NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr Afifi Dimahsyur Orang Besar Perak

Pensyarah Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi Al-Akiti dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. dalam majlis di Istana Iskandariah, hari ini.

Majlis pemasyhuran penuh istiadat diraja itu ialah bagi Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar 8) Negeri Perak baharu diadakan di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Ahad.

Sultan Nazrin menghunus Pedang Cura Si Manja Kini dan meletakkan mata pedang itu ke bahu kiri dan kanan Afifi sebelum menyarung kembali pedang itu dan mencucukkan pula Pacak Ketor di kanan tengkolok beliau disusuli menaburkan bunga rampai dan beras kunyit seterusnya menyerahkan keris kuasa dan watikah pelantikan kepada Afifi.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Lantikan dan pengurniaan gelaran tersebut diperkenankan Almarhum Sultan Azlan Shah pada 1 Disember 2011 turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta Exco Perak.

Afifi, 42, memulakan istiadat dengan duduk bertinggul dan mengangkat sembah beberapa kali sebelum Toh Seri Amar DiRaja Datuk Ayop Hashim Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran diikuti laungan ‘Daulat’ sebanyak tiga kali oleh semua tetamu yang hadir.

Beliau seterusnya bergerak ke hadapan dengan lengguk dan tertib sambil diiringi paluan nobat dan sebaik hampir sampai di hadapan singgahsana beliau kembali duduk bertinggul dan maju ke hadapan dalam keadaan mengesot.

Sultan Nazrin kemudian meletakkan Pedang Cura Simanja Kini ke atas bahu kanan dan kiri beliau sebelum menyarung kembali pedang Alat Kebesaran Negeri Perak itu dan mencucukkan pula ‘Pacak Ketor’ di sebelah kanan tengkolok Afifi.

Ia disusuli menaburkan bunga rampai dan beras kunyit seterusnya mengurniakan baur iaitu keris gelaran daripada ahli waris Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan watikah pelantikan kepada Afifi.

Afifi kemudian berundur secara lenggok dan tertib hingga sampai ke tempat permulaan istiadat sebelum diselubungi kain dan dibawa keluar meninggalkan kawasan Istana Iskandariah untuk bergerak ke arah selatan Istana dan menyeberangi Sungai Perak.

Sebaik melintasi Jambatan Iskandar Lama, kain selubung dibuka dan beliau perlu meninggalkan negeri Perak selama tujuh hari mulai hari ini sebelum kembali semula bagi istiadat Menghadap Selepas Menjunjung Duli.


Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017 ini asalnya dibimbing oleh para alim ulama pondok dari Nusantara dan Timur Tengah lantas memiliki ijazah bersanad dalam ilmu tradisi Islam, khususnya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan fikh mazhab Syafie.

Sebagai satu-satunya ulama dari Malaysia yang mengajar di Oxford, Afifi mendapat pengiktirafan dunia apabila menghasilkan beberapa penulisan yang menjadi rujukan.

Beliau menulis satu fatwa menurut Mazhab Syafie dalam bahasa Arab berjudul Mudafi’ al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil’ (Membela Pihak Teraniaya Dengan Menyangkal Kumpulan Pelampau Yang Membunuh Orang Awam), akibat tragedi pengeboman di London pada 7 Julai 2005.

Fatwa yang mengkritik ekstremis Islam dan golongan pelampau yang menyasarkan orang awam dalam peperangan dan serangan itu disokong ramai ulama Islam dan mendapat pembacaan yang meluas di seluruh dunia.

Anak kelahiran Batu Gajah itu juga mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia (dan Nusantara) pertama yang dilantik mengajar di universiti termasyhur di dunia.

Atas kecemerlangannya menyumbang kepada pembangunan umat Islam sejak 2010, beliau dimasukkan dalam senarai tahunan 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia (The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims).

Pada Julai lalu, beliau dilantik Yang Di Pertuan Agong bersama enam tokoh lain menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Institusi Majlis Raja-Raja bagi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan sebagai timbalan pengerusi.

Pada 2016, Afifi menjadi penerima pertama Anugerah Tokoh Ilmuan Perak disampaikan Sultan Nazrin sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) di Pulau Pangkor.



Sumber: http://watan-online.com/2018/11/05/dr-afifi-dimahsyur-orang-besar-perak/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo