mengiktiraf Israel sebagai milik Yahudi secara turun-temurun, mengangkat penjajah sebagai warganegara kelas pertama dan menganak-tirikan 1.8 juta penduduk Palestin yang asal serta mengangkat Bahasa Ibrani sebagai bahasa rasmi dan mengenepikan Bahasa Arab.

Benarlah kemenangan Trump adalah ‘telur emas’ bagi Zionis Israel, apabila kepimpinannya yang tanpa segan-silu menunjukkan kecondongan kepada penjajah, menghentikan pula bantuan US kepada United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), badan utama yang bertanggungjawab memberikan bantuan makanan dan pendidikan kepada pelarian sejak 31 Ogos lepas, yang menyebabkan ribuan pekerja dilucutkan jawatan di Gaza dan 5 juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria kehilangan sumber makanan.

Akhirnya, pada 11 November 2018 Palestin ditiup dengan nafas baru apabila mujahidin berjaya mematahkan serangan daripada komando Zionis yang masuk menyelinap ke bumi Gaza, sehinggalah berlaku serang-menyerang dan akhirnya menyebabkan Zionis terpaksa mengangkat bendera putih, dan Menteri Pertahanannya Avigdor Lieberman meletak jawatan hanya selepas dua hari pergeseran.

Dengan peningkatan kerjasama negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Mesir dan Oman dengan Zionis pada tahun 2018, 2019 bakal menyaksikan Palestin semakin tersepit dan terhimpit.

Malah, tahun ini akan menyaksikan bagaimana pelan menghapuskan isu Palestin secara halus melalui The Deal Of The Century tajaan Presiden US berambut oren, menantunya Jared Krushner dan kawan-kawan sekatil mereka dari negara-negara Arab akan mula dilaksanakan.

Semoga di balik kebangkitan musuh-musuh agama dan kemanusiaan, negara-negara Islam seperti Turki, Qatar, Iran dan Malaysia sendiri mampu bersatu menjadi ‘the knight in shining armor’ untuk Palestin, selain lantikan Palestin sendiri sebagai ketua Group of 77 di UN, bagi sekurangnya mengimbangi kuasa mereka yang sedang melakukan kerosakan dan onar di atas muka bumi ini.

Bantu kami untuk mengurangkan beban Palestin, dan bergerak selangkah mendekati Al-Aqsa dengan menyumbang ke AKAUN RASMI CINTA GAZA MALAYSIA

Maybank 5648 1050 7826

Kerana kiblat ini, kiblat kita dan bumi ini bumi kita yang wajib dipertahankan bersama.

Nadir Al-Nuri,
Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget