NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon PAS PRK Seri Setia keluarga doktor



SHAH ALAM: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali bersyukur enam anaknya mengikut jejak langkah beliau dan suaminya menceburi bidang perubatan.

Anaknya, Dr Imran Ahmad, Dr Khadejah, Dr Zaid, Dr Hafiz, Dr Zubir dan Dr Liyana berusia antara 26 hingga 38 tahun.

Halimah, 58, berkata sebelum menamatkan ijazah perubatan, beliau dan suaminya, Dr Ahmad Supian sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

“Alhamdullillah, mereka semua lulusan perubatan. Saya dan suami tidak memaksa anak-anak mengikuti jejak langkah kami namun keputusan peperiksaan baik dan berkelayakan.

“Tambahan pula, saya mempunyai klinik sendiri dan mahu ada anak yang mewarisinya. Bagaimanapun, keputusan dan pilihan itu adalah hak mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, keenam-enam anaknya belajar aliran agama terlebih dulu dan dua daripada mereka adalah hafiz.

“Ada juga anak saya yang berminat melakukan aktiviti kemanusiaan sehingga ke Acheh dan Kemboja.

“Namun, faktor usia yang masih muda menyebabkan mereka kini lebih fokus kepada kerjaya masing-masing,” katanya.

Halimah dilahirkan di Marudi, Sarawak dan melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi (Elizabeth Matriculation College, Hobart) sebelum melanjutkan ijazah perubatan di University of Tasmania, Australia.

Beliau juga pelajar terbaik Diploma Tasawwur Islam di Institut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Halimah pernah bertugas di beberapa jabatan serta hospital termasuk Hospital Universiti, Petaling Jaya; Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang; Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Klang dan Shah Alam; Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang; Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Pegawai Kesihatan Sekolah Daerah Klang.

Beliau pernah menjadi pengamal perubatan swasta selama 25 tahun dan mempunyai dua klinik sendiri.

Sebelum ini, beliau adalah EXCO Kerajaan Negeri Selangor merangkap ADUN Selat Klang (2008-2014).

Halimah diumumkan sebagai calon PRK DUN Seri Setia oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada majlis di Desa Mentari, Petaling Jaya, malam tadi.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September, dengan hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo