NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perak: DAP akur pendirian MB?

Isu hak milik tanah 999 tahun di Perak selesai

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Isu status hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu di Perak dianggap selesai apabila DAP hari ini menafikan memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berhubung perkara tersebut.

Sebaliknya Pengerusi DAP Pe­rak, Nga Kor Ming dalam satu ke­nyataan hari ini menegaskan, parti itu mempunyai hubu­ngan mesra dengan Ahmad Faizal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain saling menghormati dan sentiasa be­kerja sebagai satu pasukan.

"DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar dan memberi sokongan padu kepada kepemimpinan beliau supaya Pakatan Harapan (PH) membawa kesejahteraan hidup serta pembangunan ekonomi pesat kepada seluruh rakyat Perak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pendirian Kor Ming itu melegakan semua pihak dan sekali gus memberi gambaran isu pemilikan tanah tersebut yang dibangkitkan oleh dua exco kerajaan negeri sebelum ini iaitu Datuk Seri Moha­mmad Nizar Jamaluddin dan Dr. Abdul Aziz Bari selesai sekali gus mengelakkan Perak terjerumus dalam krisis politik sekali lagi.

Kor Ming menyatakan demi­kian bagi mengulas laporan Mingguan Malaysia dan media-media lain hari ini yang menyatakan DAP tetap berkeras menuntut kerajaan negeri meluluskan status hak pemilikan tanah 999 tahun atau hak milik kekal.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan laporan media itu, beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu tidak pernah membangkitkan isu hak milik kekal tersebut ketika sidang akhbar semalam dan hanya menyatakan PH komited untuk melaksanakan semua janji dalam manifesto.

"Ini adalah kata-kata yang sama dengan ucapan penggulu­ngan Menteri Besar Perak dalam sidang DUN baru-baru ini," ujar beliau.

Kenyataan Kor Ming itu juga memberi gambaran DAP bersetuju dan akur dengan pendirian Ahmad Faizal bahawa cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu bercanggah dengan Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dilaksanakan pada waktu ini.

Ahmad Faizal dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini memberitahu, semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baharu telah memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung itu telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Beliau menjelaskan, mesyua­rat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 telah menetapkan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo