NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Shafie yakin ada wakil Sabah dalam Kabinet Persekutuan


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin ada wakil Sabah akan dilantik membarisi Kabinet kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, beliau sudah melantik wakil dari PKR dan DAP dalam Kabinet negeri walaupun WARISAN tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) kerana wujud persefahaman antara mereka, sambil berharap ruang sama diberi di peringkat Persekutuan.

"Kita harap ada tempat bagi perwakilan di peringkat Sabah untuk menyertai kerajaan Persekutuan. Bilangan kementerian (untuk wakil Sabah) kita serahkan kepada Tun Mahathir, saya yakin penyertaan kita (dalam kerajaan Persekutuan) ada hubung kait dengan usaha kita untuk membangunkan negara dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup dengan ketua jabatan kerajaan negeri yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Dalam Kabinet kerajaan negeri ketika ini, Mohd Shafie melantik empat wakil DAP dan dua dari PKR sebagai Menteri dan Pembantu Menteri di pelbagai kementerian.

Mengenai mesyuarat tertutup itu, Mohd Shafie berkata, beliau mahu semua ketua jabatan memastikan mereka melaksanakan sistem penyampaian yang cekap.

"Saya juga memberi tumpuan kepada kementerian baharu dan kita melihat pelbagai bidang seperti perubahan struktur perlu dilakukan untuk meningkatkan kapasiti kementerian terbabit dalam usaha menyampaikan apa yang diharapkan oleh rakyat.

"Kami juga meneliti beberapa janji yang telah dibuat (untuk dipenuhi) dalam jangka masa 100 hari," katanya.

Tiga kementerian baharu yang diwujudkan Mohd Shafie ialah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Pendidikan dan Inovasi serta Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau akan bertemu dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok untuk membincangkan mengenai isu keselamatan di negeri ini.

Ketika ditanya mengenai saman difailkan kepadanya oleh Tan Sri Musa Aman dan laporan polis dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, beliau berkata, terserah kepada pihak berkuasa mengambil tindakan yang perlu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo