Alibaba kini di Bangsar South


KUALA LUMPUR: Kumpulan Alibaba hari ini membuka pejabat nasional pertamanya di Bangsar South di sini, yang berfungsi sebagai pusat penyelesaian sehenti bagi perniagaan tempatan untuk memulakan ekonomi digital.

Pusat itu juga adalah pejabat pertama Alibaba di Asia Tenggara dan di luar dari China.

Pengasas Bersama dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma berkata pembukaan pejabat itu juga menandakan usaha berterusan syarikatnya untuk meningkatkan keupayaan teknologi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia serta membantu mereka meneroka lebih jauh lagi dalam dunia digital.

"Ini adalah komitmen Alibaba, kami mahu Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) kami bermula di sini dan kami komited untuk mendigitalkan dan memperkasakan perniagaan kecil serta membawa mereka ke peringkat global," katanya semasa majlis pelancaran pejabat itu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood.

Pejabat Alibaba itu juga akan membantu perniagaan untuk mengenal pasti peluang perdagangan rentas sempadan serta menyokong inovasi teknologi negara menerusi perkhidmatan pengkomputeran awan.

Ma juga mengumumkan Alibaba akan melancarkan 'Malaysia Week', inisiatif promosi dalam talian istimewa untuk menarik pengguna China bagi tempoh seminggu bermula 6 hingga 12 Julai ini.

Promosi itu akan mempamerkan lebih 50 jenama tempatan dengan pelbagai barangan dan produk pelancongan yang 'mesti dilihat, mesti dimakan dan mesti dialami'.

"Malaysia Week adalah hasil daripada perbincangan antara Kumpulan Alibaba dan Malaysia sejak pelancaran eWTP tahun lalu," katanya.

Pada November tahun lalu, Alibaba melancarkan eHub antarabangsa pertamanya di Malaysia di bawah inisiatif eWTP, yang memberi penekanan untuk memudahkan eksport bagi PKS Malaysia dan mewujudkan prasarana untuk menyokong perdagangan global.

Ia merangkumi e-dagang, logistik, pengkomputeran awan, pembayaran mudah alih dan latihan pekerja.

Sejak penubuhannya, pelbagai inisiatif diambil oleh Kumpulan Alibaba untuk membina prasarana teknologi perdagangan global yang inklusif dan inovatif termasuk KLIA Aeropolis, Taman Zon Perdagangan Bebas Digital serta pusat data Alibaba Cloud. - BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget