LGBT : Pandangan Menteri Agama Silap - PAS



LGBT : PANDANGAN MENTERI AGAMA SILAP

1. Kenyataan YB. Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) mengenai perlakuan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) adalah bersalahan dengan sudut pandang Islam dan peruntukan undang-undang negara.

2. Pandangan yang beliau kemukakan itu dilihat sebagai mengiktiraf perlakuan LGBT sebagai hak seseorang selama ia dilakukan dalam ruang peribadi masing-masing.

3. Beliau berpendirian demikian kerana menganggap kesalahan tersebut semata-mata urusan antara individu terbabit dengan Tuhan sahaja; tidak ada kena mengena dengan orang lain. Kefahaman ini ternyata sangat silap kerana LGBT melibatkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.

4. Perlakuan liwat sebagai contoh merupakan satu jenayah dalam Islam dan juga jenayah dalam undang-undang negara sama ada dibuat secara sembunyi apatah lagi terang-terangan.

5. Jenayah Liwat sangat keras dalam Islam sehingga Nabi s.a.w. bersabda :

( مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ )

"Sesiapa yang kamu temuinya melakukan amalan kaum Lut maka bunuhlah pelaku dan orang yang diperlakukan"

(Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah dinilai sahih oleh al-Albaani)

6. Meskipun negara kita tidak menjadikan hukuman tersebut sebagai undang-undang, tapi ia menunjukkan betapa besarnya jenayah liwat.

7. Menurut tokoh ulamak terkenal Imam Ibnu Qayim dalam karya beliau al-Jawaab al-Kaafi, "Oleh kerana kerosakan perlakuan liwat antara kerosakan terbesar maka hukumannya di dunia dan akhirat juga adalah antara hukuman yang paling besar".

8. Azab Allah ditimpakan kepada seluruh umat Nabi Lut a.s. akibat perbuatan sebahagian mereka yang berkelakuan sumbang. Ini menunjukkan, perlakuan tersebut adalah suatu bencana kepada semua orang sekiranya ia tidak dicegah.

9. Undang-undang negara juga ada memperuntukkan beberapa kesalahan jenayah berkaitan perlakuan LGBT. Antaranya ialah Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan yang menyatakan berkenaan kesalahan hubungan seks luar tabii.

10. Berdasarkan statistik Jabatan Peguam Negara dan polis, sebanyak 171 kes telah didakwa mengikut seksyen 377B dari 2010 hingga 2014, sementara sebanyak 489 kes didakwa mengikut Seksyen 377C dalam tempoh lima tahun tersebut.

11. Seksyen 25 dan Seksyen 26 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 pula menyatakan berkenaan kesalahan liwat dan musahaqah iaitu melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan. Begitu juga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain.

12. Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997 memperuntukkan dalam Seksyen 25, "Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

13. Seksyen 26 pula memperuntukkan "Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

14. Ini menunjukkan undang-undang negara sama ada sivil atau syariah memperakui bahawa perlakuan LGBT ini adalah merupakan jenayah dan pelakunya boleh dikenakan tindakan tanpa mengira sama ada ia dilakukan secara tersembunyi atau terangan-terangan.

15. Saya khuatir, pendirian longgar oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dalam isu ini akan membuka ruang selesa dan meyakinkan kepada golongan LGBT untuk terus mendesak agar perlakuan dan golongan LGBT diiktiraf di negara ini.

16. Lebih saya bimbang, jika sikap menteri seperti itu akhirnya menjadikan Malaysia menerima syor supaya mengiktiraf orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat; meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat kerana menganggap ia tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman; dan memansuhkan enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi” seperti yang dituntut oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

17. Sekali lagi saya mengharapkan agar pemimpin Pakatan Harapan tidak memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mereka tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama malah bersikap liberal melampau dalam isu-isu agama dan undang-undang yang bertujuan memelihara keharmonian awam.

18. Mandat kepada Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan oleh rakyat adalah untuk merobohkan kezaliman dan penindasan bukannya merobohkan agama Islam dan undang-undang.

19. Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada pelbagai bencana akibat usaha menghalalkan LGBT.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2049538811722805&id=569086473101387
Labels:
Reactions:

Post a Comment

....bila orang PAS yang cakap, orang PAS dicas sebagai penonggang agama. jadi apa hal dengan pandangan hukum hakam dan solusinya oleh orang-orang alim yang lain, mufti-mufti atau jasad-jasad atau ulama-ulama lainnya.

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget