NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sungai Kandis, PAS main tarik tali ?


KUALA LUMPUR: Penganalisis politik mendakwa keputusan PAS `bermain tarik tali' untuk bekerjasama dengan UMNO sebagai blok pembangkang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sudah dijangka.

Pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata tidak memeranjatkan apabila PAS terus 'bermain politik' dengan menyatakan hasrat untuk tidak membantu kempen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata tindakan PAS memberi laluan mudah kepada BN kerana berpandangan BN tidak mempunyai peluang untuk menewaskan calon PKR berikutan Sungai Kandis antara kubu kuat PKR.

"Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Sungai Kandis pun terlalu memihak kepada PKR.

"Tambahan pula kerajaan Selangor dan Persekutuan dikuasai PH, maka sebab itu juga PAS berpendapat sangat tipis untuk mengurangkan majoriti PKR," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azmi mendakwa justeru lebih mudah untuk PAS mengambil pendirian `berkecuali' jika BN tewas pada PRK 4 Ogos depan.

"Selepas keputusan PRK nanti PAS boleh mendakwa keputusan pengundi tidak terkait dengan PAS.

"Iaitu jika calon PKR memperolehi undi majoriti lebih besar berbanding PRU-14 maka PAS boleh mendakwa isyarat dari pengundi tiada kena mengena dengan kemerosotan parti mereka," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata jentera PAS berpendirian untuk tidak membantu UMNO pada kempen PRK Sungai Kandis.

Tuan Ibrahim mendakwa ahli PAS hanya akan bekerja untuk parti sekali gus kekal sebagai blok pembangkang yang tidak terikat dengan mana-mana pihak dan membuat keputusan berdasarkan keputusan parti.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis Adilfitri PKR Pandan, menyifatkan PAS dan UMNO sebagai 'adik-beradik' selepas PAS tidak mempertaruhkan calon dan memberi laluan mudah kepada UMNO untuk bertanding PRK Sungai Kandis.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo