NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Lebih 1,000 MPKK siap dilantik


MARANG 4 Ogos - Proses penyusunan dan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang diberi penjenamaan semula sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah selesai, melibatkan lebih 1,000 institusi seumpama itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan, pelantikan kesemua MPKK itu dilakukan tanpa mengira fahaman politik sebaliknya mewakili segenap kelompok masyarakat.

Beliau seterusnya menarik perhatian, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif menyalurkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada bendahari MPKK berbanding RM650 setahun sebelum ini.

Menurutnya, manakala elaun bagi pengerusi dan setiausaha MPKK masih sama dengan sebahagiannya disalurkan oleh kerajaan Pusat dan sebahagian lagi oleh kerajaan negeri.
Jelas beliau, setiap pengerusi institusi itu menerima RM500 sebulan daripada kerajaan Pusat dan RM400 daripada kerajaan negeri manakala bagi setiausaha pula menerima RM300 sebulan daripada kerajaan Pusat dan RM200 daripada kerajaan negeri.
"Maknanya elaun bagi pengerusi dan setiausaha kekal macam sebelumnya, cuma yang berbeza adalah elaun bendahari, kalau sebelum ini mereka terima RM650 setahun tapi di bawah kerajaan Terengganu baharu ini, bendahari terima RM300 sebulan," katanya.
Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Kem Jati Diri J3K Terengganu Sejahtera 2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai dekat sini hari ini.

Beliau selanjutnya berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam proses mendapatkan persetujuan kerajaan Pusat agar mana-mana pengerusi MPKK yang usianya melebihi syarat ditetapkan, tempoh perkhidmatan dilanjutkan dua tahun lagi.
"Had umur bagi pengerusi ditetapkan kepada 69 tahun dan 55 tahun bagi jawatankuasa lain. Ada kampung memerlukan individu tertentu untuk pimpin, dikira masih layak dan terbaik meskipun usia sudah melewati 69 tahun.

"Justeru itu Menteri Besar (Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) beri kebenaran khas terhadap kes-kes terpencil seperti ini bagi melanjutkan khidmat mereka untuk tempoh dua tahun lagi," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo