Mat Sabu gagal bela nasib tentera: Nazari



PORT DICKSON, 25 Muharram 1440H, Jumaat – Calon PAS bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar menyifatkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu – atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu – gagal menunjukkan kesungguhan untuk membela nasib anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, semasa bersama parti PAS, Mat Sabu dan beliau telah bergerak ke seluruh negara bagi menemui warga ATM untuk menyelami isu-isu yang mereka hadapi.

Bagaimanapun, katanya, selepas dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Mat Sabu tidak menunjukkan kesungguhan membela nasib tentera sedangkan beliau lantang mengkritik Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Dulu dia jerit dan mengkritik kerajaan BN, hari ini dia sudah jadi menteri dan kena tunaikan janji kepada anggota dan veteran tentera.

"Dia minta undi tentera dan kata BN zalim tapi hari ini dia sama saja, dua kali lima. Saya terkilan, sepatutnya ada perancangan dan macam-macam boleh dibuat," katanya dalam ceramah kelompok Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Taman Intan Perdana, di sini malam tadi.

Mohd. Nazari menambah, salah satu isu yang diperjuangkannya adalah memastikan setiap anggota tentera dan isteri layak menerima dua lot tanah kediaman dan 8 hektar tanah pertanian seperti terkandung di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973.

Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat) itu berkata, sekiranya perkara tersebut dilaksanakan, ia sudah tentu dapat menjamin kebajikan anggota tentera dan keluarga sekali gus mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih bersemangat dan taat.

"Ia sudah dilaksanakan di Bangladesh, setiap anggota tentera dapat 1 hektar tanah. Tanah-tanah mereka didirikan kondominium dan setiap anggota dapat lima hingga enam unit rumah. Mereka tidak mengeluh walaupun gaji rendah kerana tahu kebajikan dijaga oleh menteri pertahanan," katanya.
Ujarnya, banyak tanah di seluruh negara terutama di kawasan Felda yang boleh diagihkan kepada anggota dan veteran tentera untuk dimajukan dan dibina kediaman.

Justeru, katanya, sekiranya dipilih sebagai ahli Parlimen, beliau akan membawa usul kepada kerajaan supaya membangunkan bandar baharu veteran tentera untuk didiami golongan itu.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya daripada PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kembali ke Dewan Rakyat.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad; calon PAS, Lt Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar; Lau Seck Yan, personaliti media sosial, Stevie Chan Kee Leong dan Kan Chee Yen.

Seorang lagi calon ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada 2008 Saiful mendapat perhatian apabila beliau menuduh Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara, mencetuskan kes sensasi di mahkamah negara ini.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada kes liwat itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Mac 2014 mengetepikan keputusan itu dan Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/10/05/mat-sabu-gagal-bela-nasib-tentera-nazari/
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget