NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"BERSATU akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali," kata Ronald Kiandee

Naib Presiden BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.


KOTA KINABALU: BERSATU Sabah akan dibina dan diperkukuhkan semula, susulan tindakan pemimpin negeri, diketuai bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, keluar parti, hari ini.

Naib Presiden BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata tindakan Hajiji dan pengikutnya tidak akan menjejaskan parti itu terutama di peringkat akar umbi. 

"Terpulang kepada mereka (pemimpin keluar parti) untuk memberikan apa-apa alasan (keluar parti). Ahli parti berhak membuat keputusan mereka sendiri dan untuk pilih platform yang mana.

"BERSATU akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali," katanya.

Hari ini, Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berserta pemimpin BERSATU Sabah memutuskan untuk meninggalkan parti itu, namun terus kekal di bawah GRS.

GRS, ketika ini terdiri daripada BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Sabah.

Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran bagaimanapun enggan mengulas mengenai status BERSATU dalam GRS.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pada sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini kesal dengan BERSATU Sabah yang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Saifuddin, yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang berkata, Sabah belum meluluskan akta berkaitan lompat parti, justeru mereka yang terbabit masih boleh mengambil keputusan sedemikian.

"Saya kesal tindakan dilakukan teman-teman di Sabah ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi itu atas nama BERSATU. Tetapi, saya difahamkan BERSATU Sabah masih wujud kerana ada Ahli Parlimen dan pimpinan yang akan meneruskan perjuangan parti di negeri itu," katanya.

Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dalam kenyataannya berkata, beliau yakin masih terdapat ahli Armada di Sabah yang kekal dengan BERSATU dan akan membina semula parti itu.

Beliau menegaskan, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertindak mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman serta harmoni. - BERNAMA







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo