DATUK DR ALIAKBAR GULASAN DAN KARAMBUNAI, BUKAN SEKADAR PIALA KEMENANGAN PAS!
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Minggu pertama kemenangan ADUN Karambunai menjadi sorotan rakyat Malaysia. Video lelaki separuh usia itu bergerak menyantuni masyarakat pelbagai kaum terus bergentayangan di pelbagai aplikasi medsos. Tanpa lelah sedangkan dua minggu kempen PRN Sabah telah menguras banyak tenaganya namun itulah kualiti pimpinan utama PAS Sabah.
Masyarakat pelbagai kaum kelihatan sangat teruja dengan gaya politik ADUN ini, kanak-kanak berebut untuk bersalaman. Beliau tenang berada pada mimbar surau Jumaat memberikan takzirah Maghrib dengan sebahagian besar ahli jamaah tabligh mendepangkan telinga. Datuk Dr Ali fenomenal di seluruh Malaysia, sehinggakan ahli-ahli PAN mendakwa bahawa beliau mengambil pendekatan rahmat PAN, ironinya PAN dan DAP membawa balik telur ayam keputusan PRN Sabah!
Minggu lepas Karambunai merakam sejarah, air mata dan esak tangis kegembiraan pecah, sujud syukur semua petugas dengan lidah mengumam tasbih. Segala kepenatan sirna seperti dibawa arus taufan membadai zon merah Savanah. Sejak petang 29 November, keputusan konstitusi Karambunai memicu perhatian rakyat Malaysia. Kerusi ini kawasan panas yang juga diintai rakan pemuafakatan, dengan demografi politik seperti Semenanjung.
Karambunai juga fokus Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyulam budi sejak lima tahun lepas. Sosok pemimpin yang bergulat di lapangan ini bukan sekadar pembakar pentas podium malah beliau ditempa dengan latihan pembinaan kader dakwah semenjak di alam kampus lagi. Indoktrinisasi politik Islam melatari cara berfikir figura ini, bahkan mempunyai diploma ILHAM dalam siasah Islam. Beliau bukan terus bermula sebagai pemimpin, namun menggusur daripada pekerja bawahan jamaah.
Apabila namanya mencuat naik untuk mewakili PN/PAS di Karambunai, teman-teman aktivis mula membayangkan medan tempur Karambunai akan menjadi sorotan ramai. Pembenci PAS mengeluarkan pelbagai video, carta dan visual untuk memburukkan PAS serta calon Karambunai. Kredit serta tabik hormat perlu kita berikan kepada team media ADUN Karambunai kerana sangat cekap bermain emosi, menggerakkan kempen balas yang berstrategi sekaligus mengkristalkan watak utama PAS Sabah itu.
Sosok pemimpin sebegini belum pernah ada di bumi Sabah. Beliau adalah kejora di langit malam. Saat pemimpin Sabah lain menumpuk kekayaan serta dikaitkan dengan pelbagai masalah peribadi dan skandal, beliau pemimpin yang memberikan ilmu kepada masyarakat.
Dalam minggu pertama sebagai ADUN Karambunai, beliau terus menggiliri masjid dan surau, juga menerima jemputan doa selamat yang masyarakat setempat anjurkan. Sebelum ini pun, telah berbelas tahun tokoh ini dijemput berkuliah atau berceramah terutamanya pada hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk wal Mikraj, Nuzul Al-Quran, Hijratul Rasul SAW dan sebagainya. Video beliau mengunjungi rumah ibadah agama lain untuk bersilaturahmi juga viral serta mendapat pujian rakyat Malaysia.
Hari pertama menjadi ADUN dengan guratan wajah yang penat, Dr Ali terus ke lapangan operasional untuk bertemu dengan rakyat yang keuzuran. Akhbar berbahasa Cina melaporkan berita ADUN Karambunai menyantuni masyarakat serta berterima kasih kepada pengundi. Rasanya, niat tersembunyi mereka untuk memberitahu warga Sabah, gelombang hijau akan terus membadai jika Pesuruhjaya PAS ini terus bekerja mendekati masyarakat. Tidaklah pelik jika lima tahun lagi, Dr Munzier Mahamud, Dr Afifi Saif dan Ahmad Dullah juga mampu menang bergaya di Sabah.
Sebelum menang dalam pilihan raya pun Dr Ali sudah berkeringat membantu kelompok asnaf di pelbagai tempat di bumi Sabah tanpa mengira latar ideologi, ras atau agama.
Sayang seribu kali sayang wahai warga Sabah, ketika peluang terbentang di hadapan mata untuk mendapat wakil rakyat yang kompeten, ramai telah memilih atas dorongan sentimen anti Malaya yang ditiup secara emosi serta melulu. Bukan sekadar PH dan BN, malah PN juga terkesan teruk oleh kempen secara halus ini.
Bermula daripada isu kes Zara Qairina, meleret isu 40 peratus Sabah, membawa isu roti Gardenia dengan asap palsu untuk menutup isu rasuah politik di Sabah yang seolah-olah makanan rasmi parti-parti politik korup setiap kali datang musim tengkujuh pilihan raya.
Jentera kerajaan disalahgunakan tanpa sepicing pun rasa malu sama ada oleh BN, PH atau GRS. Impaknya, orang-orang baik tidak diundi kerana tidak menghulur 'manis-manis'. Dahsyatnya penangan kempen penuh rasuah ini, calon yang ada kes mahkamah pun boleh menang!
Pengundi Karambunai beruntung kerana memilih Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang mempunyai pakej dan kompetensi kepimpinan yang diidamkan. Pesuruhjaya PAS Sabah ini telah terbukti di lapangan semenjak zaman mudanya lagi. Figura nasional ini bukan sahaja sebagai intelektual Muslim malah juga sebagai pentadbir organisasi, pendakwah, petugas bantuan kemanusiaan, perawat Islam, politisi dengan rekod bersih serta pencapaian yang piawai.
Kekuatan kumpulan serta jaringan sivil di belakang ADUN Karambunai juga tidak diragukan. Pelbagai NGO Islam pastinya akan turun menabur bakti di Karambunai selepas ini. Bagi yang mengundi beliau minggu lepas, penulis yakin dengan pantas akan terkesan dengan cara gaya Dr Ali menangani masalah masyarakat. Anak-anak muda menyokongnya, manakala kelompok yang tua akan menyayanginya. Politik matang dan sejahtera yang beliau praktiskan adalah kebijakan serta cerminan asuhan tarbiah parti Islam yang beliau dokongi selama ini.
Bagi pembenci PAS, ya, mereka akan terus merakusi, membunuh karektor serta menganjing melihat keterujaan penyokong PAS mendapat satu kerusi di Sabah. Jangan lupa sejarah bahawa PAS hanya bermula dengan satu kerusi sulong dalam pilihan raya pertama tahun 1955 namun pada tahun 2022 dan 2023, PAS mempunyai paling ramai Ahli Parlimen serta ADUN di seluruh Malaysia. Kemaraan PAS tidak mampu lagi dibendung, berkat keikhlasan para pendokongnya yang bekerja tanpa jemu bagi merealisasikan konsep 'khalifatul ardi' membumi.
Gelombang kemenangan Karambunai akan dibawa ke bumi Sarawak dan Melaka pada tahun hadapan, seterusnya pilihan raya ke-16 menjadikan tanah watan ini dipimpini oleh tokoh-tokoh yang berkompetensi, berintegriti serta terpandu dengan wawasan ukhrawi.
Selamatkan Malaysia daripada penagih narkoba politik sekular pragmatis, semoga tanah leluhur ini harmoni serta dalam rahmat Tuhan.
(Penulis AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments
Post a Comment