NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Haji Abdul Rahman Limbong : Ulama' & Pejuang Tanah Air



KENALI PEJUANG (SIRI 1)
HAJI ABDUL RAHMAN LIMBONG : ULAMA' & PEJUANG TANAH AIR

BIODATA

Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Anak jati Terengganu dilahirkan tahun 1285 H/1868M,di kampung Jenguk Tong,Beladau Kolam. Meninggal dunia di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Gelaran Limbong digunakan kerana beliau bertugas sebagai seorang guru agama di Kampung Limbong,Chukai Kemaman. Ada juga pendapat gelaran Limbong disebabkan beliau sering mengunjungi kawasan Kampung Limbong tersebut.

PERGURUAN
Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.

Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal. Haji Abdul Rahman Limbong juga, seperti gurunya Tok Ku Paloh, ialah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah.

Haji Abdul Rahman Limbong sangat disayangi oleh Tokku Paloh, malah pembentukan peribadi dan personaliti beliau amat dipengaruhi tarbiah yang diberikan oleh Tokku Paloh. 

KEPERIBADIAN
Haji Abdul Rahman Limbong dikenali dan disayangi ramai dengan personaliti yang begitu menyenangkan. Beliau merupakan seorang yang peramah, berperibadi baik,mempunyai latar belakang Pendidikan yang cemerlang, amalah sangat pemurah dengan masayarakat setempat. Beliau dikatakan mempunyai fizikal yang kecil dan sikap serta penampilan yang ditonjolkannya menyamai seorang sufi.

PENDAKWAH
Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai, Haji Abdul Rahman Limbong aktif mengajar segenap masyarakat di Hulu Terengganu terutama di Limbong, Kemaman. Dari situlah gelaran Haji Abdul Rahman Limbong mula digunakan. Kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu. 

Antaranya ialah kitab al-Ajrumiyah, kitab Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani yang berbincang mengenai ilmu nahu dalam bahasa Arab kesemuanya serta Matn Umm al- Barahin mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan lagi penguasaannya, beliau juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu. Antara kitab yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.
Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarka noleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan bagi ilmu tasawuf, kitab Hidayah as-Salikin dan ad- Durr an-Nafis yang kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdul Rahman Limbong ialah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri dalam mengembangkan syiar Islam. Antara tempat yang pernah menerima kunjungan beliau ialah Beserah dan Kuantan di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah,Sambasdi Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei.

PERJUANGAN
Haji Abdul Rahman Limbong dikenali sebagai “Kebangkitan Tani” kerana perjuangannya membela nasib petani yang ditindas. Dalam tahun 1920-an, Inggeris bercampur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Sungguhpun beliau seorang ahli sufi, akan tetapi beliau juga bijaksana dalam selok-belok persoalan dunia. Beliau ialah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Pernyataan ini dapat dibuktikan dengan lantaran betapa banyak kalinya beliau berhujah di mahkamah demi membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris.

Haji Abdul Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah meyatakan bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu ialah hak Allah, bukannya hak negeri dan ialah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. 

Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdul Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris. Perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.

DIBUANG NEGERI
Setelah beberapa siri penentangan, peristiwa naik mahkamah dan tekanan yang diberikan oleh pihak British, Haji Abdul Rahman Limbong telah ditangkap di rumahnya di Kampung Beladau dan dibuang negeri ke Singapura pada 23 Zulhijah1346 H [13 Jun 1928] dan selanjutnya dibuang ke Mekah lalu tiba pada 29 Safar 1347H [19 Ogos 1928]. Beliau meninggal dunia di Mekah setahun kemudian pada 14 Jamadilakhir 1348 H [16 November 1929 M] .

IKTIBAR & PENGAJARAN
Haji Abdul Rahman Limbong, anak jati Terengganu banyak memberi sumbangan kepada para pendududk tempatan, sama ada dalam bidang agama, undang-undang atau ekonomi. Meskipun, keterlibatannya dalam perjuangan menentang penjajah bukanlah secara langsung dan tidak secara fizikal, namun semangat yang sentiasa ditiupkan buat para penduduk amat penting dan membuka jalan buat mereka untuk tidak terlalu tunduk kepada pihak penjajah. Pendekatan secara hikmah yang dilakukan dalam memenangi hati rakyat adalah nilai penting yang menjadikan beliau antara tokoh penting dalam sejarah Terengganu.

Demikianlah beliau dengan ketokohan menjadi seorang ulama’, dapat menjadi contoh teladan kepada generasi para ulama’ selepas beliau. Para ulama’ tidak sepatutnya hanya mendiamkan diri tanpa membuat sesuatu untuk kepentingan agama. Perjuangan yang dilakukan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah untuk menegakkan agama dari pengaruh-pengaruh Barat yang menjejaskan keimanan umat Islam di waktu itu.

RUJUKAN
1. https://ms.wikipedia.org/
2. https://www.thepatriots.asia/
3. http://pejuangpantaitimur.blogspot.com/
4. http://perjuanganharlimbong.blogspot.com/
TERBITAN:
LAJNAH PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN
DEWAN ULAMAK PAS NEGERI TERENGGANU
28 OGOS 2020


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo