NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label SABAH. Show all posts
Showing posts with label SABAH. Show all posts

Tiga ADUN WARISAN umum keluar parti

 Norazlinah (tengah), Mohammad (kiri) dan Chong mengumumkan keluar WARISAN dalam satu rakaman video yang dilakukan.
KELUAR PARTI: Norazlinah (tengah), Mohammad (kiri) dan Chong mengumumkan keluar WARISAN dalam satu rakaman video yang dilakukan.

KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) daripada Parti Warisan (WARISAN) iaitu ADUN Kunak Norazlinah Arif, Mohammad Mohamarin (Banggi), dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) mengumumkan keluar parti hari ini.

Norazlinah juga merupakan Ketua Wanita Warisan, manakala Mohammad dan Chong masing-masing adalah Ahli Majlis Tertinggi parti itu dalam kenyataan bersama hari ini berkata mereka kekal sebagai ADUN Bebas dan menyokong Kerajaan Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mereka menjelaskan tindakan itu dilakukan setelah memperhalusi dan mempertimbangkan pelbagai aspek dari segenap sudut termasuklah hala tuju gabungan parti di Sabah dan pandangan akar umbi di kawasan yang mereka wakili.

“Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan kerana ia memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.

“Kami akan bekerja bersama-sama Ketua Menteri (Hajiji) dan kerajaan negeri untuk meneruskan momentum positif pembangunan negeri dan peningkatan hasil negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya,” menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga ADUN berkenaan juga mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk di peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi.

Tindakan tiga ADUN itu menyebabkan Warisan kini mempunyai 16 ADUN di Sabah, serta satu di Selangor manakala Kerajaan Sabah pimpinan Hajiji pada masa ini mendapat sokongan majoriti 47 ADUN.

Tiga ADUN berkenaan juga berharap tindakan itu dapat membantu mereka meneruskan khidmat lebih baik kepada masyarakat yang diwakili.

Mereka juga mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, rakan seperjuangan dan penyokong parti.

“Kami juga bertekad untuk terus memberi tumpuan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat di kawasan kami khasnya dan Sabah serta Malaysia amnya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA
 

Umno Sabah seumpama yang dikendong berciciran

Umno Sabah seumpama yang dikendong berciciran

SEBELUM ini desakan Umno Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disegerakan demi kestabilan politik, namun ia tidak ke mana-mana. Kata orang kampung sekadar syok sendiri. 

Akhirnya berlaku tragedi politik seperti penggal ke-14. Ia masih berulang. Mengapa tidaknya. Dalam keadaan masih longlai, Umno tiba-tiba cuba membuat kejutan pula di Sabah, mencipta drama baharu.  

Mengulangi agenda pada 2021 apabila parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin. Ia bukan babak yang tidak sengaja. Pastinya sudah diagenda sedemikian rupa. 

Sehingga sekarang sudah tiga kali agenda sama berulang. Ia bermula di Perak ketika usaha menyingkirkan Faizal Azumu di kerusi menteri besar (MB).

Faizal gagal memperolehi sokongan majoriti usul ‘keyakinan’ majoriti Adun terhadap menteri besar. Pada pengundian yang dijalankan secara sulit, usul itu mendapat sokongan 10 undi.

Manakala 48 Adun tidak menyokong dan satu berkecuali. Usul terbabit dibawa Adun BN Pengkalan Baru Abd Manap. Akhirnya kerusi MB bertukar kepada Saarani Mohamad dari Umno.

Umno berjaya dalam misi tersebut. Kemudian diterus pula dengan agenda menyingkirkan Muhyiddin Yassin. Itu agenda kedua Umno. Agenda itu bermula pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno 3 Ogos 2021.

Menurut laporan media, Zahid Hamidi menyebut Umno sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Seramai 14 ahli parlimen Umno (BN) menarik sokongan terbabit. Mereka iaitu Zahid (Bagan Datuk), Najib Razak (Pekan), Ahmad Maslan (Pontian), Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Abdul Azeez (Baling), Azalina Othman (Pengerang).

Selain itu Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Jazlan Yaakob (Machang), Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Nazlan (Jerantut), Ramli Md Nor (Cameron Highlands), Mohamad Alamin (Kimanis), Noh Omar (Tanjung Karang) dan Tengku Razaleigh (Gua Musang).

Segala agenda itu untuk membolehkan Umno membolot kuasa politik. Dua agenda di Perak dan Putrajaya menjadi kenyataan.

Ramai menganggap isu terbabit terhenti di situ. Lebih-lebih lagi Umno jelas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.  

Cuba bayangkan daripada 132 kerusi parlimen pada PRU-13, sekarang tinggal 30 kerusi. Di mana maruah Umno. Daripada menguasai kerajaan, sekarang hanya menumpang Pakatan Harapan (PH), bertenggek di dahan kerajaan.

Dahan rapuh

Dahan tempat Umno berpaut belum tentu kuat. Bila-bila masa boleh patah. Ketika Umno berada di tahap paling lemah, tiba-tiba agenda di Perak dan Putrajaya diulangi pula di Sabah. 

Siapa yang hendak dipersalahkan. Adakah Umno Sabah semata-mata. Ia agak tidak munasabah. Ia tidak mungkin berlaku tanpa restu Umno Pusat. Ia perkara besar dan bukan main-main. Ia menyebabkan maruah dan masa hadapan Umno.

Ramai melihat Bung tidak keseorangan tindakannya menarik sokongan terhadap Hajiji Noor. Ketika rakyat Sabah mual dengan politik ‘divide and rule’, Umno masih lagi mengulanginya. 

Umno masih lagi tidak serik. Pada 6 Januari lalu sebahagian Adun BN Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah dan kerajaan negeri. Ia dikatakan berkuat kuasa serta merta.

Malangnya ‘Langkah Kinabalu’ diketuai Bung tidak mendapat sokongan solid. Lima Adun BN Sabah mengecam tindakan Bung.

Mereka marah Bung menarik balik sokongan terhadap Hajiji. Bukan setakat itu, sebaliknya mendesak Bung letak jawatan sebagai Pengerusi Umno Sabah.

Adun terbabit iaitu Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohd Arsad (Tempasuk).

Nampaknya agenda Umno Sabah mengulangi apa yang berlaku di Putrajaya. Ketika itu agenda Zahid juga tidak disokong ramai ahli parlimen Umno.

Sekarang siapa yang dirundung malang. Bung semakin hilang kredibiliti di sisi rakyat Sabah. Kepimpinannya dipertikai pemimpin dan penyokong Umno. 

Mengulas perkembangan yang berlaku itu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Dr Jeffrey Kittingan dilapor berharap rakyat Sabah tidak merebut kuasa politik.

Hajiji masih mendapat sokongan 44 daripada 79 Adun Adun Sabah. Majoriti mudah di Dun Sabah sebanyak 40 Adun. 

Malah, Menteri Perdana Anwar Ibrahim juga mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah Hajiji. “Kita mahu Sabah kukuh di bawah pimpinan Hajiji,” kata menteri perdana seperti dilapor media. 

Bung dan Warisan sebaliknya dikatakan menyokong cadangan PM untuk membentuk kerajaan perpaduan di Sabah. Maksudnya semua parti berada dalam kerajaan Sabah. 

Namun, Hajiji tidak bertindak begitu. Dia masih ada sokongan. Akhirnya Bung hilang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1. Warisan pun masih di saf pembangkang. 

Ramai hendak tahu siapa pengarah drama ‘Sabah Januari 2023’. Apa pun tak salah kalau ada orang sebut tindakan Bung seumpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Sumber : FB

UMNO Sabah tidak iktiraf pelantikan 2 ADUN ke Kabinet negeri

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak mengiktiraf pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakli parti itu yang membarisi Kabinet baharu negeri dalam rombakan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya, serta ADUN Sugut, Datuk James Ratib yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

"Lagipun UMNO secara konsisten menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji tidak boleh mendakwa lantikan mereka mewakili UMNO Barisan Nasional (BN) melainkan mereka dilantik atas kapasiti peribadi.

"UMNO akan memperhalusi tindakan terhadap pemimpin UMNO yang belot untuk dibincangkan bersama Presiden parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ADUN Lamag itu mengulas senarai Kabinet baharu Sabah yang mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu dalam rombakan yang diumumkan hari ini.

Barisan Kabinet baharu itu menyaksikan dua wakil UMNO yang menyokong Hajiji iaitu Shahelmey dan James turut menganggotainya, selain dua wakil dari Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Bung Moktar sendiri digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya dalam rombakan itu.

Sementara itu, Bung Moktar turut menyifatkan pelantikan itu membelakangkan nasihat dan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah.

"Perlu diingat pembentukan kerajaan perpaduan, BN turut membantu dan perkara ini perlu dilihat oleh Ketua Menteri," katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata kemelut politik Sabah belum berakhir dengan pelantikan anggota baharu Kabinet itu.

"Game still on (belum tamat)," katanya mengulangi kenyataannya sebelum ini apabila Hajiji menjelaskan mempunyai sokongan majoriti dengan 44 ADUN memihak kepadanya.

Dalam hal berkaitan, Bung Moktar mengingatkan Hajiji supaya bersikap adil dengan rakan Kabinet tanpa campur tangan secara langsung dalam soal pentadbiran kementerian masing-masing.

"Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Bung Moktar menambah, UMNO Sabah juga bersedia untuk menjadi pembangkang yang berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan situasi politik yang berlaku di negeri ini.

Dakwaan lima ADUN Umno Sabah tubuh parti baharu berniat jahat


(Dari kiri) Shahelmey Yahya, Jasnih Daya, James Ratib, Yusuf Yacob dan Arsad Bistari menafikan mereka akan menubuhkan parti baharu, jika ditunjukkan ‘jalan keluar’ oleh Umno Sabah.
PETALING JAYA: ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya menyangkal dakwaan beliau dan empat wakil rakyat Umno lain akan menubuhkan parti baharu untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Terdahulu, Shahelmey bersama Yusuf Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk) dan James Ratib (Sugut) dilaporkan akan menubuhkan parti baharu untuk menyokong GRS dan Hajiji, jika ditunjukkan “pintu keluar” oleh Umno Sabah.

Shahelmey berkata, dakwaan dalam laporan itu ditokok tambah dan disiarkan tanpa pengetahuan mereka berlima yang menyokong Hajiji.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan ini dan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan merujuk kepada penubuhan parti baharu atau berkaitan dengannya.

“Kenyataan ini disiarkan tanpa pengetahuan kami dan ia juga dilihat berniat jahat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulangi pendirian mereka berlima tidak menyokong langkah usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Hajiji dan sedia menghadapi apa jua tindakan daripada parti.

Jumaat lalu, Bung mengumumkan Umno dan BN Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri, selepas mendakwa pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara mereka selepas pilihan raya negeri pada 2020.

Semalam, Hajiji mengumumkan beliau memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN Sabah untuk terus menerajui Sabah, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin kelmarin.


Zahid tiba di Kota Kinabalu untuk runding kemelut Sabah

Ahmad Zahid Hamidi disambut pemimpin Umno Sabah setibanya di Ibu Pejabat Umno negeri di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tiba di Ibu Pejabat Umno Sabah, di sini, untuk menemui pemimpin negeri itu susulan langkah menjatuhkan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Timbalan perdana menteri itu tiba di bangunan Umno Sabah kira-kira 8.20 malam dengan diiringi Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Turut hadir 13 ADUN Barisan Nasional (BN) serta pemimpin Umno Sabah yang lain. Tetapi, lima ADUN BN yang menyokong Hajiji tidak kelihatan.

Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim juga dijangka menemui pemimpin Umno Sabah dan parti lain, termasuk Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan malam ini.

Jumaat lalu, Bung mengumumkan BN dan Umno Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri, selepas mendakwa pengerusi GRS itu melanggar perjanjian antara mereka selepas pilihan raya negeri pada 2020.

Bagaimanapun, lima ADUN BN tidak menuruti kehendak parti, sebaliknya mereka menyokong Hajiji. Mereka adalah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Yusuf Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk) dan James Ratib (Sugut).

Pertemuan GRS, UMNO, PH bincang persiapan sidang khas Dun Sabah esok – Masidi

KOTA KINABALU – Pertemuan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Gaya, hari ini, tiada kaitan dengan kemelut politik sedang melanda Sabah ketika ini.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perjumpaan berkenaan adalah bagi membincangkan persediaan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijangka berlangsung esok.

“Kita berharap semua wakil rakyat bersikap matang. Datang ke DUN untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin bagi meluluskan dua RUU yang akan dibentangkan esok.

“RUU berkenaan penting berkaitan autonomi Sabah untuk mengurus sendiri hal ehwal gas yang sebelum ini di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) persekutuan dan PETRONAS. Perkara ini hasil rundingan kerajaan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya hari ini.

Terdahulu, seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkumpul di Sri Gaya, petang ini, bagi membincangkan persediaan Persidangan Khas DUN yang diadakan esok.

Semua ADUN terbabit terdiri daripada 29 mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), diikuti tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) Sabah, UMNO (lima) dan masing-masing seorang Adun Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Pas dan Bebas. – KOSMO! ONLINE

Politik Sabah: Krisis dijangka berakhir selepas pertemuan dengan Anwar malam ini

Zahid berkata isu itu akan diselesaikan melalui pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini. - Gambar fail


KOTA KINABALU: Krisis politik membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka berakhir malam ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu itu akan diselesaikan melalui pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.
Zahid ketika ditemui di Pejabat UMNO Sabah, berkata pertemuan tersebut akan turut melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yakin keputusan menang-menang akan dapat dicapai dalam perbincangan yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.
"Pada malam ini Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama-sama dengan saya... kita akan mengadakan pertemuan dengan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan permasalahan politik Sabah ini kita akan bincangkan dengan berhati-hati dan tentunya kita akan mencari jalan terhadap penyelesaian kemelut ini.
“Dan kita akan berikhtiar supaya situasi menang-menang dapat dicapai dalam pertemuan itu nanti... dan selepas pertemuan itu nanti saya yakin Datuk Seri Anwar akan berjumpa dengan saudara-saudari (wartawan) bagi menyatakan apakah keputusan yang akan dibuat nanti," ujar Zahid ketika ditemui malam ini.
Difahamkan tujuan utama kedatangan Zahid ke Sabah adalah untuk meleraikan kritis politik antara BN dan GRS yang bermula pada Jumaat lepas, apabila BN Sabah mengambil langkah mengejutkan dengan membuat pengumuman menarik diri daripada terus menyokong kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
BN Sabah turut memohon Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin agar menyemak semula keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Perseteruan itu turut menyaksikan aksi balas-membalas kenyataan antara pimpinan BN dan GRS selama beberapa hari selain pergerakan keluar masuk ke dalam istana juga turut kelihatan sepanjang tempoh krisis tersebut.
Terbaharu, Anwar pada malam ini dijadualkan akan bertemu dengan Hajiji bagi mencari formula penyelesaian kepada krisis itu.
Antara dijangka turut hadir di dalam pertemuan itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sumber I Astro Awani 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Shafie ulangi pendirian Hajiji perlu ikut Perlembagaan tentukan kedudukan Ketua Menteri

PENAMPANG – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengulangi pendiriannya bahawa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor harus mengikut Perlembagaan dalam menentukan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Sepatutnya jika diikutkan Perlembagaan, parti yang mendapat majoriti masa pilihan raya adalah Warisan.

“Kita ada 32 kerusi yang mana Warisan sendiri mempunyai 29 kerusi bertanding.

“Bagaimanapun, jumlah itu semakin berkurang kepada 19,” katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat dari Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya, hari ini.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai dakwaan Hajiji yang menyatakan mempunyai sebanyak 44 sokongan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Sabah, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menyatakan bilangan sokongan bukanlah persoalan utama untuk menentukan kedudukannya.

“Nombor ini bukan persoalan. Sekiranya dia (Hajiji) mengatakan mempunyai nombor, kita juga ada nombor.

“Tidak payah cerita pasal nombor kerana bilangan yang dia dapat adalah nombor orang Warisan,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Komen: Hajiji terlupa bagaimana kerajaan campuran PH-BN dibentuk

"BERSATU akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali," kata Ronald Kiandee

Naib Presiden BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.


KOTA KINABALU: BERSATU Sabah akan dibina dan diperkukuhkan semula, susulan tindakan pemimpin negeri, diketuai bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, keluar parti, hari ini.

Naib Presiden BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata tindakan Hajiji dan pengikutnya tidak akan menjejaskan parti itu terutama di peringkat akar umbi. 

"Terpulang kepada mereka (pemimpin keluar parti) untuk memberikan apa-apa alasan (keluar parti). Ahli parti berhak membuat keputusan mereka sendiri dan untuk pilih platform yang mana.

"BERSATU akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali," katanya.

Hari ini, Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berserta pemimpin BERSATU Sabah memutuskan untuk meninggalkan parti itu, namun terus kekal di bawah GRS.

GRS, ketika ini terdiri daripada BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Sabah.

Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran bagaimanapun enggan mengulas mengenai status BERSATU dalam GRS.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pada sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini kesal dengan BERSATU Sabah yang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Saifuddin, yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang berkata, Sabah belum meluluskan akta berkaitan lompat parti, justeru mereka yang terbabit masih boleh mengambil keputusan sedemikian.

"Saya kesal tindakan dilakukan teman-teman di Sabah ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi itu atas nama BERSATU. Tetapi, saya difahamkan BERSATU Sabah masih wujud kerana ada Ahli Parlimen dan pimpinan yang akan meneruskan perjuangan parti di negeri itu," katanya.

Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dalam kenyataannya berkata, beliau yakin masih terdapat ahli Armada di Sabah yang kekal dengan BERSATU dan akan membina semula parti itu.

Beliau menegaskan, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertindak mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman serta harmoni. - BERNAMA







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Seramai 923 mangsa banjir dipindahkan di Sabah


KOTA KINABALU, 2 Nov (Bernama) -- Seramai 923 mangsa banjir daripada 301 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah pagi ini, meningkat berbanding 801 mangsa daripada 248 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan Tenom, sebuah daerah di pedalaman negeri, paling terjejas dengan 396 mangsa banjir daripada 125 keluarga dipindahkan di lima PPS di daerah itu.

Rumah Kebudayaan Makakagas menempatkan 117 mangsa daripada 32 keluarga; Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (29 mangsa, tujuh keluarga); Rumah Kebudayaan Gunting (33 mangsa, tujuh keluarga); Rumah Kebudayaan Pagukon (200 mangsa, 73 keluarga); dan Kompleks Sukan Tenom (17 mangsa, enam keluarga).

“Trend semasa pemindahan mangsa dan bencana banjir di Sabah ketika ini adalah kekal, manakala cuaca baik di kebanyakan kawasan di Sabah pagi ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu di Keningau, sebanyak 327 mangsa daripada 120 keluarga dipindahkan melibatkan PPS di Dewan Gereja Kampung Senangang (215 mangsa, 68 keluarga); dan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (112 mangsa, 52 keluarga).

Menurut kenyataan itu, di Sipitang seramai 129 mangsa banjir membabitkan 43 keluarga dipindahkan membabitkan PPS di Dewan Mini Mesapol (48 mangsa, 16 keluarga); dan Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Chung Hwa Mesapol (81 mangsa, 27 keluarga).

PPS di Dewan Kampung Airport Tun Fuad di Kunak menempatkan 62 mangsa daripada 12 keluarga manakala Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang menempatkan sembilan mangsa daripada satu keluarga.

Menurut ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, ribut petir di satu dua tempat terutama di kawasan pedalaman diramal berlaku pada sebelah petang dan malam di Sabah.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebuah jambatan di Jalan Amboi Satu, Tenom mengalami kerosakan serius dan pihaknya mengambil tindakan untuk menutup jambatan itu kepada semua jenis kenderaan.

“Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Tenom-Kuala Tomani, Jalan Amboi 2, dan Jalan Cinta Mata, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memastikan keselamatan diri apabila berdepan dengan air banjir yang melimpah ke jalan raya,” menurut JKR.

Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan laluan Beaufort-Halogilat-Beaufort tidak beroperasi disebabkan banjir di kawasan Jimpangah KM98.6, dan perkhidmatan akan beroperasi semula sekiranya air mulai surut.

Menurutnya laluan Tenom-Halogilat-Tenom juga tidak beroperasi akibat kejadian tanah runtuh di KM130-137/7, dan kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan.

-- BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

'Siapa pun jadi PM, kembalikan hak Sabah'

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

TENOM: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu hak negeri itu dikembalikan tanpa mengira siapa yang menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November depan.

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata gabungan itu perlu memenangi kerusi yang diagihkan supaya mempunyai wakil di Parlimen.

"Kita di Sabah tidak peduli siapa Perdana Menteri. Apa yang penting, hak Sabah dikembalikan dan kita dapat pilih pemimpin wakili kita di peringkat Persekutuan.

"Apa yang penting ialah GRS mesti menang (kerusi ditandingi)," katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Parlimen Tenom di sini, hari ini.

Program dirasmikan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan turut dihadiri pemimpin serta penyokong lima parti komponen gabungan itu.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata politik Sabah sudah berubah dan pemimpinnya sedar mereka banyak bermusuh sesama sendiri selama ini.

"Hampir 50 tahun baru kita sedar tetapi biarlah terlewat daripada tiada. Sekarang kita bersatu dalam GRS kerana kita sedar apabila berpecah, kita bazir banyak tenaga, wang dan fikiran untuk saling mencantas.

"Sudah tiba masa kita bersatu di Sabah kerana kalau asyik berpecah, berlawan, lupakan rakyat, diri dan kawan, akibatnya lihat Sabah jadi negeri termiskin," katanya.

Katanya, Sabah ketinggalan berbanding Sarawak dan lebih ketinggalan apabila tidak bersatu berikutan perbezaan politik sejak sekian lama.

Jeffrey berkata, GRS yang menyatukan perjuangan pelbagai parti di Sabah menjadi harapan baharu politik negeri dalam menumpukan perjuangan mengangkat Sabah sebagai negeri berautonomi dan merdeka.

"Mujur kesedaran ini berlaku perlahan-lahan sejak satu dua tahun lalu untuk menyatupadukan kita di Sabah," katanya.

GRS adalah gabungan politik baharu yang diwujudkan secara rasmi sejak awal tahun ini di Sabah, merangkumi BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Gabungan itu membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020 dan bekerjasama menghadapi pembangkang di peringkat negeri pada PRU15.


Sumber I BH Online



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Pemilikan rumah rakyat adalah keutamaan kerajaan Sabah - KM

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (empat, kanan) menyampaikan kunci rumah kepada penduduk Shahlan Wahab di Kampung Kepayan Skim pada majlis pelancaran Rumah Mesra Sabah Maju Jaya hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA PENYU: Kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah menjadi keutamaan kerajaan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata perkara itu dapat dilihat menerusi inisiatif Rumah Mesra SMJ untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kepompong kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.
Beliau juga memberi jaminan, kerajaan Sabah akan terus menggandakan usaha untuk melindungi kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.
Beliau juga memberi jaminan, kerajaan Sabah akan terus menggandakan usaha untuk melindungi kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.
"Selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi dalam program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan Sabah juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat.
"Ini termasuk memastikan rakyat mempunyai rumah untuk berlindung," katanya ketika melancarkan Rumah Mesra SMJ, di sini hari ini.
Pelancaran itu amat bermakna kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) kerana ia juga bertepatan dengan ulang tahun kedua pimpinan pentadbiran negeri sejak 29 Sept 2020, katanya.
Ketua Menteri mengulangi bahawa Rumah Mesra SMJ, yang mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah untuk membantu golongan di bawah garis kemiskinan untuk memiliki rumah.
"Saya sering menekankan semua dasar dan program kerajaan yang dirancang mesti berorientasikan kemakmuran rakyat. Orang miskin tidak boleh dipinggirkan.
"Kediaman ini akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), menggunakan geran khas Persekutuan RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun ini," katanya.
Setiap rumah berharga RM70,000 yang Ketua Menteri berharap dapat disiapkan mengikut jadual dan pada masa yang sama, beliau menggesa KPLB memastikan hanya penerima yang layak mendapat rumah tersebut.
"Kita mesti memastikan keutamaan diberi kepada mereka yang tidak memiliki rumah. Antara kriteria bagi pemilikan Rumah Mesra SMJ adalah mereka tersenarai dalam e-Kasih, rumah rosak akibat bencana alam atau orang kurang upaya (OKU). Kerajaan akan sentiasa memantau untuk memastikan rumah berkenaan tidak disewakan," katanya.
Sementara itu, Hajiji percaya rakyat cukup bijak untuk menilai prestasi dan pencapaian kerajaan negeri pimpinan GRS-BN sejak dua tahun lepas yang membawa kemajuan dan kemakmuran yang lebih bermakna kepada negeri dan rakyat.
Terdahulu, Hajiji melawat dua Rumah Mesra SMJ yang telah siap di Skim Kampung Kepayan, Menumbok dan Kampung Bundu, Kuala Penyu apabila beliau menyerahkan kunci rumah kepada pemilik baharu.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Hilang habitat, kurang sumber makanan antara faktor konflik manusia-buaya di Sabah

Lebih banyak kesedaran diperlukan di kawasan berpopulasi buaya yang tinggi dengan penganjuran bengkel bersama masyarakat tempatan. - Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Kehilangan habitat dan kekurangan sumber makanan bersaiz besar berkemungkinan antara sebab serangan buaya semakin meningkat di Sabah.
Prof Benoit Goossens, seorang ahli Suruhanjaya Kemandirian Khas Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) berkata walaupun membunuh beberapa buaya di sesuatu kawasan boleh menimbulkan rasa selamat kepada pengguna sungai, buaya baharu akan menggantikan reptilia yang mati itu dan bahaya akan berterusan.
Goossens yang juga Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) berkata, lebih banyak kesedaran diperlukan di kawasan yang mempunyai populasi buaya yang tinggi dengan menganjurkan bengkel bersama masyarakat tempatan dan pekerja ladang yang memancing di sepanjang Sungai Kinabatangan.
"Bagi saya, faktor yang menyebabkan konflik manusia-buaya ialah kehilangan habitat dan kekurangan mangsa besar seperti babi hutan akibat wabak selesema babi Afrika. Buaya besar yang menyerang manusia biasanya memakan mangsa bersaiz besar seperti khinzir dan rusa.
"Apabila populasi babi hutan kembali (ada), kita perlu mencadangkan kepada orang ramai agar mengelak mandi di sungai utama yang ada kehadiran buaya dan tidak memancing di tebing sungai selama berjam-jam, kerana buaya ialah pemangsa serang hendap," katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan bahawa Sabah perlu mengeluarkan permit untuk memburu buaya secara terkawal bagi menangani isu populasi reptilia itu yang tinggi di Sabah.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag turut mendesak kerajaan negeri untuk mewujudkan peraturan atau pengawalan terhadap penghapusan dan pemburuan buaya secara komersial, sama seperti yang dilakukan di Sarawak.
Beliau membuat saranan itu susulan kematian melibatkan seorang wanita yang diserang oleh seekor buaya di daerah Kinabatangan pada 30 Julai lepas.
Pada 11 Sept, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai kepala mangsa yang dipercayai disambar buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntur di kawasan setinggan dekat Taman Kenari, Sandakan pada 9 Sept, kes terbaharu konflik antara manusia dengan buaya di negeri ini.
Goossens berkata DGFC telah menjalankan tinjauan di seluruh negeri pada 2019 hingga 2020 untuk Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi kajian penemuan yang tidak merugikan (NDF).
DGFC ialah kemudahan kajian dan latihan kerjasama yang ditubuhkan di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Hilir Kinabatangan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Cardiff University.
Beliau berkata kajian DGFC adalah untuk menilai sama ada pemburuan secara komersial dan mampan tidak akan menjejaskan populasi buaya di Sabah.
"Hasil kajian kami mencadangkan bahawa dalam tempoh 20 tahun lepas, tiada bukti ketara tentang peningkatan dalam saiz populasi keseluruhan buaya di Sabah dan tidak mungkin menjadi faktor penentu dalam sebarang peningkatan laporan konflik manusia-buaya.
"Hasil NDF juga jatuh di atas ambang yang menunjukkan bahawa pemburuan (walaupun pemburuan terkawal) akan menjejaskan populasi buaya di negeri ini.
"Satu-satunya pemburuan buaya yang mampan adalah di Sungai Kinabatangan, membolehkan pemburuan maksimum lima ekor buaya dewasa setahun di sungai itu," katanya menambah pemburuan di sungai lain di Sabah boleh menjejaskan populasi buaya.
Pada masa ini, buaya air masin ialah spesies dilindungi di Sabah dan pada 2016, Malaysia memindahkan status buaya air masin itu daripada Lampiran I kepada II, dengan pemburuan liar dihadkan kepada Sarawak dan sifar kuota untuk spesimen liar bagi negeri lain di Malaysia termasuk Sabah.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Sabah perkenalkan bas elektrik untuk pengangkutan awam, percuma selama 6 bulan pertama


Kerajaan negeri Sabah kini telah melancarkan khidmat bas elektrik pertama sebagai pengangkutan awam, dan akan mengujinya selama 6 bulan.

Bas elektrik ini akan membolehkan penduduk d Sabah menaikinya untuk perjalanan antara Sepanggar-Menara Kinabalu. Menariknya, pengangkutan awam ini akan ditawarkan secara percuma untuk tempoh ujian rintis ini.

Bas elektrik ini boleh memuatkan seramai 54 orang, dan menawarkan perjalanan yang mesra alam.

Selesai ujian rintis ini, Sabah dijangka memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik seawal tahun hadapan, dengan pengenalan antara 5 ke 20 bas elektrik pada peringkat permulaan.


Sumber | Amanz






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Sabah mahu lebih banyak projek PPRT diluluskan Kerajaan Pusat - Hajiji

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada 2,000 buah rumah PPRT yang dipohon oleh kerajaan negeri hanya 710 buah rumah yang diluluskan setakat ini.

KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah kali kedua menyaksikan beberapa resolusi dicapai oleh kerajaan negeri antaranya tuntutan agar Kerajaan Persekutuan meluluskan lebih banyak Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada 2,000 buah rumah PPRT yang dipohon oleh kerajaan negeri hanya 710 buah rumah yang diluluskan setakat ini.
Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya akan terus menuntut agar lebih banyak rumah PPRT dibina di negeri ini selain penyelarasan komunikasi di antara agensi dan jabatan negeri dan Persekutuan perlu dipertingkatkan bagi mempermudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya dimaklumkan sebanyak 710 rumah PPRT akan dibina pada tahun ini di Sabah. Sebenarnya, jumlah ini tidak cukup kerana kita telah meminta sebanyak 2,000 unit tetapi hanya 710 yang diluluskan. Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus menuntut untuk mendapatkan lebih banyak lagi PPRT dibina di Sabah.
"Perkara (penyelarasan) ini penting agar kita tahu di kawasan mana dan agensi mana yang terbabit dalam pembinaan projek PPRT di negeri ini. Ia penting kerana keperluan untuk rumah PPRT di Sabah amat banyak. Justeru, saya meminta kepada pihak yang berkaitan agar sampaikan hasrat kerajaan negeri mengenai keperluan rumah PPRT di negeri ini", kata beliau.
Ketua Menteri turut memaklumkan kerajaan negeri setakat ini telah membelanjakan RM1.479 bilion atau 28.15 peratus daripada agihan peruntukan RM5.254 bilion dalam Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 12 Jun lalu.
Jumlah itu katanya tidak jauh daripada prestasi nasional iaitu sebanyak 36.80 peratus setakat ini dan beliau berharap agar semua agensi dan kementerian mengambil perhatian serta tindakan sewajarnya bagi memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengatasi prestasi nasional.
Mengenai 69 projek sakit di Sabah, Hajiji menegaskan kepada agensi atau jabatan yang terbabit agar mengambil perhatian serius terhadap perkara itu.
Selain itu, Hajiji pada yang sama turut menekankan agar pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan diberi keutamaan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Lebih Sehari Kemalangan, Mayat Penunggang Motosikal Ditemukan Kembung, Berulat


KENINGAU
: Mayat seorang lelaki yang sudah mulai kembung dan berulat dipercayai akibat kemalangan di Sook, di sini, ditemukan, petang tadi.

Mangsa berusia 22 tahun yang menaiki motosikal itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kampung Tulid menuju ke Kampung Kuit, di sini.

Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh tajam sebelum terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam parit berhampiran.

“Siasatan awal di lokasi, mangsa ditemukan di dalam parit dipercayai dalam tempoh sehari atau lebih berikutan keadaan mayat yang sudah mulai kembung dan berulat.

“Mangsa menunggang motosikal seorang diri dan dipercayai meninggal dunia sejurus selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian mangsa sendiri berdasarkan kedudukan motosikal dan mayat mangsa.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – HMetro







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo