NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tarif air golongan berpendapatan rendah tak perlu naik, kata Fomca


PETALING JAYA: Kerajaan digesa tidak menaikkan tarif air untuk golongan berpendapatan rendah kerana akan menambah beban mereka.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman mencadangkan kerajaan persekutuan mencontohi Selangor yang tidak mengenakan bayaran kepada mereka.

"Kalau mereka gunakan 20 liter padu air, mereka tidak dikenakan bayaran," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstrukturkan semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Katanya, kenaikan tarif sumber asli perlu dilaksanakan demi pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin perkhidmatan industri itu.

Beliau berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat dan pihaknya akan berunding dengan semua kerajaan negeri mengenai rancangan tersebut.

Mulai 2008, Selangor, menerusi manifesto pilihan raya umum ke-12 (PRU12), memberi 20 meter padu air percuma kepada rakyatnya.

Bagaimanapun, pada pembentangan Bajet Selangor 2019 Novermber lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan bekalan air percuma dinaikkan daripada 20 kepada 25 meter padu dan hanya untuk golongan B40 yang berdaftar bawah program E-Kasih.

Mohd Yusof, bagaimanapun, menyambut baik kenaikan tarif untuk golongan lain kerana industri ini memerlukan modal besar untuk beroperasi.

"Untuk rawatan air, penggantian paip rosak dan sebagainya memerlukan modal besar sedangkan mungkin kadar tarif air yang boleh dikutip daripada pengguna masih lagi tidak mencukupi kepada pengendali.

"Bila jadi kes macam itu banyak syarikat tidak boleh menaikkan taraf kemudahan mereka. Di Selangor, umpamanya, tarif yang ada mungkin tidak mencukupi untuk menampung syarikat-syarikat bagi menaikkan taraf," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, kenaikan tarif air dibuat oleh kerajaan merupakan langkah baik.

"Air di Malaysia antara yang paling murah. Kalau naikkan sedikit pun saya rasa baik juga," katanya.

Beliau mengingatkan tentang pentingnya langkah memulihara air untuk mengelak kemungkinan berlakunya "perang air" seperti di beberapa negara.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/09/tarif-air-golongan-berpendapatan-rendah-tak-perlu-naik-kata-fomca/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo