NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagalnya idealisme Parti Gerakan


oleh: Zin Mahmud

Gerakan berada dalam BN sejak penubuhannya pada 1973 iaitu 45 tahun dalam kerajaan Persekutuan dan nasibnya akan diketahui pada perhimpunan agung tahunannya November ini.

Parti Gerakan baru-baru ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN). Ia merupakan tanda kegagalan suatu idealisme politik yang didokong olehnya ketika ia ditubuhkan pada 1968.

Bukan itu saja, tetapi juga idealisme politik BN itu sendiri. Ini kerana Gerakan adalah 1 daripada 2 parti tonggak asal BN. Parti 1 lagi ialah PAS yang keluar BN pada 1978.

Kedua-dua kerajaan campuran Perikatan-PAS dan Perikatan-Gerakan merupakan tonggak kepada idealisme politik BN yang mengorak langkah merintis suatu jalan perpaduan di mana penekanannya ialah pembangunan dan bukannya perbalahan.

Pilihan raya umum (PRU) 1969 menyaksikan PAS mengekalkan Kelantan dan Gerakan merampas Pulau Pinang daripada MCA yang mewakili Perikatan.

Ketua Perikatan, Tun Razak Hussein memulakan proses ini dengan mencapai persetujuan dengan Yang di-Pertua PAS, Datuk Asri Muda yang juga menteri besar Kelantan bagi penubuhan kerajaan campuran di peringkat negeri dan persekutuan.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan usaha itu dipandang sebagai persepakatan kuasa politik Melayu, maka pengumuman perkara itu hanya dibuat setelah persetujuan dicapai dengan ketua Gerakan, Dr Lim Chong Eu yang juga ketua menteri Pulau Pinang. Hanya apabila Gerakan bersetuju untuk bekerjasama dengan Perikatan barulah proses penubuhan BN bermula.

Parti lain di semenanjung iaitu Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) turut diajak menyertainya. Tetapi hanya PPP menyahut pelawaan Tun Razak yang hampir membentuk kerajaan Perak ekoran kemampuannya memenangi banyak kerusi DUN di negeri itu.

Walaupun BN sebagai Perikatan yang diluaskan tetapi ia mempunyai idealisme politik berbeza. Kalau Perikatan mempunyai parti yang mewakili 3 kaum di Semenanjung iaitu Umno, MCA dan MIC, tetapi BN menyediakan wadah yang berbeza.

Ia tidak membezakan parti mengikut kaum walaupun Umno, MCA dan MIC tetap berfungsi tetapi setiap parti berdiri atas idealisme masing-masing. PAS, Gerakan dan PPP berdiri atas fahaman masing-masing dan bukannya mewakili Melayu, Cina dan India.

Sementara di Sarawak dan Sabah, ia juga berbeza dengan Perikatan. Kalau Perikatan bekerjasama dengan Perikatan Sarawak dan Sabah tetapi BN meletak semua parti komponennya dari Sarawak dan Sabah duduk bersama dengan mereka di Semenanjung.

Sebab itu Gerakan merupakan parti tonggak dalam BN. Walaupun PAS keluar dari BN kemudiannya, kehadiran Gerakan dapat dipertahankan sehinggalah PRU14 yang menyaksikan parti itu tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen atau DUN.

Rakyat melihat Gerakan tidak relevan lagi dalam politik Malaysia. Sementara bagi ahli Gerakan, mereka berasakan sudah tidak ada sebab untuk terus berada dalam BN.

Puncanya adalah BN kalah dalam PRU14. Upko menjadi parti komponen pertama yang menarik diri. PPP yang kini dinamakan sebagai myPPP menjadi ahli komponen Semenanjung yang keluar gabungan itu.

Akhirnya, daripada 13 parti, BN tinggal 4 ahli iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Dengan keluarnya Gerakan, maka yang tinggal hanyalah Umno, MCA dan MIC iaitu ahli komponen asal Perikatan. Ternyata keluarnya Gerakan, bermakna BN sudah tiada.

Tetapi proses keruntuhan BN boleh dikira bermula pada 1978 apabila PAS dikeluarkan daripada gabungan itu. Sejak itu, idealisme asal BN sudah mula terhakis kerana kesepakatan awal itu digantikan dengan proses dominasi Umno.

Saya pernah mewawancara Asri pada 1982. Katanya, kepimpinan Tun Hussein Onn berbeza daripada Razak. Menurutnya, Razak mendengar dan mengambil kira pandangan parti komponen. Razak mungkin akan berusaha supaya PAS terus kekal dalam BN.

Bermulanya terhakis idealisme politik Gerakan pula adalah apabila berlaku perbalahan antara pemimpin Melayu dan Cina di dalamnya, iaitu pengasasnya Chong Eu dan Dr Syed Hussain Al-Attas. Perbalahan ini membawa kepada pengunduran aktivis Melayu dalam Gerakan yang akhirnya menjadikannya lebih berupa sebagai parti Cina, dan bukannya berbilang kaum.

Dalam BN, Gerakan menjadi salah 1 daripada 2 parti yang mewakili Cina di Semenanjung. Akhirnya pada PRU 2008, ketika kaum Cina umumnya menolak BN, maka Gerakan juga kehilangan Pulau Pinang kepada DAP.

Walaupun mereka berharap boleh bangkit kembali dalam PRU 2013, lebih-lebih lagi apabila ia berjaya mengalahkan DAP di pilihan raya kecil Teluk Intan tetapi keputusan PRU 2018 menunjukkan Gerakan tidak mempunyai harapan dalam BN.

Tahun ini Gerakan menyambut ulang tahun penubuhannya ke-50. Ketika penubuhannya, ia diharap akan menjadi parti masa depan Malaysia. Sebuah parti berbilang kaum yang sederhana berhaluan tengah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Parti itu berada dalam BN sejak penubuhannya pada 1973, iaitu 45 tahun. Ini bermakna ia berada dalam kerajaan persekutuan untuk 45 tahun sebelum kembali menjadi parti pembangkang. Apa yang akan berlaku pada parti ini akan diketahui November apabila ia mengadakan perhimpunan agung tahunannya.

Gerakan lahir sebagai parti pembangkang untuk menggantikan Parti Buruh Malaya yang pendaftarannya terbatal kerana gagal mengadakan persidangan agung. Keadaan ini berlaku antaranya kerana banyak aktivis Parti Buruh ditangkap atas sebab disyaki terlibat dengan fahaman komunis.

Tetapi tidak semua bekas aktivis Parti Buruh menyertai Gerakan. Ini kerana Gerakan ditubuhkan sebagai parti sederhana berhaluan tengah sedangkan Parti Buruh berhaluan kiri.

Aktivis Parti Buruh yang berhaluan sederhana diketuai Dr Tan Chee Khoon menyertai Gerakan. Mereka yang beraliran kiri memilih untuk menyertai PSRM, sementara sebahagian ahlinya yang cenderong pada perjuangan kaum pula memilih DAP.

Gerakan dikuatkan dengan penyertaan bekas ahli MCA yang menjadi pengikut Chong Eu. Beliau menubuhkan Gerakan setelah kalah dalam pemilihan MCA. Kehadiran Syed Hussain dalam Gerakan menawarkan tempat bagi orang Melayu yang menolak Perikatan, PAS atau PSRM.

Gerakan berbeza daripada DAP dan mereka tidak pernah mendokong gagasan Malaysian Malaysia yang diutarakan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Tetapi hanya dalam setahun, ia mampu meraih banyak kerusi hingga memenangi Pulau Pinang dengan bertanding sendiri. Sedangkan MCA sebelum itu memenangi negeri itu melalui Perikatan.

Walaupun semasa perarakan kemenangan parti pembangkang selepas PRU 1969, Gerakan turut terlibat bersama DAP tetapi kedua-dua parti itu tidak pernah berpakat dan bekerjasama. Sebaliknya Gerakan bekerjasama dengan MCA, MIC dan PPP dalam BN.

Gerakan mentadbir Pulau Pinang selama 4 tahun sebelum penubuhan kerajaan campuran dengan Perikatan. Tetapi dengan menyertai BN, Gerakan kehilangan sebilangan tokoh dan aktivisnya.

Syed Hussain keluar Gerakan dan membantu Chee Khoon menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Bersama bekas tokoh Parti Rakyat Malaya, Ahmad Boestamam, Chee Khoon mengharapkan Pekemas akan meneruskan idealisme dan perjuangan politik Gerakan.

Sementara itu, Gerakan dilihat sebagai MCA ke-2 dalam BN. Persepsi ini bertambah kuat apabila pemimpin MCA yang kalah pemilihan seperti Tun Michael Chen keluar parti dan menyertai parti itu.

Pekemas juga akhirnya dibubarkan apabila kebanyakan ahlinya termasuk Dr Tan Seng Giauw menyertai DAP. DAP juga banyak berubah apabila ia menyertai Gagasan Rakyat (1990), Barisan Alternatif (1999), Pakatan Rakyat (2008) dan Pakatan Harapan (2015). Sedikit sebanyak akhirnya idealisme politik asal Gerakan sedang didokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo