NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr M hipokrit, dahulu tolak DAP, kini duduk bersama

0
Adakah selama ini apa yang dikatakan mengenai DAP hanya untuk beliau mengekalkan kuasa? 

Dr M hipokrit, dahulu tolak DAP, kini duduk bersama


Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) – kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad amat keras, satu undi pada Pakatan Rakyat bermakna satu undi kepada parti cauvinis Cina – DAP.

Kesungguhan kempen PRU sebelum ini melihat Dr Mahathir menetapkan undi kepada DAP akan merugikan orang Melayu.

Kejayaan DAP nanti akan menghilangkan kuasa orang Melayu, lantas orang Melayu akan terpinggir. Ketetapan ini bukan baru dilaungkan Dr Mahathir – ini adalah apa yang Dr Mahathir ulangi dalam setiap PRU.

Hari ini, nada Dr Mahathir dan caranya berbeza. Hari ini beliau menyebelahi DAP, duduk bersama DAP membincangkan cara menghancurkan satu-satunya parti wadah Melayu – Umno.

Hari ini, selepas bertahun-tahun menyuarakan penolakan dan menggesa orang Melayu menolak DAP – tiba-tiba DAP tidak lagi cauvinis.

Hari ini, DAP mampu menjaga kepentingan orang Melayu – budaya, adat dan agama.

Nada hari ini amat berbeza, apa yang diperjuangkan DAP, “Malaysian Malaysia” tidak lagi mengganggu orang Melayu dan semangat nasionalis Melayu yang selalu dipegang Dr Mahathir.

Dr Mahathir tidak lagi menjadi ultra Melayu, malah Umno dikatakan sebagai ultra Melayu – membicarakan isu perkauman – satu isu lapuk, katanya. Apa yang dikatakan Dr Mahathir hari ini seakan-akan beliau menjilat ludahnya sendiri.

Siapa sebenarnya yang hipokrit? Adakah ini tidak jelas lagi sikap hipokrasi yang ada. Apabila mahu melunaskan cita-cita beliau, apa yang beliau bantah dahulu tidak lagi relevan.

Kenapa relevansi beliau mengenai DAP hari ini meningkat? Adakah ini semata-mata mahu sokongan DAP untuk menolak Datuk Seri Najib Razak?

Adakah ini sikap kepimpinan yang selama ini – berlandaskan perjuangan nasionalisme – mengutamakan bangsa, menyerang kepimpinan lain yang dikatakan terlampau memberi muka kepada Cina, akhirnya hilang – terserap mengikut kehendak dan selera politik tersendiri?

Bukankah ini hipokrasi – selama ini hanya mengusahakan politik sendiri.

Sebenarnya, kita bukan mahu merujuk isu ini atas dasar perkauman – setiap kaum pasti mahu memastikan kaum mereka terbela – tetapi mahu menunjukkan kejelasan sikap hipokrasi yang ada pada Dr Mahathir.

Adakah selama ini apa yang dikatakan mengenai DAP hanya untuk beliau mengekalkan kuasa? Umno tidak ada masalah dengan kaum Cina. Umno selesa dengan MCA dalam Barisan Nasional dan parti kaum lain.

Umno tidak mahu melihat DAP menang atas sokongan Melayu yang berpecah dan akhirnya mencabar hak keistimewaan Melayu. Ini yang diperjelaskan dan ini dahulunya disokong Dr Mahathir.

Hari ini, Dr Mahathir berubah pendapat mengenai DAP – semua baik dan DAP tidak lagi cauvinis, malah amat menjaga hak orang Melayu. Siapa sebenarnya yang hipokrit – siapa sebenarnya yang bercakap hanya untuk kepentingan diri?

Jelas ini semua kerana politik. Dr Mahathir bertahan lama dalam politik juga atas isu perkauman – mengapi-apikan isu itu demi kepentingan sendiri.

Umno amat konsisten menolak DAP dan memang membicarakan DAP bukan kerana kaum Cina, tetapi kerana pegangan DAP – yang sebenarnya amat hipokrit – DAP hanya membenarkan mereka sahaja untuk membicarakan kaum sendiri dan kaum lain, sekiranya membuka isu Melayu, maka mereka akan dilabel rasis.

Sikap Dr Mahathir inilah yang sebenarnya berbahaya kepada kestabilan kaum di negara ini. Beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa Melayu terbela dan diserahkan kepada beliau.

Ini sepatutnya ditolak – Dr Mahathir sebenarnya tidak boleh diterima lagi.

Asraf Hussin ialah pembaca FMT.

Sumber:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2018/05/07/dr-m-hipokrit-dahulu-tolak-dap-kini-duduk-bersama/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo